Ada yang menyokong
kerajaan atau pembangkang dan ada yang mengambil jalan tengah dengan
mengeluarkan kenyataan berdasarkan isu semasa. Lagi panas sesuatu isu itu, lagi
banyaklah komen NGO ini, yang dianggap sebagai suara ketiga.
Media juga mempunyai
ruang khas yang disediakan bagi membolehkan pandangan ini disampaikan oleh
semua pihak. Selain forum pembaca, terdapat juga beberapa ruangan lain termasuk
berbentuk interaktif sebagai suara akar umbi. Lazimnya kebanyakan pembaca lebih tertarik dengan bahan sensasi ataupun pemikiran kritikal mengenai isu tertentu. Mereka juga berasa lebih ‘teruja’ untuk membaca bahan yang menghentam daripada yang membela pemerintah.
Sebagai wartawan
media arus perdana, penulis sememangnya sedia maklum dengan trend begitu ramai pembaca sebenarnya lebih
menggemari bahan yang dimuat naik ke laman sosial.
Justeru tidak
hairanlah mengapa apabila berlaku sesuatu, banyaklah komen dan ulasan yang
diluahkan oleh orang ramai. Tugas menjelaskan sesuatu isu pula bukannya mudah
dilakukan kerana untuk mengkritik atau menghentam adalah lebih senang daripada
membuat penjelasan.
Baru-baru ini ketika
penulis menemui bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah, beliau turut
melahirkan pandangannya dalam kebanyakan
keadaan, hanya ada beberapa NGO yang
berani tampil ke depan dan mendominasi pandangan awam.
Saifuddin yang
memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pergerakan Kesederhanaan
Global (GMMF) berpendapat, kita mempunyai banyak NGO termasuk kumpulan kecil
yang terbabit dalam perjuangan tertentu terutama berkaitan dengan masalah sosial dan
kepentingan masyarakat.
Ada NGO asyik
mengeluarkan pandangan mengenai konsumerisme, ada yang memperjuangkan alam
sekitar manakala yang lain menjadikan dakwah sebagai teras perjuangannya.
Pada hemat Saifuddin,
umumnya ada tiga jenis NGO yang aktif di negara ini. Yang pertama menjalankan
aktiviti secara umum, kumpulan kedua memberi khidmat masyarakat dan golongan
ketiga pula melakukan advokasi atau sentiasa menyatakan sokongan kepada
sesuatu.
“Ada dalam kalangan
NGO ini memberi khidmat dan sekali gus menyokong (iaitu melakukan advokasi).
Ada juga yang banyak menganjurkan aktiviti dan khidmat tapi tak buat advokasi.
Apapun, Saifuddin
berpendapat golongan yang banyak memberi sokongan itulah yang selalu
mendominasi pandangan awam. Sebaliknya golongan memberi khidmat tidak pula
dikenali umum.
Sebagai contoh, ada
kumpulan sentiasa menghulurkan bantuan di perkampungan Orang Asli tetapi orang
tidak tahu kerana mereka hanya menjalankan kerja dan tidak menghebohkannya.
Pada pemerhatiannya,
kebanyakan badan berkenaan nampaknya lebih mementingkan khidmat daripada
menyuarakan pendapat. Apabila berlaku
bencana alam seperti banjir, kumpulan NGO berkenaan akan hanya bekerja dan
tidak bercakap banyak.
“Saya tahu ada NGO
bekerja 24 jam membantu jentera kerajaan di peringkat akar umbi di kawasan
banjir.
“Kebanyakan badan ini
berorientasikan khidmat dan selalunya tak buat kenyataan media. Mereka inilah
yang tahu apa sebenarnya berlaku di tempat kejadian. Tapi akhirnya yang
mendominasi pandangan awam adalah golongan
tidak turun ke padang dan hanya pandai membuat kenyataan,” ujarnya.
Saifuddin berharap
badan beruniform dan sukarela akan turut bersuara dan menyatakan apa sepatutnya bagi memaklumkan kepada orang awam
apa sebenarnya berlaku di tempat kejadian.
“Jika mereka tidak
menceritakan hal sebenar, orang awam akan percaya apa yang pembangkang katakan,
seperti bantuan lewat sampai dan sebagainya.
“Apabila pembangkang
mengkritik, kerajaan pula terpaksa menjawab,” katanya.
Suara ketiga ini,
tambahnya, memang diperlukan kerana merekalah yang berada di tempat kejadian
dan melaksanakan tugas. - Berita Harian, 5 Februari 2014