Tuesday, 6 February 2018

Harapan pada pengerusi baharu MARA

Pelantikan Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai Pengerusi MARA sudah tentunya dialu-alukan oleh semua pihak.

Ini kerana MARA, seperti dalam nama penuhnya Majlis Amanah Rakyat, adalah sebuah  agensi kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat.

Ia seharusnya bertindak sebagai badan yang membantu rakyat, khususnya Bumiputera dalam pelbagai sektor terutama pendidikan dan perniagaan.

Sebenarnya itulah harapan segenap lapisan rakyat apabila setiap kali adanya ‘kapten’ baharu dilantik ke badan tertentu, mahupun syarikat berkaitan kerajaan yang lain (GLC).
Orang yang memegang teraju utama dalam GLC dan agensi kerajaan  hendaklah sedar bahawa mereka bukannya diletakkan di tampuk kekuasaan sesebuah lembaga atau majlis untuk memanaskan kerusi yang empuk atau bersuka-ria sahaja.

Jawatan itu tidak harus dilihat sebagai satu anugerah bagi mereka kerana setia dengan parti dan pemimpin. Lebih daripada itu, ia adalah tanggungjawab yang berat.

Kita berharap Awang Adek akan menjadi teraju yang akan menambahbaik MARA dan menggeledah semua sektor untuk melihat tempat mana memerlukan perhatian segera beliau.

Mengikut sejarah penubuhan MARA dalam laman webnya, agensi berkenaan yang terletak di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.

Ia adalah kesinambungan daripada Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau RIDA yang ditubuhkan pada 1953 ketika bara nasionalisme sedang memarak bagi mengatasi kemunduran dan kemiskinan dalam kalangan Melayu.

Objektif penubuhannya tidak harus pudar dan seharusnya diteruskan dengan lebih agresif lagi. Ia tidak harus lari daripada kewajipannya untuk memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi masyarakat khususnya Melayu sama ada di bandar mahupun di luar bandar kerana garis kemiskinan bandar kini jelas lebih teruk berbanding di luar bandar.

Berdepan dengan situasi di mana rakyat tidak begitu yakin lagi dengan peranan agensi dan GLC ini, harapan diletakkan di atas bahu pengerusi baharu MARA berkenaan untuk merangka, merancang dan melaksanakan sedaya yang boleh apa jua program bagi meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu dalam bidang perniagaan dan pendidikan.

Perbanyakkanlah tempat perniagaan orang Melayu dan masukkan mereka ke dalam kompleks beli-belah dan gedung perniagaan lebih besar.

Mana-mana institusi pendidikannya yang seolah-olah dalam keadaan terbiar hendaklah dibaik pulih supaya tenaga pengajar dan pelajarnya lebih bersemangat untuk menimba ilmu pengetahuan. 

Apa juga program, penajaan dan pelaburan di dalam atau luar negara yang hanya bertujuan untuk  menghabiskan wang rakyat hendaklah dikaji semula dan jika perlu, dihentikan segera.