Tuesday, 3 December 2013

Pemuda UMNO mahu rapatkan semula barisan pemimpin, ahli

Temuramah dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar   

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat antara  agenda Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan berkisar kepada usaha untuk mempertautkan dan merapatkan kembali barisan kepemimpinan parti pada semua peringkat. Paling penting semua pihak hendaklah menghormati keputusan  dibuat oleh kira-kira 150,000 ahli pada peringkat akar umbi pada pemilihan baru-baru ini. Ikuti temu bual bersama beliau sempena perhimpunan agung yang bermula hari ini.

  Wartawan:  Pada pemilihan UMNO baru-baru ini, perwakilan mengekalkan status quo dalam barisan pucuk pimpinan parti dan pada masa  sama, ahli mahukan perubahan. Dalam konteks ini bagaimana perubahan boleh dilakukan?
  Khairy: Barisan kepemimpinan parti sebelum pemilihan lalu bersetuju agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dan ini dipersetujui demi memastikan kesinambungan perjalanan parti. Ia juga penting agar tidak berlaku perpecahan dalam parti untuk jawatan berkenaan. Ukhwah pada  peringkat itu amat penting untuk merencanakan dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
   Mengenai status quo yang disebutkan itu, selain untuk dua jawatan tertinggi parti, saya melihat situasi itu menuntut kita supaya mempercayai dan yang lebih penting menghormati pilihan yang dibuat oleh kira-kira 150,000 perwakilan. Kita komited terhadap perubahan.

  S: Bolehkah ahli menaruh harapan kepada barisan kepemimpinan yang ada untuk melakukan perubahan ini?
  J: UMNO dan BN sudah mentadbir negara sejak negara  merdeka lagi dan sepanjang 56 tahun itu, pemimpin parti datang dan pergi sesuai dengan perumpamaan – patah tumbuh hilang berganti. Begitulah keadaannya dalam hal kepemimpinan UMNO. Pemimpin yang terpilih sejak dulu lagi sentiasa menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan dalam pentadbiran dan sentiasa bersedia mendepani zaman, menangani isu semasa, tanpa sesekali berkompromi dalam agenda pemerkasaan bangsa serta menghormati hak semua kaum dan kepercayaan.

 Ahli UMNO sudah tentu menyedari keupayaan barisan kepemimpinan parti dalam memacu perubahan seperti dibuktikan melalui pindaan Perlembagaan UMNO yang antaranya menyaksikan kira-kira 150,000 perwakilan layak mengundi pada pemilihan baru-baru ini. Selain itu, syarat kelayakan yang agak longgar untuk pertandingan jawatan peringkat ketua sayap juga iaitu ia boleh ditandingi oleh mana-mana ahli yang menyertai UMNO sekurang-kurangnya selama tiga tahun adalah satu pindaan yang menunjukkan keterbukaan UMNO. Contoh perubahan besar yang dilaksanakan itu amat signifikan bagi membuktikan UMNO adalah parti amat demokratik dan pemimpin parti bersedia dicabar oleh mana-mana ahli yang layak. Presiden parti sendiri juga  menetapkan agenda transformasi pada  peringkat negara dan parti dan ini menunjukkan perubahan akan terus berlaku dari semasa ke semasa serta membuktikan parti ini amat responsif terhadap angin perubahan semasa serta mendukung harapan dan kemahuan ahli. Saya amat yakin parti ini mampu menunjangi perubahan yang dimahukan.
  S:    Saudara juga sudah mengumumkan barisan Ketua Pemuda Negeri yang baru. Sudah tentu mereka diyakini sebagai barisan yang boleh membawa atau ‘deliver’ perubahan ini?

 J:  Pelantikan barisan Ketua Pemuda Negeri serta naib yang baru diyakini mampu menyuntik semangat perjuangan tinggi untuk dihayati oleh ahli pada peringkat akar umbi iaitu di bahagian dan cawangan. Tanggungjawab mereka amat penting iaitu bagi memastikan roh perjuangan parti turut menyerap ke dalam diri ahli peringkat akar umbi. Terdapat kes pada  peringkat cawangan yang menyaksikan Ketua Pemudanya langsung tidak memahami agenda perjuangan parti dan hanya menyandang jawatan itu disebabkan ayah mereka adalah ketua di sesebuah cawangan.
  Hanya dengan kelebihan itu, mereka dilihat sebagai calon sesuai bagi mengetuai sayap pemuda cawangan dan natijahnya, agenda perjuangan UMNO gagal diterangkan kepada masyarakat tempatan dengan jelas. Itu  antara senario yang perlu diperhalusi  Ketua Pemuda negeri dan ditambah baik dengan segera. Mereka bertanggungjawab memastikan semangat serta roh perjuangan parti meresap ke akar umbi. Pelantikan barisan baru ini juga saya dan Naib Ketua, Khairul Azwan memperhalusi bersama dan mereka yang dilantik mempunyai rekod baik dalam pergerakan sayap Pemuda selama ini. Insya-Allah, segala perubahan  dimahukan  pucuk pimpinan serta ahli biasa akan dapat dihayati dan dilaksanakan selepas ini.

  S: Apa fokus Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO ini?

  J:  Antara agenda perhimpunan kali ini sudah tentu berkisar kepada usaha mempertautkan dan merapatkan kembali barisan di antara pemimpin dan ahli  setiap peringkat. Sentimen atau perbezaan yang wujud ketika musim pemilihan lalu dapat dibuang jauh ke arah usaha pemerkasaan parti dan sayap. Dalam kita meraikan hak demokrasi untuk ahli menyokong mana-mana calon ketika pemilihan lalu, saya amat berharap agar segala perbezaan itu akan dilenyapkan segera kerana sekarang kita bergerak ke arah satu pergerakan yang mempunyai sinergi mantap dan bersatu. Selain itu, perhimpunan kali ini menjadi platform terbaik bagi sayap Pemuda menzahirkan idealisme pergerakan ini yang bukan saja berperanan sebagai kumpulan pendesak yang tidak habis-habis beretorik, tetapi lebih penting sebagai sayap yang menyediakan dan mencari penyelesaian terbaik bagi setiap isu. Pergerakan Pemuda juga akan berbahas dan memberi nilai tambah kepada usul agama, pendidikan dan ekonomi yang menjadi kelaziman dalam Perhimpunan Agung UMNO selama ini.
  S:  Ada permintaan daripada Veteran UMNO agar mereka diiktiraf sebagai pemerhati khas seperti Kelab UMNO Luar Negara dan diberi peluang berucap untuk menyampaikan pandangan pada Perhimpunan Agung nanti. Apa pendapat Saudara?

  J: Sayap Pemuda sentiasa menghormati dan mengalu-alukan  pandangan, buah fikiran, teguran dan nasihat daripada golongan Veteran UMNO kerana kita percaya jika tiada yang lama, maka tiadalah yang baru. Kami percaya mereka mempunyai pengalaman luas dan kematangan  meniupkan asas perjuangan UMNO agar tidak dilupakan oleh generasi X dan Y kini. Oleh itu, sayap Pemuda berpandangan tiada salahnya untuk kita memberi ruang kepada wakil Veteran UMNO berucap pada perhimpunan kali ini, namun ini terserah kepada pertimbangan serta kebijaksanaan pengurusan parti.
  S:  Apa mesej saudara selaku Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung kali ini?

  J: Mesej paling utama ialah untuk mempersiapkan pergerakan ini dan menyediakan barisan kepemimpinan Pemuda UMNO yang mantap sebagai generasi peneraju negara pada masa depan. Pemuda juga akan mempergiatkan program latihan serta memperbaharui sesetengah modul yang agak ketinggalan agar kita kekal relevan dan segar dengan era semasa. Oleh itu,  kita akan memperhebatkan program pengkaderan pemimpin Pemuda UMNO dalam dua peringkat iaitu pemimpin massa dan pemimpin politik yang lengkap dalam pelbagai segi. Mesej kali ini juga tertumpu ke arah usaha merapatkan hubungan antara ahli dan pemimpin sayap selepas pemilihan lalu.
 Ini perlu diperingatkan dan diperjelaskan kepada ahli agar mereka tidak terikut-ikut dengan semangat pertandingan lalu dan terkeluar daripada landasan sebenar kita iaitu  menghadapi musuh politik kita di luar sana. Fokus kita ialah untuk menang PRU-14 akan datang dan mereka perlu bermuhasabah serta menyedari  tanpa jawatan pun, kita boleh berbakti kepada parti dengan amat berkesan. Selain itu, saya juga mahu menyampaikan agenda progresif dalam sayap Pemuda bahawa pendekatan kita bukan hanya dengan beretorik, tetapi mencari dan menyediakan penyelesaian terbaik kepada isu yang dekat dengan hati rakyat. Namun, dalam kesederhanaan kita mendekati  masyarakat berbilang bangsa dan agama, saya juga ingin berpesan supaya jangan sesekali kita melupakan atau menggadai agenda pemerkasaan Islam serta Bumiputera tanpa merampas hak orang lain. - Berita Harian, 3 Disember 2013