Menurut laporan,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang
menyiasat 85 syarikat yang menyediakan perkhidmatan umrah yang dikesan menipu
pelanggan, membabitkan wang bernilai RM6.9 juta sejak 2009.
Beberapa hari lalu
pula kita disajikan dengan berita bahawa hajat kira-kira 1,200 lagi individu
untuk menunaikan ibadat umrah tidak tercapai kerana pengusaha yang menawarkan
pakej berkenaan lesap bersama wang RM4.8 juta. Malah, pejabat operasi syarikat
terbabit di Wangsa Maju juga sudah ditutup sejak 30 September lalu.
Pakej umrah kini
adalah antara perniagaan paling laris di negara ini kerana saban hari semakin
ramai umat Islam terpanggil untuk mengerjakan ibadat itu di Makkah sambil
menziarahi Masjid Nabawi di Madinah.
Malah, tidak
keterlaluan jika dikatakan lebih ramai umat Islam kini mengutamakan pakej
ibadat itu sebelum atau selepas mengunjungi negara lain untuk percutian.
Ramai yang melakukan
umrah bersama keluarga terutama pada musim cuti sekolah dan banyak syarikat
swasta serta kerajaan menawarkan insentif
mengerjakan umrah kepada kakitangan mereka.
Dalam keadaan
sedemikian, sudah tentu ramai yang kesal apabila membaca berita mengenai pakej
umrah palsu dan penipuan oleh pihak tertentu.
Justeru, timbul tanda tanya kenapa syarikat terbabit boleh
beroperasi secara terbuka dan
mempamerkan kain rentang mengenai pakej umrah mereka sekiranya apa yang
dilakukannya adalah penipuan semata-mata?
Siapakah sebenarnya bertanggungjawab memantau syarikat
berkenaan dan bagaimana orang ramai
dapat memastikan syarikat mana yang mengendalikan urusan umrah dengan betul?
Walaupun pakej
umrah seperti pakej pelancongan lain dan
bebas dikendalikan mana-mana syarikat, sewajarnya pihak berkuasa merumuskan
usaha bagi memastikan tidak berlaku penipuan.
Dari segi pemantauan
pula, sepatutnya ada satu badan saja dipertanggungjawabkan untuk memastikan
pengendalian urusan umrah itu dilakukan secara sah agar tidak berlaku salah
faham atau pertindihan antara jabatan atau kementerian.
Selain Tabung Haji,
ada beberapa syarikat yang sememangnya terkenal dalam pengendalian urusan umrah
dan haji. Tetapi pada masa sama, ada sebilangan besar syarikat yang tumbuh
bagai cendawan bagi mengendalikan pakej umrah kerana adanya sambutan hebat.
Selain penginapan
tidak jauh dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, syarikat berkenaan juga
menawarkan harga pakej yang kompetitif. Sudah tentu tawaran itu menarik
perhatian ramai umat Islam yang ingin menunaikan ibadat itu.
Seeloknya, kita tidak
memikirkan sangat soal bayaran hingga menyebabkan kita terjebak dengan syarikat
yang menawarkan pakej palsu.
Ada kalanya syarikat
terbabit bukan berniat untuk menipu tetapi menawarkan pakej umrah dengan
menumpang syarikat lain yang lebih besar. Keadaan ini menyebabkan syarikat itu
bergantung harap kepada hubungan syarikat besar berkenaan dengan pihak berkuasa
Arab Saudi untuk mendapatkan visa. Kegagalan untuk mendapatkan visa inilah
antara punca pembatalan yang berlaku pada saat akhir sebelum penerbangan.
Bagi mengelakkan
kejadian tidak diingini terus berulang, adalah wajar umat Islam di negara ini
memilih syarikat yang berwibawa. Janganlah kerana tawaran murah kita begitu mudah tertarik dengan pakej ditawarkan syarikat kecil yang bercambah di
merata tempat.
Apapun, melihat kekerapan masalah berkaitan umrah, adalah wajar kerajaan mewujudkan agensi khas umrah sebagai ‘pusat sehenti’
untuk perkhidmatan ditawarkan agensi
pelancongan.
Adalah diharapkan
Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pelancongan dapat mencapai kata sepakat dalam
perkara ini serta mencari jalan mengatasi isu pakej umrah palsu. - Berita Harian, 30 Oktober 2013