Sambutan tahun baru itu yang turut diraikan oleh pemimpin
negara juga membawa bersama harapan baru kepada setiap individu, masyarakat dan
negara.
Tetapi pada tahun ini terdapat ura-ura ada pihak cuba
‘mencuri’ suasana berkenaan dengan menganjurkan ‘Himpunan Guling Kerajaan’ bagi
menjatuhkan kerajaan kononnya atas alasan menyuarakan bantahan mengenai
kenaikan harga barangan.
Sudah tentunya dalam keadaan negara kita yang aman damai
ini, kesempatan yang cuba diambil itu tidak sesuai dengan suasana sambutan
tahun baru.
Sewajarnya, kita melangkah masuk ke 2014 dengan penuh
semangat baru serta memperbaharui azam untuk menambahbaik pencapaian kita.
Tahun baru itu perlu disambut dengan nafas dan aspirasi untuk kita menjadi
manusia lebih baik dan membetulkan apa juga kesilapan yang dilakukan sepanjang
2013.Namun, kita mengakui bahawa rakyat sememangnya mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan sebagai mana diperuntukkan Akta Perhimpunan Aman 2012. Tetapi itu tidak bererti mereka boleh mengambil kesempatan daripada perhimpunan biasa rakyat untuk menyambut tahun baru itu bagi menyampaikan mesej dengan tujuan menjatuhkan kerajaan memerintah.
Seperti ditegaskan penganalisis politik, Prof Dr Chandra
Muzaffar, sekiranya hendak berhimpun bagi membantah kenaikan harga barangan
ataupun protes mengenai isu tertentu, matlamat mereka hendaklah jelas dan
mereka hendaklah berpegang kepadanya.
“Perhimpunan seperti ini bukan forum sesuai bagi
menyelesaikan isu mengenai kenaikan harga barangan,” katanya.
Sebaliknya, katanya, apa yang perlu adalah kajian kenapa
berlaku kenaikan harga barangan dan bagaimana untuk menanganinya.
“Hasil kajian itu perlu dibentangkan pada khalayak dan
kerajaan,” katanya.
Tetapi tegas Chandra, sehingga kini beliau tidak nampak
kumpulan pendesak itu membuat kajian, sebaliknya sekadar ingin mengadakan
perhimpunan bagi menyuarakan perasaan marah.
“Ini bukan cara mencari penyelesaian. Kita mahu
penyelesaian. Pastinya kita tidak boleh menyelesaikan isu yang dibincangkan
melalui perhimpunan atau bantahan.
“Mereka harus kaji, buat memorandum dan hantar kepada
Perdana Menteri, Kabinet dan media arus perdana. Sekiranya media arus perdana
tidak menyiarkannya, mereka boleh menulis mengenainya dalam portal berita atau
memuat naik bahan itu ke laman web,” katanya.
Dalam menghadapi isu semasa berhubung kenaikan harga
barangan itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpendapat bahawa
cara yang digunakan penganjur himpunan berkenaan tidak sesuai sama sekali.
Laporan akhbar menyatakan beberapa pemimpin parti politik
yang pernah terbabit dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur termasuk BERSIH
sebelum ini dikesan menjadi dalang dalam penganjuran perhimpunan berkenaan.
Sehingga kelmarin, lebih 400 laporan polis sudah dibuat bagi
membantah penganjuran perhimpunan itu. Bantahan diterima daripada segenap
lapisan rakyat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan orang
perseorangan yang sudah jemu dengan tindakan yang bertujuan memporak-perandakan
masyarakat.
Justeru, sewajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan
terhadap individu yang cuba menjadi dalang menghasut orang ramai supaya
berhimpun secara beramai-ramai di Dataran Merdeka bagi memprotes terhadap
kenaikan harga barangan.
Sebagai rakyat, kita juga mempunyai hak yang sama untuk
memperoleh kebebasan meraikan kedatangan 2014 tanpa sebarang insiden yang boleh
menjejaskan suasana riang ria di ambang Tahun Baru. - Berita Harian, 28 Disember 2013