Kadar kenaikan antara 70 hingga 300 peratus
itu dianggap sebagai tidak munasabah dan menimbulkan rasa tidak puas hati
penduduk kerana ia dilakukan tanpa sebarang perbincangan dengan warga kota.
Orang ramai berpendapat adalah aneh DBKL
ingin menaikkan cukainya sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
ketika pembentangan Bajet 2014 lalu mengumumkan pengurangan cukai pendapatan
bagi meringankan beban rakyat serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) mulai 2015.
Rata-rata penduduk di sekitar bandar raya
Kuala Lumpur berasakan kenaikan yang begitu tinggi itu adalah tidak adil
manakala tempoh bantahan selama dua minggu tidak mencukupi.
Beberapa pihak
termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), persatuan penduduk dan orang
perseorangan mahukan DBKL menangguhkan cadangannya itu sehingga pertemuan
diadakan dengan wakil penduduk.
Ramai juga yang tidak setuju dengan cara
pelaksanaannya dan berharap DBKL akan bersikap lebih terbuka dalam hal ini.
Penaung Persatuan Penduduk Taman Koperasi
Polis Fasa Satu, Datuk Kamaruddin Hamzah berpendapat DBKL kena mengadakan
pertemuan dengan penduduk terlebih dulu bagi mendapatkan maklum balas sebelum
melaksanakan cadangan itu.
"Perdana Menteri juga sentiasa menemui
orang awam dalam pelaksanaan programnya. Adalah menghairankan bagaimana pihak
berkuasa tempatan yang besar seperti DBKL tidak mengadakan pertemuan ini,"
katanya.
Beliau juga berkata, adalah tidak wajar jika
cukai pintu dinaikkan berikutan kenaikan nilai hartanah.
"Sebahagian besar penduduk di Kuala
Lumpur menduduki sendiri rumah yang mereka beli dan sudah tentunya kenaikan
nilai hartanah tidak ada kesannya bagi mereka.
"Adalah tidak adil sekiranya kenaikan
cukai pintu dikenakan kerana wujudnya golongan spekulator yang membeli rumah
untuk menjualnya dengan harga lebih tinggi," kata seorang penduduk.
Justeru, mereka mendapati kenaikan cukai
pintu yang begitu tinggi itu juga tidak setimpal dengan perkhidmatan pihak
berkuasa tempatan berkenaan berdasarkan keadaan semasa.
Pada masa sama, kebanyakan warga kota
berharap DBKL dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan sebelum mengeluarkan
sebarang cadangan untuk menaikkan kadar taksiran.
Sesetengah kawasan perumahan kini masih belum
dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan seperti dewan, surau atau masjid
dan pusat rekreasi sempurna. Ada juga kawasan tertentu di mana kebersihannya
diabaikan manakala jalan raya pula tidak diselenggara dengan baik.
Penubuhan sebuah jawatankuasa bersama yang dianggotai
penduduk sebagai mana terkandung dalam ucapan Perdana Menteri ketika beliau
membentangkan Bajet 2014 adalah langkah yang baik dalam usaha menghubungkan
warga kota dengan pihak berkuasa tempatan.
Apapun, adalah menjadi harapan penduduk di bandar
raya ini agar DBKL menangguhkan kenaikan cukai taksiran itu sehingga diadakan
perbincangan dengan semua wakil persatuan penduduk, seperti dilakukan dengan
wakil rakyat esok. – Berita Harian, 19 November 2013