Wednesday, 27 November 2013

Beri peluang kepada veteran UMNO berucap

Datuk Mustapha Yaakub

Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang akan bermula Isnin depan wajar mengiktiraf peranan ahli veteran UMNO dengan memberikan mereka status pemer-hati dan peluang untuk berucap kepada perwakilan. Ini kerana lebih 750,000 ahli veteran UMNO di seluruh negara seolah-olah dipinggirkan setiap kali berlangsungnya perhimpunan agung parti.
  
  Sehingga Perhimpunan Agung UMNO lalu, status pemerhati tidak diberikan kepada ahli veteran walaupun mereka terdiri daripada pemimpin yang pernah memegang jawatan penting pada masa lampau. Ini berbeza dengan Kelab UMNO Luar Negara yang sejak dulu lagi diberikan status pemerhati.
  
  Veteran UMNO juga tidak diberikan peluang untuk berucap dan menyampaikan pandangan kepada generasi sekarang mengenai perjuangan parti berdasarkan pemerhatian mereka.

  Malah, mereka juga tidak dijemput dalam perbincangan usul yang dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein minggu ini.

  Dalam kenyataannya minggu lalu, Hishammuddin berkata usul yang akan dibentangkan pada perhimpunan agung bermula 2 Disember itu akan disediakan dengan lebih inklusif dan dibincang pada  peringkat awal dengan golongan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan Melayu.

  Katanya, tujuan perbincangan itu adalah bagi mendapatkan input untuk dimasukkan ke dalam setiap kluster usul iaitu yang berkaitan ekonomi diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, usul pendidikan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan usul agama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

  Namun, Veteran UMNO Malaysia tidak dijemput walaupun terdapat NGO lain yang turut dibabitkan dalam perbincangan meja bulat itu. Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub.

  “Veteran UMNO Malaysia memang bukan satu sayap dalam parti, begitu juga Kelab UMNO Luar Negara. Tapi Kelab UMNO Luar Negara diberikan status pemerhati dan boleh berucap. Kami pula dipinggirkan. Kalau diberikan kedudukan yang sama seperti Kelab UMNO ini, sudah tentunya kami mengalu-alukannya,” katanya.

  Mustapha juga berharap ibu pejabat parti tidak bersikap endah tidak endah terhadap ahli veteran sehingga menyebabkan ramai yang kecewa dan merajuk kerana mereka sudah banyak memberi sumbangan kepada parti dan negara.

  Beliau juga mahukan ibu pejabat UMNO mengambil perhatian terhadap jumlah ahli yang digembar-gemburkan seramai 3.4 juta itu, pada hal tidak ramai ahli Pemuda, Wanita dan Puteri yang hadir apabila diadakan mesyuarat.

  “Memang benar mereka ada borang untuk menyokong jumlah keahlian itu tapi hakikatnya ialah tidak ramai yang keluar ketika mesyuarat diadakan di peringkat bahagian dan cawangan.

  “Ketika pemilihan bulan lalu, saya perhatikan hanya 20 hingga 25 peratus saja ahli Pemuda, Wanita dan Puteri yang hadir dalam mesyuarat cawangan dan untuk mendapatkan 11 ahli jawa-
tankuasa pada peringkat cawangan pun susah,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Pemi-
lihan UMNO Wilayah Persekutuan.

  Mustapha berkata, ahli veteran yang berusia 60 tahun ke atas inilah yang menyelamatkan keadaan dan itupun ada pihak seolah-olah tidak begitu senang dengan kehadiran orang lama ini.

  “Janganlah risau, kami ini tidak ada apa-apa (cita-cita lagi) tapi hadir untuk memberi sokongan kepada pimpinan yang baru,” katanya yang berharap pucuk kepemimpinan dan ibu pejabat UMNO akan memberi perhatian kepada kehadiran ahli muda dalam setiap program yang dianjurkan parti.

  Mustapha berkata, perwakilan pada perhimpunan agung tahun ini juga hendaklah menyuarakan pandangan dengan bernas dan bukannya menjadi tukang bodek dan mengampu pucuk pimpinan parti.

  Katanya, mereka juga harus berhenti daripada sekadar bangun untuk berucap atau menjadi tukang lawak semata-mata untuk mendapatkan tepukan atau sorakan.

  “Apa yang lebih penting ialah perhimpunan agung itu perlu menjadi medan bagi pucuk pimpinan mendengar keluhan dan pandangan ikhlas ahli membetulkan apa juga kesilapan lalu,” katanya.


  Justeru, Perhimpunan Agung UMNO tidak harus dilihat sebagai pesta untuk ahli dari jauh dan dekat datang berhimpun di Kuala Lumpur untuk berseronok-seronok dan bergelak ketawa. Perwakilan juga perlu menyedari bahawa apa juga telatah mereka sentiasa diperhatikan rakyat dan boleh menjadi senjata kepada pembangkang untuk menghentam parti. - Berita Harian, 26 November 2013