Thursday, 21 November 2013

KDN pantau kumpulan yang ada agenda tersembunyi

Ahad lalu, seorang pegawai tinggi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek ditembak mati, dipercayai angkara anggota kumpulan ajaran sesat yang kesnya pernah dikendalikan mangsa. Beberapa kes seumpama itu pernah berlaku sebelum ini, termasuk pencerobohan kumpulan Al-Maunah ke atas Kem Rejimen Askar Wataniah pada 2 Julai 2000 dan serangan di Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980. Pada 24 Oktober lalu pula, seorang lelaki penghantar barang menikam sampai mati dua individu dan mencederakan dua yang lain di Taman Melati berhampiran Kuala Lumpur, selepas mendakwa terdengar suara ghaib memintanya bertindak demikian. Semua kejadian itu membimbangkan masyarakat terutama apabila ajaran sesat membawa kepada keganasan menggunakan senjata api. Bagi mengetahui tindakan sedang dilakukan kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani perkara itu, wartawan BH, Razak Rashid Ghows menemubual Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wartawan: Boleh Datuk nyatakan pemantauan yang dibuat ke atas kegiatan ajaran sesat di negara ini?
Wan Junaidi: Kita pantau aktiviti setiap badan di negara ini secara berterusan, tak kira dari sudut agama atau lain-lain. Kita juga belajar daripada sejarah apa yang berlaku pada masa dulu. Biasanya aktiviti kumpulan yang cenderung kepada agama bermula dengan dakwah. Lepas satu peringkat, aktiviti mereka ditingkatkan kepada satu sudut lagi dengan adanya kumpulan tertentu yang taksub kepada pemimpin mereka secara keterlaluan.

Umpamanya, Jemaah Islamiyah (JI) bermula dengan dakwah saja seperti berlaku di Indonesia. Kemudian sampai satu peringkat dipertikaikan kenapa mereka berdakwah saja, kenapa tak ubah pula kerajaan. Mereka guna landasan agama yang kadang-kadang kita tak nampak kecenderungan mereka kerana landasan itu baik. Matlamat mereka bukan agama tapi ada agenda tersembunyi. Oleh kerana ketaksuban kepada pemimpin menyebabkan pemimpin berkenaan memikirkan agenda lain dan akhirnya menjalankan aktiviti yang selaras dengan pemikiran mereka ketika itu. Mereka menjalankan latihan secara regimentasi, indoktrinasi, lepas itu merekrut di seluruh negara, menubuhkan sel tertentu dan memberi latihan ala militari.
Matlamat itu sudah berlainan, walaupun kita lihat JI ini dalam konteks Indonesia, ia bersifat tempatan tapi Indonesia besar dan pengaruhnya menyebar. Syiah itu sendiri sudah ke peringkat antarabangsa. Kita tak sehaluan dengan pendapat Syiah, pendapat kita berlainan. Kita bimbang benda macam ini, bermula dengan persoalan pengajaran agama.

S: Bagi mengingatkan orang ramai mengenai kumpulan ajaran sesat ini, selain Tuhan Harun, Al-Maunah dan lain-lain, apakah pihak lain yang juga bergerak sebagai kumpulan ajaran sesat?
J: Satu ketika dulu, kita pernah dengar kumpulan Haji Ibrahim, Tentera Sabiullah, Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Ibrahim Libya, Nasir Ismail, semuanya kumpulan ini dulunya bermula dengan agama. Kalau dilihat apa KMM lakukan, dia rompak senjata dari balai polis dan rompak bank untuk kumpul dana untuk disumbangkan kepada perjuangan mereka. Sebahagiannya mungkin dihantar dan sebahagian lagi diagihkan kepada anak murid sendiri. Walaupun dalam konteks keagamaan, manfaat peribadi juga dilihat berlaku. Kita kena sentiasa berjaga-jaga kerana di negara ini kita belum lagi lihat perkara ini berkembang seperti JI dan al-Qaeda semuanya bermula dengan agama. Lepas itu mereka mengembangkan agama dan menukar kerajaan dan tidak percaya dengan sistem hari ini diamal di seluruh dunia dan diterima masyarakat sejagat. Yang ekstrem rela mengorbankan diri dan timbul persoalan lain. Mungkin sebelum menyertai kumpulan ini mereka adalah orang jahil, orang jahat dan mempunyai rekod jenayah. Jadi untuk mengatasi kelemahan diri sendiri, mereka mendekatkan diri dengan Tuhan dan satu cara ialah dengan mati syahid.

S: Pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek Ahad lalu, apakah membabitkan kumpulan ajaran sesat tertentu?
J: Pembunuhan di Kuantan itu kita tak lihat hubungannya dengan Syiah kerana Allahyarham Ahmad Rafli juga terbabit menguatkuasakan undang-undang berhubung maksiat dan ajaran sesat. Maknanya kerajaan belum tahu sama ada dikaitkan dengan Syiah atau pihak lain yang mengambil kesempatan. Payah nak pastikan. Dalam keadaan sedemikian kita kena berjaga-jaga sebelum kumpulan ini menaikkan tahap daripada mengembangkan agama kepada tahap untuk membesarkan anggota dan indoktrinasi dan selepas itu taksub kepada pemimpin seperti al-Arqam yang menyeleweng, walaupun belum ada bibit mereka akan menghala ke arah militan. Kalau berlaku, payah diatasi kerana kepercayaan kepada pemimpin keterlaluan sangat. Agensi menjaga keselamatan negara tak boleh teragak-agak, kena kawal dan ambil tindakan.

S: Apakah ada unit khas KDN untuk pantau kegiatan ajaran sesat ini?
J: Saya melihat dari sudut KDN sendiri. KDN ada satu unit tapi unit ini memantau pegawai yang turun padang iaitu Unit Cawangan Khas. Pada satu ketika dulu saya pernah berucap selaku Ahli Parlimen bahawa apabila darurat tamat pada 1974 di Sarawak dan lenyapnya komunis di Semenanjung pada 1989, nampaknya polis dan kerajaan tak lagi memperlengkapkan sangat unit Cawangan Khas ini. Tapi apabila dilihat riak dari sudut agama, saya sarankan kepada kerajaan supaya jangan kurangkan penekanan kepada Unit Cawangan Khas kerana hanya itu saluran bagi membolehkan kita mengetahui mengenai kegiatan haram ini. Unit berkenaan cukup kepakaran dan pada satu ketika Cawangan Khas kita dianggap antara yang terbaik di dunia. Kini kita lihat operasinya ditingkat semula apabila timbul pelbagai gerakan.

S: Sekali sekala timbul kejadian ekstrem seperti serangan ke atas Balai Polis di Batu Pahat, Al-Maunah dan serangan di Taman Melati, Kuala Lumpur dan pegawai JAIP. Kejadian ini menimbulkan kebimbangan masyarakat.
J: Sebagai bekas pegawai polis, dari awal lagi saya menyedari betapa pentingnya soal keselamatan dan rangkaiannya. Pihak Cawangan Khas memang tahu apa yang berlaku tapi jarang apa yang diketahui diumumkan, cuma ada maklumat tertentu disebarkan oleh Ketua Polis Negara. Cara pegawai Cawangan Khas ini bekerja, kadang-kadang dalam satu pejabat pun pegawai lain tidak tahu apa yang rakannya buat. Saya yakin kebimbangan ini ada asas untuk kita berjaga-jaga supaya tak terjebak seperti di negara lain. Kumpulan yang ada dalam negara kita dipantau gerak geri mereka dan negara mana mereka berkunjung.

S: Timbul pertanyaan dari mana datangnya senjata yang digunakan oleh penjenayah ini?
J: Inilah sebabnya kerajaan sekarang sedang timbang untuk memagar sempadan Thailand sepanjang 600 kilometer. Saya sendiri sudah melawat kawasan sempadan Sungai Golok sepanjang 120 kilometer antara Kelantan dengan Thailand. Di Sungai Golok ada 50 jeti haram dan 40 jeti beroperasi aktif di mana pemindahan barang dan penyeludupan berlaku. Maknanya banyak senjata masuk dari sempadan Thailand sama ada menerusi Sungai Golok atau Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam. Saya jumpa Menteri Besar Kelantan minta dikosongkan kawasan rizab sungai di Kelantan sepanjang 95 kilometer. Secara prinsipnya Menteri Besar bersetuju tapi nampak ada halangan dari sudut dasar politik mereka. Kalau kita lihat politik dulu dan keselamatan negara kemudian, ini mendatangkan satu masalah. Sepatutnya kita letak idealisme atau politik di belakang dan utamakan keselamatan negara, baru boleh masalah ini ditangani. Dengan Indonesia, terdapat zon penampan hutan besar, jadi payah sikit, lagipun senjata tak banyak masuk di Kalimantan walaupun kita ada 1,410 kilometer sempadan antara Sarawak dan Kalimantan. Sempadan kita sepanjang 800 kilometer dengan Brunei tak ada masalah. Kalimantan ada juga didapati penyeludupan senjata tapi senjata buatan sendiri dan polis sudah merampas senjata berkenaan. Itu sebabnya secara peribadi saya bincang dengan menteri bahawa penjagaan sempadan kita terpaksa diperketatkan. Kita kena lihat sebelum perkara berlaku supaya dikawal rapi, bahkan penubuhan unit baru di Sarawak saya cadang tambah dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk jaga sempadan, dan itupun dianggap kecil dari sudut keselamatan kalau dilihat apa yang berlaku di Lahad Datu.

S: Maknanya penyeludupan senjata melalui Sungai Golok dan kawasan sempadan Thailand dalam pengetahuan polis dan KDN tapi kenapa selama ini boleh berlaku?
J: Memang ada penangkapan oleh polis tapi tak dihebahkan. Apabila undang-undang dimansuh baru kumpulan penjenayah ini nampaknya begitu aktif untuk mencari senjata di sebelah sana. Sebelum ini dia tak aktif dan tak berani. Kegiatan perjudian tumbuh bagai cendawan di kawasan bandar dan pekan baru di Sarawak. Serbuan dibuat tapi yang kita tangkap selalunya pengendali komputer dan budak pejabat sementara tauke malah orang nombor dua pun kelibatnya tak kelihatan. Tutup yang ini, dia buka di tempat lain. Undang-undang baru diluluskan Dewan Rakyat membolehkan tindakan diambil ke atas pemilik yang membenarkan premisnya digunakan untuk kegiatan haram. Pemilik kedai dan premis hendaklah memantau apa yang dibuat oleh penyewa. Apa juga operasi haram di bawah undang-undang, kalau benarkan orang lain pakai, kedai boleh disita dan dilelong.

S: Melihat kepada beberapa kejadian yang berlaku di negara ini akibat kegiatan kumpulan ajaran sesat, apakah rakyat patut juga memainkan peranan memantau?
J: Saya tak percaya hanya kecekapan polis dan peralatan canggih boleh atasi semua atau kebanyakan masalah melainkan masyarakat bekerjasama. Saya pernah empat tahun setengah dalam hutan ketika menganggotai pasukan polis hutan dulu. Bila sesuatu kawasan dikuasai pengganas, kita bertanya pada penghuni setiap rumah tapi mereka menyatakan tidak tahu di mana komunis berada sedangkan di belakang rumahnya ada khemah komunis, jadi payahlah bagi pasukan keselamatan mengambil tindakan. Polis belajar daripada ini dan berharap masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat. Sikap menjaga tepi kain orang adalah pendekatan lebih baik untuk menyampaikan maklumat kepada polis bila ditanya.

S: Setakat ini sejauh mana ancaman Syiah dan kumpulan ajaran sesat ini?
J: Belum ada ancaman lagi dan kita cuba halang supaya tidak ada ancaman. Jika sampai peringkat itu mungkin kita terlambat. - Berita Harian Ahad, 17 November 2013