Thursday, 26 December 2013

Ikrar presiden baru CUEPACS tambahbaik kebajikan ahli

Presiden baru CUEPACS, Azih Muda (kiri) dan mantan presiden, Datuk Omar Osman pada Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam itu di Kuala Lumpur pada 19 Dismber 2013.
Temuramah dengan Presiden baru CUEPACS, Azih Muda

Wartawan: Selepas dipilih sebagai Presiden CUEPACS, apa fokus utama saudara?

Azih: Perkara utama yang saya fikir amat penting sekarang ialah baki skim perkhidmatan yang belum disemak semula yang mana 81 skim ini dinaikkan taraf daripada hanya dengan kelayakan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR). Masih ada 168 skim lagi belum disemak dan 100 lagi dijanjikan oleh kerajaan (untuk semakan semula) seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) termasuk skim penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan di seluruh negara, gred Pembantu Tadbir, Pembantu Kewangan, Juruteknik Komputer yang tertinggal dan masih berada dalam lantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hampir 20 tahun tidak dikaji perjawatan mereka. Mungkin agak besar jumlah penjawat awam dalam kumpulan ini. Kalau tidak dibuat sekarang, saya rasa  rasa kekecewaan ahli di bawah gabungan CUEPACS satu hari nanti mungkin tidak dapat dikawal.

S: Datuk Omar Osman bersara selepas tujuh tahun menerajui kesatuan dan meletakkan CUEPACS pada satu aras yang tinggi. Bagaimana kesinambungan ini akan dilaksanakan kepemimpinan baru ini?
J: Tidak pernah berlaku dalam sejarah yang mana kami sembilan pegawai tertinggi CUEPACS bekerja bersama-sama. Dulu mungkin kolaborasi kurang sikit tetapi apabila Omar mengambil alih, kita bekerja bersama-sama dengan baik. Kami mempunyai tanggungjawab khusus dan bergerak bersama-sama termasuk dalam rundingan dengan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ini adalah nadi kekuatan CUEPACS. Yang kedua, kita menyelami hati nurani, perasaan dan kehidupan penjawat awam dengan turun padang. Seperti mana yang Perdana Menteri buat, Omar dan jawatankuasa tertinggi CUEPACS pun turun padang. Kita lihat bagaimana pekerja di peringkat bawah yang ada anak ramai, tiada rumah, gaji tiada selepas dibuat potongan atau terlalu sedikit, pelbagai masalah dan halangan, termasuk bekerja cemerlang tetapi pangkat tidak naik. Dari segi jabatan, isu yang timbul mungkin tidak ada perjawatan khusus untuk diangkat kepada JPA. Ini semua kita hendak buat dalam tempoh tujuh tahun, bukan saja kita bela kebajikan pekerja tetapi pada masa sama, bekerjasama dengan ketua agensi bagi memastikan laluan kerjaya penjawat awam ada. Ini bukan mudah untuk kita yakinkan ketua jabatan di peringkat negeri atau badan berkanun, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan Persekutuan. Bukan mudah untuk JPA luluskan dari segi saiz jabatan dan sebagainya. Dengan kerjasama Omar, saya rasa lebih mudah. Saya akan meneruskan apa yang kita buat bersama.

S: Apa perubahan yang saudara akan lakukan?
J: Apabila saya ambil alih, yang pertama saya hendak pastikan ialah soal kebajikan. Kalau kita boleh jaga kebajikan, nama CUEPACS akan menjadi bagus dan kerajaan akan disanjung. Produktiviti akan nampak bagus, output yang mereka hasilkan baik kalau mereka dijaga. Kalau orang tidak jaga, saya tidak nampak hasrat kerajaan untuk pastikan slogan Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan dapat dicapai. Semua orang adalah rakyat, termasuk ketua jabatan. Jadi kita sama-sama memerlukan.

S: Dari segi hubungan dengan kerajaan, adakah CUEPACS akan mengekalkan hubungan rapat seperti di bawah kepemimpinan lama?
J: Kita mahu engagement (hubungan) yang ada ketika era kepemimpinan Omar diteruskan. Saya percaya proses perundingan itu lebih baik kita berkonfrontasi atau demonstrasi. Kalau pintu tidak terbuka tindakan terpaksa kita buat. Kita tidak akan berkompromi dalam hal ehwal menjaga kebajikan pekerja. CUEPACS tidak rasa manfaatnya tetapi penjawat awam yang mendapat faedah. Faedah itu turut dirasai oleh orang lain di luar seperti mereka yang ada kepentingan dengan penjawat awam. Ini termasuk juga soal bonus, insentif bantuan khas dan sebagainya.

S: Selaku presiden baru, apa mesej saudara kepada penjawat awam?
J: Walaupun kepemimpinan sudah berubah dalam CUEPACS, pucuk pimpinan akan terus memastikan kebajikan penjawat awam menjadi agenda utama kita selaras dengan Slogan CUEPACS, Kebajikan Diutamakan, Produktiviti Ditingkatkan. Kedua, kita minta penjawat awam tingkatkan produktiviti dan inovasi. Apabila berlaku peningkatan produktiviti, hasil kerajaan akan bertambah dan mungkin kerajaan boleh tambah bantuan untuk kita. Ketiga, harapan saya supaya rasionalisasi subsidi dikurangkan dan kerajaan dapat mengekang peningkatan harga minyak, harga barangan dan harga makanan. Apa yang Perdana Menteri sebut bahawa peningkatan gaji dari 2006, 2007 sampai 2013 sebanyak 48 peratus tidak memberi makna disebabkan kenaikan harga barang dan kos lain yang meningkat. CUEPACS akan memastikan dalam tempoh beberapa tahun ini pendapatan minimum seseorang penjawat awam tidak kurang dari RM4,000 sebulan. Dalam memenuhi hasrat ini, kita perlu menjaga integriti penjawat awam dengan tidak melakukan perkara yang tidak baik kerana ia akan meninggalkan kesan buruk kepada sektor awam. Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. - Berita Harian Ahad, 22 Disember 2013