
Beliau adalah anak saudara bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah sebagaimana beliau lebih mesra dikenali dan sepupu kepada isteri Khairy, Nori. Maknanya selain tiga lagi pencabar Khairy, kita akan juga saksikan perlawanan antara dua orang yang mempunyai ikatan persaudaraan.
Namun, Irwan tidak menyimpan rahsianya untuk melawan Khairy kerana suami kepada sepupunya itu adalah orang pertama yang dimaklumkan mengenai hasrat untuk bertanding dan beliau memberi persetujuannya.
‘Pak Lah juga setuju kerana beliau tidak membantah apabila saya menyampaikan hasrat tersebut menerusi Tun Jeanne (Abdullah),” kata Irwan dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Tiga lagi calon Ketua Pemuda terdiri daripada Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman dan Abd Karim Ali.
Minggu lalu Khairy menafikan Irwan adalah proksinya bagi memecahkan undi.
“Terserah kepadanya untuk bertanding, gelanggang ini besar, tapi kenalah ukur diri sendiri,” Khairy dipetik sebagai berkata.
Irwan berkelulusan sarjana muda sains (ekonomi) dalam bidang perakaunan dan kewangan dari London School of Economics dan berharap dapat menyumbang melakukan transformasi kepada sistem kewangan negara sekiranya dipilih dalam pemilihan ini.
Katanya, kesan kepada sistem kewangan negara akan menimpa generasi muda yang ada sekarang, justeru perlu ada tindakan bagi menyelamatkan simpanan rizab mata wang Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Beliau menambah, selama ini kira-kira 90 peratus rizab antarabangsa Bank Negara disandarkan kepada dolar Amerika Syarikat dan ini boleh menyebabkan berlaku risiko besar sekiranya mata wang AS itu susut, sedangkan kebanyakan negara termasuk Thailand sudah beralih kepada simpanan emas.
Irwan berkata Malaysia pernah menghadapi cabaran kepada sistem kewangan pada 1998, tetapi Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mengambil beberapa langkah bagi mengatasinya.
“Saya mempunyai agenda untuk generasi muda dan tak nampak ahli politik lain akan membawa agenda sama.
“Saya ingin bawa agenda yang akan memberi manfaat kepada Melayu dan Muslim. Kita boleh jadi contoh kepada dunia. Sebagai negara Islam kita mampu membawa kejayaan kepada ummah di seluruh dunia,” katanya.
Irwan, 37, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, sebelum ini pernah menjadi Wazir Malaysia kepada World Islamic Mint dan pengarah bagi Asia. Beliau menyertai politik pada awal 2004 dan bergiat aktif di bahagian Setiawangsa.
Beliau kini Ketua Pemuda UMNO cawangan Bukit Setiawangsa dan pernah menyandang jawatan ketua penerangan serta ahli jawatankuasa pemuda bahagian.
Katanya, selepas Pak Lah berundur, pembabitannya dalam aktiviti parti juga dikurangkan sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu apabila beliau terpanggil untuk bergerak secara aktif semula kerana UMNO menghadapi beberapa masalah.
“Pada masa ini beliau tumpu seratus peratus kepada politik dan selepas PRU-13 lalu, UMNO mengumumkan tata cara baru pemilihan dan saya nampak peluang berkenaan. Saya berasakan saya boleh membuat perubahan jika memasuki politik dan mengetengahkan suara orang ramai,” katanya.
Irwan mengakui bahawa pendedahannya dalam politik tidak begitu terserlah seperti Khairy mahupun Akramsyah kerana bapa mentua dan bapa calon berkenaan pernah menjadi menteri.
“Bagaimanapun saya ingin membantu rakyat dan sama ada Pemuda terima ataupun tidak, yang penting ialah segelintir ahli Pemuda berani tampil ke depan untuk membawa agenda pembaharuan.
“Akramsyah adalah senior saya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau. Agenda Akramsyah ialah Melayu dan agenda saya adalah kepentingan kewangan khususnya kewangan Islam.
“Pendekatan kami berlainan,” katanya.
Mengenai peluangnya dalam pertandingan ini, Irwan berkata, jika UMNO dan pengundinya benar-benar serius untuk melakukan perubahan, inilah masanya dan dia rasa mempunyai peluang baik untuk memang.
Sebaliknya, tambahnya, jika mereka selesa dengan status quo dan tidak mahu perubahan walaupun berpeluang melakukannya sekarang, peluangnya mungkin agak tipis.
Irwan menegaskan apa yang didengarnya generasi muda pada peringkat akar umbi tidak begitu tertarik dengan UMNO, yang mencetuskan minat dalam kalangan beberapa ahli untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan ini. - Berita Harian, 9 Oktober 2013