Dari segi realitinya,
parti berkenaan sudah wujud sejak dulu lagi dan mempunyai peranan serta
tanggungjawab untuk menjaga epentingan kaum tertentu termasuk UMNO, MCA dan
MIC.
Ketika mengutarakan
cadangannya, mungkin Karpal terlupa bahawa PAS juga parti yang berasaskan
Melayu sementara DAP, walaupun wujud sebagai parti pelbagai kaum, ia sebenarnya
didominasi oleh kaum Cina.Justeru, tidak hairanlah apabila sekutu DAP sendiri, PAS turut membantah kenyataan Karpal itu. Walaupun PAS adalah rakan politiknya dalam pilihan raya, parti itu turut memberi pandangan kritis menerusi Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Karpal tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan sesama mereka.
Pada sidang
akhbarnya di Georgetown, Pulau Pinang minggu lalu, Karpal dilaporkan berkata,
sudah tiba masanya bagi semua parti berasaskan kaum dibatalkan dan malangnya ia
termasuk PAS.
Beliau berkata
demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Datuk
Zainul Rijal Abu Bakar baru-baru ini yang mengingatkan Majlis Peguam supaya
tidak menyokong isu penggunaan kalimah Allah dalam edisi bahasa Malaysia
majalah katolik The Herald.
Karpal berkata,
sepatutnya parti politik dan mana-mana pertubuhan profesional berasaskan kaum
atau agama tidak dibenarkan memandangkan perkara ini adalah suatu yang serius
dan bahaya.
Tindakannya
menimbulkan pelbagai reaksi dan ada di antara mereka mahukan Karpal supaya
berfikir terlebih dulu keadaan politik di negara ini sebelum membuat cadangan
seperti itu.
Pengerusi DAP itu
berpendapat sepatutnya pihak berkuasa tidak membenarkan penubuhan Persatuan
Peguam Muslim kerana sudah ada Majlis Peguam yang terbuka kepada semua peguam
tanpa mengira agama.
Kita tahu selaku
individu, Karpal berhak menyatakan pandangannya mengenai apa yang beliau suka.
Tetapi apabila ia menyentuh soal kepentingan kaum dan agama terutama di negara
majmuk seperti Malaysia, beliau seharusnya lebih berhati-hati.
Karpal bukannya
orang baru dalam politik dan beliau juga seorang peguam handal. Sudah tentunya
beliau tahu apa yang diluahkan daripada mulutnya. Beliau juga sedia maklum
bahawa Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada
mana-mana pihak untuk berpersatuan.
Hanya jika ia
menggugat keselamatan negara barulah sekatan dikenakan, seperti dalam isu Parti
Komunis Malaya (PKM).
Janganlah kita cuba
mempertikaikan parti atau pertubuhan yang diwujudkan berjuang untuk kaum tertentu. Mereka
sepatutnya boleh wujud secara bersendirian seperti dalam semua persatuan atau
‘guild’ yang mewakili peniaga Cina dalam bidang perniagaan masing-masing.
Persatuan kecil itu
kemudian boleh bergabung dalam entiti lebih besar seperti dalam konsep
perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) atau dewan perniagaan pada peringkat pusat.
Kita yakin pemimpin
pada zaman pramerdeka juga sudah berbincang mengenai konsep parti berasaskan
kaum ini dengan panjang lebar atas sebab untuk menjaga kepentingan dan
kebajikan kaum masing-masing.
Apa yang
diperkatakan Karpal itu tidak boleh dilaksanakan sekarang dan mungkin akan
hanya menjadi realiti pada satu masa nanti.
Apapun, setakat ini
apa yang diungkapkan beliau adalah hanya satu cadangan mulut saja dan tiada
hitam putih. Jurucakap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) juga menyatakan
pihaknya tidak menerima apa-apa surat daripada Karpal atau orang lain berhubung
perkara tersebut.
Pada masa ini
terdapat 53 parti politik dan pada September lalu, 20 parti politik baru diluluskan
meliputi 11 di Sabah manakala selebihnya di Semenanjung dan Sarawak.
Penganalisis
politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain menegaskan hanya parti komunis dan kongsi
gelap saja tidak dibenarkan di negara ini kerana perjuangan mereka mengancam
keselamatan dan ketenteraman negara.
“Tiada sekatan untuk
parti lain. Itulah sebabnya ada 6,500 persatuan Cina di negara ini. Kalau dalam
keadaan itu pun nak dikatakan tak demokratik, ia adalah satu pembohongan,”
katanya. - Berita Harian 13 November 2013