Langkah berkenaan dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Shah Alam, hari ini. Sebelum ini terdapat banyak cadangan khususnya daripada NGO yang mewakili masyarakat usahawan bertujuan melonjakkan penyertaan mereka dalam bidang berkenaan.
Antaranya, termasuk
gesaan supaya kerajaan mewujudkan sebuah badan khas sebagai payung kepada semua
skim dan bantuan yang disalurkan kepada mereka.
Sekiranya bukan pun
sebuah kementerian, sekurang-kurangnya mereka mahukan agar diwujudkan unit
peneraju Bumiputera pada setiap kementerian bagi memastikan pelaksanaan
agendanya dilakukan dengan lebih berkesan.
Pada masa ini
kebanyakan agensi pelaksana ‘bertaburan’ di beberapa kementerian dan ini perlu
diselaraskan. Antaranya termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional
(TEKUN) di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Amanah Rakyat
(MARA) di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Ekuiti Nasional Berhad
(EKUINAS) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Unit Peneraju Agenda Bumiputera
(TERAJU) di JPM dan penjaja kecil di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan.
Selain itu
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mempunyai unit
Bumiputera sendiri.Apa yang penting mereka berpendapat perlu ada struktur - sama ada menteri atau kementerian yang bertanggungjawab secara khusus mengenai pembangunan keusahawanan ataupun unit khas Bumiputera pada semua kementerian.
Inisiatif ini
seharusnya meliputi semua kementerian termasuk kementerian yang tiada kaitan
secara langsung dengan pembangunan keusahawanan seperti Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Sumber Manusia.
Sejak diumumkan buat
kali pertama pada 26 November 2011, banyak perkembangan yang menyaksikan
perubahan dalam pencapaian Bumiputera di sektor keusahawanan sama ada pada
peringkat makro mahupun mikro.
Beberapa pihak
berkepentingan yang ditemui berpendapat, bantuan dihulur oleh kerajaan kepada
usahawan Bumiputera juga memerlukan iltizam politik daripada UMNO dan rakyat,
yang menyokong segala tindakan dan inisiatif itu.
UMNO sebagai parti
tunjang kerajaan memerintah turut memberi penekanan kepada isu ekonomi Melayu
dan Bumiputera ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Agenda Ekonomi Bumiputera
Majlis Tertinggi, yang dipengerusikan Datuk Abdul Ghani Othman, sebagai
tambahan kepada Biro Ekonomi yang sedia ada.
Seperti ditegaskan
Abdul Ghani, sebarang langkah baru perlu disasarkan untuk membantu 40 peratus
golongan berpendapatan rendah yang sebahagian besarnya golongan Bumiputera dan
langkah diambil hendaklah memastikan tahap kemampuan golongan Bumiputera ini
dapat dipertingkatkan dalam semua sektor.
Isu mengenai peluang
saksama dalam pekerjaan di syarikat swasta, khususnya pada peringkat pengurusan
tertinggi juga sering dibangkitkan oleh NGO Bumiputera. Ini kerana sehingga
kini masih banyak lagi pengurusan di syarikat swasta yang didominasi oleh bukan
Bumiputera, sedangkan di sektor awam termasuk syarikat berkaitan kerajaan
(GLC), peluang pekerjaan saksama sudah dilaksanakan pada semua peringkat.
Sementara itu, NGO
Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mencadangkan agensi yang
bakal ditubuhkan itu, memberikan pinjaman dengan kadar berpatutan kepada
syarikat Bumiputera bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan serta
menggesa kerajaan menyediakan pasar raya besar di setiap negeri yang
mengutamakan produk Bumiputera.
Setiausaha Agungnya,
Syed Hassan Syed Ali juga berpendapat kerajaan perlu memastikan pembukaan
bandar baru tidak menyebabkan orang Melayu terpinggir dan usaha hendaklah
diambil bagi membolehkan mereka mampu bersaing dengan kaum lain.
Justeru, menjadi
harapan semua pihak agar inisiatif baru yang bakal diumumkan Perdana Menteri
itu akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh agensi terbabit bagi
melonjakkan pembabitan Bumiputera dalam pelbagai sektor yang disertai. - Berita Harian, 15 September 2013