Thursday, 17 October 2013

Orang baru patut anggotai MT, kata Azman Shah

Datuk Azman Shah Omar Shah, 53, dari Pulau Pinang bertanding jawatan Majlis Tertinggi UMNO buat pertama kali walaupun sudah lama bergiat aktif dalam parti. Beliau yang pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri dan EXCO Pemuda UMNO, yakin dapat menggunakan pengalamannya untuk menarik golongan muda supaya menyokong parti sekiranya terpilih. Ikuti  temu bual beliau bersama wartawan BH, RAZAK RASHID GHOWS.

  Wartawan:    Selepas berkempen dari negeri ke negeri, bagaimana Datuk lihat peluang Datuk?
  Azman Shah:    Saya lihat peluang agak cerah disebabkan transformasi diuar-uarkan oleh Presiden UMNO yang ingin melihat komposisi lama dan baru. Asasnya ialah berilah peluang kepada calon berpengalaman.

   S:   Pemilihan kali ini agak menarik kerana ia lebih inklusif dan memberi peluang kepada generasi  muda?
  J:  Kalau kita bercakap mengenai inklusif, generasi  muda sudah tentunya perlu mempunyai wakil dalam Majlis Tertinggi (MT). Mereka yang dipilih menganggotai MT hendaklah mempunyai pengalaman luas pada  peringkat cawangan, bahagian dan negeri dan sanggup bekerja keras bagi membantu parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

  S:   Dulu Datuk pernah menjadi Ketua Pemuda Pulau Pinang dan EXCO Pemuda UMNO. Apakah pengalaman ini satu kelebihan dalam pemilihan MT ini?
  J:  Sudah tentu kerana ketika menjadi Ketua Pemuda Pulau Pinang dan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya  antara mereka yang bekerja keras untuk parti. Saya juga pernah memegang jawatan Pengerusi Gerak Gempur Pemuda UMNO yang menjelajah ke seluruh negara untuk memberi motivasi dan menggerakkan jentera pilihan raya di bahagian dan cawangan.

   S:   Melihat pada trend pemilihan sayap parti Sabtu lalu, apakah Datuk fikir sebahagian besar muka lama dipilih semula dalam MT?
   J:  Mengikut trend yang kita lihat dalam ketiga-tiga sayap, saya rasa orang baru akan diberi peluang bersama penyandang. Ia adalah peluang bagi menonjolkan muka baru yang mempunyai  pengalaman dan asas perjuangan parti. Dalam pertandingan kali ini terdapat 64 calon MT dan hampir 150,000 pemilih. Persoalan yang timbul, apakah yang menjadi asas pemilihan oleh perwakilan. Ini yang menjadi tanda tanya.

  S:   Datuk bertanding MT untuk pertama kali. Apa harapan Datuk dalam pertandingan ini?
  J:  Harapan dan matlamat saya ingin fokus kepada PRU-14 kerana kita lihat generasi  muda akan menjadi penentu kerajaan. Saya berharap dapat menyumbang kepada parti dengan menarik generasi  muda supaya menyokong UMNO dalam pilihan raya akan datang. - Berita Harian, 16 Oktober 2013