Justeru, pendirian
Perdana Menteri untuk tidak memberi apa-apa komen berhubung perebutan jawatan
naib presiden ketika menjawab soalan wartawan di New York kelmarin, adalah satu
tindakan yang betul, bagi memberi ruang dan peluang meluas kepada ahli memilih
barisan pemimpin parti.
Apa yang penting
ialah ahli membuat penentuan itu mengikut naluri masing-masing, dengan memilih
siapa yang difikirkan dapat membantu presiden dan timbalan presiden dalam
memperkukuhkan lagi UMNO sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14).
Soal siapa dipilih
untuk memegang jawatan tertentu bukan lagi isu yang perlu dicampuri oleh pucuk
pimpinan parti. Dalam amalan demokrasi sesiapa juga boleh menawarkan diri untuk
bertanding dan selepas proses pendaftaran sebagai calon, terserah kepadanya
memikirkan bagaimana cara untuk menawan hati ahli.
Dalam pemilihan kali
ini, tanggungjawab untuk memilih pemimpin tidak lagi diletakkan di bahu 2,500
perwakilan saja tetapi hampir 150,000 di seluruh negara. Ia menjadikan UMNO
sebuah parti yang benar-benar demokratik dan adil.Situasi itu menyukarkan lagi calon daripada terjebak dalam sebarang perbuatan menyogok pengundi atau mengamalkan politik wang, yang dibincang dengan panjang lebar di semua peringkat sebelum ini sehingga terhasilnya sistem pemilihan baru ini.
Sebagai pemimpin
nombor satu, Najib boleh bekerja dengan sesiapa saja, lagipun keenam-enam calon
naib presiden itupun bukan orang baru. Mereka adalah ‘leftenan’ di kiri
kanannya dalam parti dan kerajaan serta beliau juga sudah mengenali setiap
calon naib presiden itu untuk satu tempoh
lama.
Untuk mengaitkan
beliau dengan mana-mana calon sudah tentu bukan perkara yang wajar dilakukan.
Ia juga bermakna akan berlaku ketidakadilan dan ini tidak baik bagi beliau.
Benarlah apa yang
dikatakan Perdana Menteri, apa juga ulasannya berhubung pemilihan itu akan
ditafsirkan dari pelbagai sudut dan akhirnya ia boleh mengheret beliau ke
polemik yang tidak sepatutnya.
Memadailah bagi
Najib menyatakan: “Apa yang penting ialah perwakilan memilih barisan pemimpin
terbaik bagi parti yang akan memperkuatkannya dan membawanya ke hadapan. Inilah
harapan saya pada pemilihan UMNO ini.”
Sebagai parti
tunjang Barisan Nasional (BN), pada setiap pemilihannya, UMNO diperhatikan oleh
semua pihak termasuk parti pembangkang. Malah, Perhimpunan Agung UMNO pada
setiap tahun juga menjadi tarikan hebat bagi semua kalangan rakyat, bukan
setakat ahli saja.
Pada masa sama,
ramai juga turut memerhati dengan dekat perkembangan yang berlaku menjelang
pemilihan ini. Seperti ditegaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, perwakilan perlu mengambil kira pandangan rakyat yang bukan ahli UMNO
ketika membuat pertimbangan untuk memilih pucuk pimpinan parti itu.
Pemilihan itu bukan
saja akan menentukan pemimpin parti, bahkan menentukan juga kedudukan UMNO
dalam PRU-14. Sekiranya ahli hanya memikirkan kepentingan UMNO semata-mata, ada
kemungkinan mereka akan tersilap pilih dan kesannya nanti akan dirasai ketika
pilihan raya umum.
Dalam pada itu ahli
UMNO pada peringkat akar umbi, yang berpeluang memilih pemimpin buat kali pertama tahun ini, dikatakan tidak
begitu gemar dengan saranan supaya dikekalkan status quo dalam pemilihan ini.
Selain jawatan
Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak ditandingi, mereka mahu diberikan
kebebasan untuk memilih siapa yang difikirkan layak diberikan mandat untuk tiga
tahun akan datang ini. Sekiranya ramai ahli berpendapat penyandang jawatan itu
layak diberikan semula mandat, dengan sendirinya mereka akan terus menjadi Naib
Presiden.
Calon penyandang
terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
Mereka dicabar
Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional
Berhad (PUNB), Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk
Mukhriz Mahathir. Tidak kira siapa mereka, hanya yang terbaik saja akan muncul
sebagai pemenang pada pemilihan yang akan berlangsung pada 19 Oktober ini. - Berita Harian, 2 Oktober 2013