Monday, 9 December 2013

Dunia iktiraf usaha SPRM cegah rasuah

 
Temuramah dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed  

Hari Antirasuah Sedunia yang disambut hari ini adalah bagi menyedarkan masyarakat sejagat mengenai gejala rasuah yang boleh menjejaskan kedudukan sosial, politik dan ekonomi sesebuah negara. Justeru, usaha pencegahan rasuah menjadi agenda utama masyarakat antarabangsa dan Malaysia adalah antara negara yang memainkan peranan penting menjayakannya. Pada Persidangan Tahunan Ketujuh Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) di Panama City, Panama dari 22 hingga 24 November lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, 53, dilantik sebagai Naib Presiden IAACA. Ikuti temuramah dengan Abu Kassim mengenai peranan SPRM dalam usaha pencegahan gejala rasuah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

  Wartawan: Ketika dilantik sebagai Naib Presiden IAACA, Tan Sri berkata, inisiatif pencegahan rasuah yang dilakukan SPRM sudah mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Boleh Tan Sri huraikan lebih lanjut?
  Abu Kassim: Masyarakat antarabangsa melihat Malaysia mengambil langkah konsisten untuk memenuhi keperluan artikel mandatori dan opsyenal Konvensyen Antirasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC), antaranya pembentukan sebuah agensi pencegahan rasuah bebas, mewujudkan peruntukan bagi kesalahan rasuah sektor swasta, perlindungan saksi dan juga perlindungan kepada pemberi maklumat.

  Perhatian masyarakat antarabangsa juga jelas apabila SPRM turut dijemput membuat pembentangan pada forum pencegahan di luar negara seperti pada Persidangan Tahunan IAACA dan UNCAC.  Dua pembentangan daripada SPRM dan Malaysia dibuat ketika Persidangan Tahunan IAACA dan dua lagi pembentangan ketika sesi plenari CoSP kali kelima, kedua-duanya berlangsung di Panama, bagi berkongsi pengalaman Malaysia dalam melaksanakan program transformasi dan pencegahan rasuah. Pembentang kita juga diberi penghargaan untuk menjadi pembentang pertama daripada lebih 100 menteri dan pegawai tinggi kerajaan pada sidang Plenari CoSP kelima. Ketika di Panama, beberapa negara berminat untuk mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPRM dan ingin menyertai dalam program yang dikendalikan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) serta menjemput SPRM dalam program yang dikendalikan oleh negara berkenaan. Antaranya, Iran, Iraq, Qatar dan Tunisia. Ini menunjukkan bahawa dunia melihat SPRM sebagai mencapai standard berkelas dunia.
  S: Perdana Menteri sendiri menganggap pelantikan Tan Sri sebagai pengiktirafan besar oleh masyarakat global terhadap usaha antirasuah Malaysia. Apakah pembaharuan yang dilakukan sejak Tan Sri mengambil alih sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM?

  J: Seperti saya sebutkan tadi, inisiatif itu sebahagian daripada pembaharuan dilaksanakan oleh SPRM yang disumbangkan menerusi Program Transformasi SPRM. Saya tidak mahu menyatakan kejayaan ini hasil kepemimpinan saya semata-mata. Sebenarnya, ia adalah kesinambungan daripada usaha yang dibawa dan diasaskan sebelum 2009. Kejayaan kita adalah pembaharuan berterusan yang dilaksanakan sedikit demi sedikit.
 Cuma secara kebetulan saya berpeluang dan berkesempatan untuk melaksanakan secara menyeluruh berikutan keperluan dan harapan rakyat pada hari ini. Asas dan tapak kepada transformasi SPRM Fasa Satu bermula pada pertengahan 2007 dan saya bersyukur kerana terbabit secara langsung pada peringkat awal sehingga wujudnya SPRM pada 2009 yang mana pada ketika itu saya adalah Timbalan Ketua Pengarah BPR.

  Pelantikan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 2010 memberi peluang kepada saya untuk melaksanakan transformasi seterusnya dengan mengambil kira aspirasi negara, kehendak masyarakat dan perubahan persekitaran yang memerlukan SPRM menjadi lebih efektif, proaktif, dinamik dan profesional dalam membanteras rasuah.
  Saya melihat usaha memerangi rasuah memerlukan pembaharuan secara holistik iaitu peringkat sistem, struktur dan modal insan serta perundangan. Kita bergerak dengan menggubal Aspirasi SPRM 2010, iaitu menjadikan SPRM sebuah badan pencegahan rasuah bebas, telus dan profesional.

 S: Sudah tentu ada langkah tertentu SPRM yang menjadi ikutan negara asing?
 J: Ya, saya bersetuju. Setiap negara atau agensi pencegahan mahu belajar daripada negara lain. Seperti kita mempelajari aspek baik dan relevan dari negara lain sebelum ini, ada negara yang menyatakan kesediaan dan menjalin kerjasama dua hala bagi mempelajari daripada kita. Kita sedia membantu negara berkenaan. Antaranya, negara paling dekat dengan kita ialah Brunei dan Indonesia. Enam negara dan agensi lain turut memeterai MoU dengan SPRM ialah INTERPOL, Suruhanjaya Bebas Antirasuah Hong Kong, Vietnam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Pentadbiran Kehakiman (CHRAJ), Mesir dan Kyrgyzstan. Sebagai contoh selepas persidangan negara anggota yang menerima pakai Konvensyen PBB Menentang Rasuah (CoSP), Malaysia membuat pembentangan berkaitan Ikrar Integriti Korporat (CIP). Banyak negara kagum cara kita membawa sektor swasta dalam usaha pencegahan rasuah. Unit Pencegahan Rasuah Kemboja juga menunjukkan minat mendalam dan ingin belajar dengan SPRM dan berhasrat mengamalkan di negara mereka inisiatif CIP.

 Kejayaan SPRM bukan saja diukur dari segi kejayaan menangkap pesalah rasuah, tetapi lebih penting adalah pelaksanaan dalam menyelesaikan sesuatu kes dengan cara sistematik dan strategik melalui pendekatan Pengurusan Siasatan Berkesan yang dilaksanakan sepenuhnya bermula 2011. Inisiatif pencegahan rasuah yang dilaksanakan oleh SPRM mula mendapat perhatian masyarakat luar negara. Rantau Arab juga berhasrat untuk membina pusat latihan pencegahan rasuah dan meminta SPRM membantu mereka. Peranan SPRM di pentas antarabangsa mendapat perhatian dunia dan diiktiraf oleh badan antarabangsa seperti INTERPOL, Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), South East Parties Against Corruption (SEAPAC) dan Konvensyen PBB Mencegah Rasuah (UNCAC).
  S: Mungkin tidak ramai yang tahu mengenai IAACA. Apa peranan badan antarabangsa itu dalam langkah mencegah rasuah?

 J: IAACA adalah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan hasil mesyuarat khas yang diadakan di Vienna pada 2006. Beribu pejabat di China, objektif utama IAACA adalah menggalak dan menyokong pelaksanaan UNCAC secara lebih berkesan dan membantu anggotanya melaksanakan usaha memerangi rasuah dengan efektif. Ia sehingga kini mempunyai lebih 300 anggota yang merangkumi negara dan pertubuhan pihak berkuasa pencegahan rasuah dari seluruh dunia.

 S: Apa manfaat yang kita peroleh daripada keanggotaan dalam IAACA?
 J: Keanggotaan Malaysia dalam IAACA membuka ruang berharga bagi menzahirkan peranan dan kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah di peringkat domestik mahupun antarabangsa, sekali gus menjana perspektif lebih tepat mengenai senario rasuah di negara ini. Selain itu, ia juga mampu mengetengahkan keberhasilan mekanisme pencegahan rasuah yang diungguli kerajaan terutama inisiatif yang terkandung dalam GTP, Pelan Integriti Nasional (PIN) SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM), PEMUDAH dan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) dapat ditonjolkan. Saya juga mendapati keanggotaan kita dalam IAACA membolehkan peranan MACA sebagai pusat latihan pencegahan serantau dapat disebarluaskan dan disambut baik oleh anggota IAACA. Di samping mengukuhkan rangkaian dan jaringan kerjasama sedia ada, keanggotaan kita dalam IAACA membolehkan pertemuan pelbagai entiti penting pencegahan rasuah dunia itu turut merintis potensi kesepakatan dan inovasi baru.

 S: Bagaimana kerjasama dilakukan antara negara dan melintasi sempadan?
 J: Kami di SPRM menggunakan beberapa kaedah untuk menjalin kerjasama antara negara dan melintasi sempadan. Salah satunya ialah menerusi MoU. Setakat ini, lapan negara dan agensi sudah menandatangani MoU dengan SPRM. SPRM juga menyediakan latihan kepada pegawai negara lain dari segi mengendalikan siasatan dengan berkesan. Selain itu, kita juga mengadakan kerjasama dari segi mendapatkan dan berkongsi maklumat yang boleh membantu kes siasatan sama ada di Malaysia ataupun negara lain. Keadaan ini sangat jelas dalam hubungan dua hala dengan Brunei.

 Kerjasama ini turut diiktiraf oleh UNODC sebagai salah satu daripada 23 kejayaan dan amalan baik SPRM. Laporan UNODC mahu kita meneruskan kerjasama latihan dan teknikal ini. Dalam laporan penilaian UNODC yang dikeluarkan Mei lalu menunjukkan agensi itu mengiktiraf dan menyambut baik peranan MACC sebagai penyedia latihan interaktif dan bantuan menerusi program pembinaan kapasiti, latihan luar negara dan menyediakan program penempatan. UNODC juga menyifatkan siasatan bersama dan kumpulan kerja operasi bersama Brunei adalah satu contoh kerjasama penguatkuasaan undang-undang yang baik dalam kalangan negara pada peringkat dasar dan operasi. Kerjasama ini dipertigkatkan susulan Deklarasi Kuala Lumpur yang dimeterai pada Persidangan dan Mesyuarat Tahunan IAACA 2012.
  S: Ketika membentangkan kertas kerja pada sesi plenari persidangan tahunan dan mesyuarat agung IAACA itu, Tan Sri turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam melakukan transformasi terhadap badan pencegahan rasuah di Malaysia. Boleh Tan Sri jelaskan apa yang dihuraikan pada sidang berkenaan?

  J: Saya berpeluang menjelaskan apa yang kita lakukan sejak SPRM ditubuhkan pada 2009. Ini termasuk pelaksanaan program transformasi sejak 2010. Program transformasi ini kita bahagikan kepada tiga fasa, dimulai dengan transformasi struktur. Ini diikuti pula dengan transformasi membabitkan sektor operasi dan modal insan yang juga selesai dilaksanakan. Kini, kami melangkah ke sektor pencegahan. Proses merangka strategi di bawah Program Transformasi Pencegahan sedang dilakukan dan dijangka selesai April 2014. Kesan dan impak dari segi tempoh penyelesaian kes yang disiasat dengan cepat, kadar sabitan meningkat dari 2009 hingga 2012 berbanding SPRM ditubuhkan, dan yang ketiga, peningkatan kadar profesionalisme pegawai SPRM menjalankan siasatan.
 S: Setiap tahun pegawai SPRM kita dihantar untuk mendapat latihan di peringkat antarabangsa termasuk di Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa di Vienna, Austria. Selain Vienna, di mana lagi tempat pegawai SPRM menjalani latihan?

 J: Memang ada. Kami menghantar pegawai kami ke pelbagai negara. Tahun ini kami menghantar pegawai ke United Kingdom, Amerika Syarikat, Taiwan, China, Hong Kong untuk mempelajari dan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai aspek. Ini termasuk sektor teras SPRM iaitu siasatan, risikan, pencegahan dan modal insan. Di samping itu, SPRM juga mengundang tenaga pengajar dan pakar dari negara luar, misalnya dari National Policing Improvement Agency, United Kingdom dan FBI Academy, Amerika Syarikat. - Berita Harian, 9 Disember 2013