Tuesday, 12 November 2013

Pada usia 16 tahun, Malala antara 100 orang paling berpengaruh dunia



Antara buku ‘panas’ di pasaran sekarang ialah I Am Malala, iaitu rentetan peristiwa yang dialami seorang pelajar perempuan dari Pakistan, Malala Yousafzai, 16, yang ditembak oleh ahli pergerakan Taliban pada 9 Oktober tahun lalu kerana memperjuangkan pendidikan untuk wanita.

  Buku yang ditulis secara bersama dengan seorang wartawan, Christina Lamb itu menceritakan

bagaimana pada 9 Julai 2012, ketika dalam perjalanan balik dari sekolah, Malala ditembak di kepala oleh puak Taliban.
  “Siapakah Malala,” tanya penembak muda itu yang menahan van yang membawa pelajar sekolah Khushal. Tiada sesiapapun yang menjawab tetapi semua orang di Lembah Swat mengenali siapa Malala.

  Malala ditembak di kepala dan lehernya sehingga beliau tidak sedarkan diri kerana memperjuangkan hak untuk mendapatkan pendidikan terutama bagi pelajar perempuan.
  Malala yang masih berusia 15 tahun berada dalam keadaan kritikal dan selepas keadaannya sudah stabil barulah beliau dihantar ke hospital Queen Elizabeth di Birmingham, England untuk mendapatkan rawatan serta pemulihan intensif.

  Beberapa pengisahannya menceritakan bahawa sejak umurnya 11 atau 12 tahun lagi, Malala sudah dikenali kerana perjuangannya. Pada usia semuda itu, beliau menggunakan nama samaran dan menulis di dalam blognya meminta supaya siaran Urdu BBC menyiarkan kisah kehidupannya di bawah pemerintahan Taliban.
  Beliau juga memberi pandangannya mengenai pendidikan untuk pelajar perempuan. Akhirnya usahanya memperoleh perhatian akhbar New York Times yang menyiarkan sebuah dokumentari mengenai kehidupannya di kawasan berkenaan.

  Malala kemudiannya semakin dikenali. Pihak media cetak dan elektronik juga banyak menyiarkan temuramah dengannya sehingga beliau dicalonkan untuk menerima Hadiah Keamanan Kanak-kanak Antarabangsa oleh aktivis Afrika Selatan, Desmond Tutu.
  Kejadian tembakan itu menyebabkan beliau menerima sokongan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada April lalu, beliau dipaparkan di muka hadapan majalah Time sebagai salah seorang daripada ‘100 orang Paling Berpengaruh di Dunia’ dan pada 12 Julai pula dijemput untuk berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

  Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga mengisytiharkan 12 Julai sebagai Hari Malala. Kebetulan juga hari berkenaan adalah hari jadinya yang ke-16.
   “Puak pengganas itu ingat mereka dapat mengubah matlamat saya dan menghentikan cita-cita saya, tetapi tiada apa yang berubah dalam hidup saya kecuali ini -  perasaan takut, lemah dan putus harapan sudah tiada lagi.

  “Kekuatan, kuasa dan keberanian kini sudah dijelmakan...saya bukannya menentang sesiapa, begitu juga saya bukannya berdiri di sini untuk membalas dendam ke atas Taliban atau mana-mana kumpulan pengganas.
   “Saya di sini untuk bercakap mengenai hak bagi mendapatkan pendidikan untuk setiap kanak-kanak. Saya mahukan pendidikan untuk anak Taliban dan semua pengganas dan puak ekstrem,” katanya ketika berucap di PBB.

  Ketika menyampaikan ucapannya, walaupun baru berusia 16 tahun, Malala kelihatan seperti seorang pemimpin dunia. Segala perhatian diberikan kepadanya oleh wakil PBB dan ucapannya beberapa kali terganggu apabila ia disambut dengan tepukan bergemuruh.
  Malala kini menjadi ikon dan sumber inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia. Membaca kisahnya mengenai keberanian dan survival pastinya akan membuka hati dan fikiran banyak pihak. Ia adalah perjuangan bagi menentang sekatan dalam mendapatkan ilmu oleh 61 juta kanak-kanak yang dinafikan hak mendapatkan pendidikan. - Berita Harian, 12 November 2013