Sejak dua hari lalu calon yang bertanding sudah melalui proses pengenalan diri di beberapa negeri, bermula di Ipoh (Perak), Shah Alam (Selangor) dan Kuala Lumpur (Wilayah Persekutuan). Maklum balasnya sudah tentu berbeza antara satu calon dengan yang lain.
Raihan Sulaiman Palestin - calon Ketua wanita |
Kalau tidak dikenali
sebelum ini tidak bermakna mereka akan gagal dalam pemilihan. Dalam politik apa
pun boleh berlaku - untung sabut timbul. “Politics is the art of the possible,”
kata aristokrat Jerman, Otto von Bismark yang juga Canselor pertama negara
berkenaan.
Justeru, bergantung
pada pandangan masing-masing, ada yang menganggap majlis pengenalan calon sebagai memberi manfaat kepada mereka dan ada
yang melihatnya sebagai sesuatu yang tidak menarik.Calon yang berjawatan kerajaan pasti mempunyai kelebihan kerana mampu menonjolkan diri pada majlis rasmi yang dianjurkan dari semasa ke semasa. Sebaliknya, calon yang baru ingin memperkenalkan dirinya tidak berpeluang berbuat demikian kerana peraturan pemilihan melarang mereka menganjurkan majlis selain diaturkan oleh perhubungan negeri.
Pada majlis pengenalan itu, calon hanya disebut nama dan mereka akan melambai kepada ahli UMNO yang hadir dan oleh kerana masa mungkin tidak mengizinkan, mereka tidak berkesempatan berucap.
Keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat menyampaikan kepada
perwakilan apa yang mendorong mereka
menawarkan diri bertanding dan apa pula yang akan dilakukan sekiranya
terpilih.
Ada sesetengah calon
melihatnya sebagai proses yang berat
sebelah dan tidak bijak kerana peraturan kempen terlalu ketat dan tempoh
pengenalan diri singkat.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga baru-baru ini
menyatakan harapannya agar Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Lembaga
Disiplin UMNO memikirkan semula syarat berkempen kepada calon bertanding.
Selain itu, Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan juga
mempersoalkan peraturan tidak membenarkan calon berkempen secara bersendirian
bagi menemui ahli dan memperkenalkan diri.
Menteri Besar Negeri
Sembilan itu mungkin tidak menghadapi kesukaran dalam kempen pemilihan ini
kerana beliau sudah dikenali. Penulis
percaya beliau menyatakan pandangannya itu untuk kepentingan calon lain
terutama mereka yang bertanding buat pertama kali.
Calon Naib Presiden
juga bukan orang baru dan dikenali, malah ada yang pernah menyandang jawatan
berkenaan sebelum ini. Namun, bagaimana pula dengan calon yang baru pertama
kali bertanding jawatan MT, EXCO Pemuda dan Wanita serta Puteri UMNO?
Penulis berpendapat
pihak yang mentadbir proses pemilihan
sepatutnya sudah bersedia untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya
timbul keadaan tidak menyenangkan calon yang bertanding.
Mereka juga kena
peka dengan saranan serta pandangan ahli ketika mengendalikan proses pemilihan
yang dibuka dengan luas ini, memandangkan ia dijalankan dengan sebegitu rupa
buat pertama kali dalam sejarah UMNO.
Bekas Timbalan
Presiden UMNO, Tun Musa Hitam pada satu pertemuan minggu ini menegaskan
jawatankuasa yang mentadbir perjalanan pemilihan ini hendaklah mengeluarkan
buku panduan induk bagi digunakan di semua peringkat.
Buku ini hendaklah
mengandungi maklumat apa yang boleh dilakukan oleh menteri atau penyandang dan
apa pula yang tidak boleh. Tidak harus ada alasan menteri boleh dan orang lain
tidak boleh. Pemerhatian umum sekarang ialah gambar menteri boleh pula
disiarkan dalam iklan akhbar tetapi orang lain bukan saja tidak boleh
menyiarkan iklan, hendak menganjurkan majlis menemui ahli pun tidak boleh.
Namun, Musa
mengakui sekiranya menteri dibenarkan mempunyai
sedikit keistimewaan, ia harus ditentukan dalam buku panduan.
Satu pemerhatian
menarik yang dipetik oleh Musa ialah pemilihan Presiden MIC tidak lama dulu
yang membabitkan 100,000 pengundi yang akhirnya mengakibatkan berlaku kekecohan
sehingga bermulanya sejarah baling kerusi dalam parti berkenaan.
MIC sudah belajar
daripada kesilapan dan mengubah suai serta menambah baik proses pemilihannya.
Takkan UMNO hendak tunggu berlaku sesuatu baru hendak menambahbaik proses
berkenaan?
Tentu wajar bagi
pihak yang mengendalikan proses pemilihan ini membuat pengubahsuaian yang perlu
sementara ada masa bagi membolehkan calon turun ke bawah memperkenalkan diri
dan berkempen.
Apa salahnya calon
berkempen asalkan ia tidak memudaratkan parti? Mereka harus dibenarkan berucap
dan menemui pengundi untuk menyatakan apa yang akan mereka lakukan sekiranya
terpilih.
Larangan berkempen
itu menyebabkan calon kini terpaksa menggunakan laman sosial seperti facebook
dan twitter dalam usaha memperkenalkan diri mereka.
Ahli harus juga ingat bahawa Perhimpunan Agung
UMNO dan pemilihan parti berkenaan juga sentiasa diintai oleh parti pembangkang
dan pemerhati luar. Seperti ditegaskan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, calon perlu mematuhi etika yang ditetapkan parti agar mereka tidak
tergelincir daripada landasan sebenarnya. - BH Ahad, 6 Oktober 2013