Thursday, 21 November 2013

Premis makanan mesti bersih luar dalam

Peminat nasi kandar sudah tentunya terkejut apabila pihak berkuasa mengarah penutupan restoran ‘vanggey’ di Ipoh, Khamis lalu selama 14 hari kerana tidak bersih.

  Ini kerana perniagaan Nasi Kandar Ayam Merah itu bukan saja terkenal dalam kalangan penduduk sekitar bandar raya itu tetapi juga dari seluruh negara yang singgah di Ipoh.
 Pengusaha nasi kandar itu menjalankan perniagaannya dengan menumpang di sebuah kedai kopi Cina dan ia beroperasi sejak wujudnya stesen bas Ipoh-Tanjong Rambutan di hadapan kedai berkenaan di Jalan Yang Kalsom.

  Nasi kandar ayam merah itu tidak asing lagi bagi penggemar nasi kandar. Pada waktu tengah hari, ramai pelanggan beratur panjang untuk menikmati hidangan nasi kandar, khususnya dengan lauk ayam merah dan sambal kelapa yang enak itu.    
  Keenakannya menyebabkan nasi kandar itu mempunyai peminat setia, termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sering menjamu tetamu dengan hidangan itu.

  Sudah tentunya dalam keadaan seperti itu, ramai yang terkilan dan marah kerana pengusaha nasi kandar berkenaan gagal menjaga kebersihan premis. Lazimnya kita mendapati kebanyakan premis menjual makanan di negara ini hanya kelihatan bersih dan cantik di bahagian hadapan manakala dapur dan tandas jauh berbeza.
  Memanglah pemeriksaan sentiasa dilakukan pihak berkuasa tempatan yang memberi penarafan kebersihan A atau B. Tetapi seperti biasa, peraturan tidak begitu dihiraukan asalkan ramai pelanggan datang.

  Demi kepentingan kesihatan, kita hendaklah menjadi pelanggan bijak dan memilih premis bersih untuk menjamu selera. Kita juga perlu menyokong tindakan Kementerian Kesihatan yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam. Sebagai seorang doktor, beliau amat prihatin terhadap kebersihan dan tidak berkompromi sekiranya penyediaan dan penjualan makanan tidak dilakukan dengan bersih.

  Daripada operasi yang dijalankan antara 1 hingga 3 Julai lalu di seluruh negara, tahap kebersihan premis makanan didapati berada pada tahap membimbangkan. Kira-kira 22 peratus daripada 804 premis yang diperiksa, diklasifikasikan sebagai tidak bersih dan 158 premis lagi diarah tutup selama dua minggu untuk kerja pembersihan.
  Pengusaha harus mempunyai kesedaran untuk menyediakan makanan dengan bersih. Pelanggan pula harus memulaukan premis makanan yang kotor.

  Premis makanan dan tandas awam adalah dua petunjuk yang menunjukkan tahap kebersihan yang diamalkan oleh masyarakat setempat. Sekiranya ia kotor, buruklah imej kita.
  Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini, sudah tentunya isu ini menjadi bertambah penting kepada semua pihak. - Berita Harian, 17 November 2013