Tuesday, 18 March 2014

Pemikiran Kassim Ahmad berbahaya - Ketua Pengarah JAKIM

Datuk Othman Mustapha

Penulis buku kontroversial, ‘Hadis: Satu Penilaian Semula’, Kassim Ahmad baru-baru ini mencetuskan satu lagi kontroversi apabila beliau mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.  Selain itu dalam Seminar bertajuk ‘Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian” yang berlangsung pada 15 Februari lalu, beliau turut merendahkan kredibiliti ulama dan menyamakan mereka sebagai kasta paderi,  mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita berhijab. Berikutan pendapat yang dibentangkan pada seminar berkenaan, pelbagai pihak mengecam sasterawan dan bekas pemimpin Partai Sosialis Rakyat Malaysia itu. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dalam temuramah dengan BH menegaskan bahawa pemikiran Kassim itu adalah amat berbahaya dan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah kekufuran. Katanya, pertikaian terhadap hadis dan wibawa insan terpilih seperti Rasulullah SAW juga bertentangan dengan sebahagian ayat al-Quran (yang kononnya dipegang oleh

 Kassim Ahmad) yang menceritakan ketinggian Nabi SAW sebagai
utusan Allah SWT. Ikuti temuramah sepenuhnya seperti berikut.

Wartawan:  Boleh Datuk hurai lebih lanjut polemik antihadis Kassim Ahmad ini?
Othman: Sebenarnya isu antihadis ini bukanlah isu baru. Ia adalah isu lama yang sudah kita tangani sejak 1980-an. Fahaman antihadis itu sendiri difatwakan menyeleweng oleh beberapa negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kelantan dan lain-lain. Buku yang ditulis beliau seperti ‘Hadis...Satu Penilaian Semula’, ‘Hadis Jawapan Kepada Pengkritik’, ‘Dilema Umat Islam-Antara Hadis dan al-Quran’ diharamkan Kementerian Dalam Negeri. Meskipun beliau mendakwa tulisannya bertaraf PhD dan sebagainya, hakikatnya yang memenuhi buku berkenaan adalah penyelewengan dan kekeliruan. Seminar yang diadakan baru-baru ini juga tidak lain hanyalah copy paste idea lama yang terdapat dalam bukunya.

S: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilaporkan sudah membuka kertas siasatan dalam kes terbaru Kassim Ahmad ini. Apa tindakan yang boleh diambil ke atas pentafsir agama Islam seperti beliau ini?
J: Sudah sampai masanya individu yang menyebarkan pemikiran menyeleweng ini dikenakan tindakan undang-undang. Sebelum ini beberapa tindakan seperti pengharaman tulisan beliau dan juga dialog tidak memberi kesan. Ternyata orang seperti ini tidak berniat untuk menerima kebenaran dan tetap berdegil menegakkan benang yang basah.
 Pemikiran sebegini amat berbahaya kerana ia sebenarnya boleh menjerumuskan seseorang itu ke lembah kekufuran. Manakan tidak, mempertikaikan hadis dan wibawa insan terpilih seperti Rasulullah SAW yang menjadi ikutan dan contoh dalam segenap aspek kehidupan dipertikai pendokong fahaman menyeleweng sebegini. Ia sendiri bertentangan dengan sebahagian ayat al-Quran (yang kononnya dipegang oleh Kassim Ahmad) yang menceritakan ketinggian Nabi SAW sebagai utusan Allah SWT.
 “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam apa-apa perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Surah al-Nisa': 65)

S: Kita tahu bahawa Kassim Ahmad yang dilabel  antihadis pastinya mempunyai pengikutnya sendiri. Apa langkah JAKIM dan jabatan agama Islam negeri untuk membendung fahaman menyeleweng antihadis di sini dan fahaman lain daripada terus menular dalam masyarakat Islam di negara ini?
J: Dalam berhadapan dengan serangan akidah bersifat pemikiran ini, JAKIM dan autoriti agama  lain mengadakan wacana ilmiah dan penjelasan mengenai serangan pemikiran berkenaan agar masyarakat jelas dan tidak tertipu dengan idea sekular yang mahu meruntuhkan akidah umat Islam. JAKIM juga dari semasa ke semasa sentiasa menjalankan pemantauan terhadap apa jua program yang dibuat  organisasi atau individu tertentu yang mempunyai unsur fahaman menyeleweng. Selain itu JAKIM dan autoriti agama lain turut menerbitkan risalah isu semasa akidah untuk sebaran masyarakat.
 Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri sudah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman antihadis yang jelas menyeleweng daripada ajaran Islam. Apa juga bentuk penerbitan atau publisiti bertujuan mengembangkan pemikiran atau fahaman antihadis adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain berkaitan.

 S: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini ketika ditanya wartawan menyatakan walaupun Kassim Ahmad dilabel antihadis, tetapi pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama. Apa pandangan Datuk?
J: Persoalan isu antihadis sudah lama selesai berdasarkan kajian  dibuat serta fatwa yang diputuskan. Malah, dialog juga pernah dilakukan dengan beliau sendiri (Kassim Ahmad). Malangnya meskipun tidak dapat berhujah dengan dalil  kuat, namun beliau bersikap terus menegakkan benang basah dan tidak mahu menerima penjelasan orang lain. Ingin saya tegaskan bahawa penyelewengan yang berlaku dalam ideologi yang dibawa Kassim Ahmad ataupun antihadis ini adalah persoalan mendasar ataupun asas dalam akidah yang mana semua orang Islam yang berpengetahuan agama boleh menilainya. Kedudukan Rasulullah sebagai contoh terbaik di dalam setiap aspek kehidupan berdasarkan hadis Baginda tidak dipertikai sejak zaman-berzaman.
Permasalahan hadis palsu, lemah, bertentangan dengan al-Quran dan sebagainya adalah  pengajian  dalam ilmu hadis itu sendiri yang perlu difahami bagi tujuan meletakkan hadis itu sesuai dengan darjatnya tersendiri dan bukanlah bermaksud hadis itu secara umumnya bermasalah dan dipertikai sebagai sumber hukum.

S: Apakah dengan memanggil Kassim Ahmad, JAWI boleh mengubah pemikirannya?
J: Persoalan mengubah pemikiran seseorang bukanlah kerja manusia. Allah SWT jugalah yang berhak memberi hidayah kepada sesiapa  dikehendakinya. Sebarang bentuk tindakan sama ada dialog ataupun penguatkuasaan adalah bagi memberi pengajaran dan kefahaman berkenaan penyimpangan fahaman antihadis ini dan ia adalah doktrin sah untuk diambil tindakan sekiranya terus disebarkan.

S: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersedia untuk berdebat dengan Kassim Ahmad. Pada pendapat Datuk, apakah yang boleh dicapai menerusi debat kerana kedua-dua pihak akan mempertahankan pendirian masing-masing?
J: Prinsip debat itu  mesti dipatuhi iaitu antaranya ialah bagi mencari kebenaran dan bukannya semata-mata  mempertahankan pendirian yang tidak berhujah. Sebarang usaha menegakkan akidah yang benar adalah dialu-alukan.

S: Seperti ditegaskan Datuk tadi, isu antihadis Kassim Ahmad ini bukannya baharu dan ia dibangkitkan semula oleh sahabatnya menerusi satu seminar baru-baru ini. Apa barangkali tujuan mereka?
J: Meraikan apa juga pandangan atas alasan kebebasan berfikir dan memberi pendapat adalah satu kekeliruan, apatah lagi apabila ia membabitkan tafsiran yang ingin dibuat berkaitan permasalahan asas dalam agama yakni akidah. Kenapa dibanggakan ideologi bertentangan arus perdana seandainya apa yang dianjurkannya adalah kesesatan? Meskipun istilah sesat ini amat sensitif bagi golongan sebegini, inilah keistimewaan Islam yang memelihara kesuciannya daripada ‘barang tiruan’ yang dicop nama Islam. Sikap anak muda yang gemarkan idea menongkah arus perdana ini diambil kesempatan mereka yang ‘keliru’ mengenai agama ini menarik golongan muda ‘menyahut’ idea mereka.

S: Berikutan seminar berkenaan, Presiden Pergerakan Antarabangsa untuk Keadilan Dunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar berpendapat masyarakat terutama generasi muda harus menghargai karya yang dihasilkan  Kassim Ahmad selaku sasterawan dan pemikir. Apa pandangan Datuk?
J: Apa juga idea atau hasil penulisan beliau berkait sastera dan politik yang tidak bersangkut dengan fahaman menyalahi Islam tidak dihalang  JAKIM.

S: Dalam konteks  masyarakat zaman kini yang mana orang muda lebih berfikiran liberal dan terbuka, tidakkah pemikiran Kassim Ahmad ini akan mengelirukan lagi mereka?
J: Ya. Amat malang apabila agama ditafsirkan sesiapa saja tanpa berpandukan prinsip keilmuan yang benar. Hasilnya terhasillah pemikiran tidak stabil dan saling bertentangan.
 Kassim Ahmad sendiri umpamanya menempelak teori liberalisme yang dikatakan kian runtuh, pada masa  sama beliau sendiri menganjurkan pemahaman semula al-Quran berteraskan konteks semasa berdasarkan akalnya sendiri yang jelas selari dengan prinsip liberal itu sendiri.

 Selain itu tindakan beliau mengkritik autoriti ulama juga  amat berbahaya dan dilihat boleh menghasut generasi muda membenci agamawan. Hakikatnya, menyamakan autoriti ulama dengan kasta kepaderian nyata satu kekeliruan. Autoriti ulama dibina di atas tradisi ilmu berteraskan metod yang sahih dan bukan semata-mata posisi yang didakwa memiliki kesucian dan kemaksuman. – Berita Harian, 17 Mac 2014