Monday, 3 June 2013

UMNO tak perlu ikut telunjuk GERAKAN

  Cadangan GERAKAN supaya Barisan Nasional (BN) diubah menjadi sebuah parti tunggal bagi mengetepikan politik berasaskan kaum memerlukan kajian mendalam dan teliti. Walaupun idea itu menarik, ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana konsep BN yang unik sudah terbukti formula paling berkesan bagi memenuhi tuntutan semua kaum di negara ini.

  Pandangan yang menyatakan bahawa pengundi muda tidak tertarik dengan politik berasaskan kaum mungkin ada kebenarannya, tapi agak keterlaluan untuk membuat andaian bahawa semua pengundi muda tidak suka pada konsep parti pelbagai kaum BN.
  Walaupun pengundi muda agak ramai bilangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru lalu, namun ia bukanlah satu ukuran jelas bagi menyatakan bahawa mereka tidak cenderung kepada sistem politik yang ada sekarang.

  Keanggotaan begitu ramai anak muda dalam parti komponen BN dan pembangkang sehingga tertubuhnya pergerakan khusus bagi mereka, seperti Putera UMNO dan Puteri UMNO adalah kenyataan yang boleh digunakan bagi menyanggah pendapat kononnya orang muda menolak sama sekali sistem kepartian yang mewakili kaum.
  Malah, pembangkang juga pada asasnya dianggotai majoriti satu kaum walaupun ia didakwa sebagai parti pelbagai kaum. PAS juga dianggotai orang Islam yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu. Tidakkah kedua-dua DAP dan PAS ini juga parti berasaskan kaum tapi masih mampu mendapat sokongan termasuk daripada orang muda?

  GERAKAN yang mencadangkan supaya BN menjadi parti tunggal dan bukan mewakili parti lain berasaskan kaum, juga majoriti anggotanya satu kaum. Kekalahan GERAKAN dalam PRU-13 adalah masalahnya sendiri dan tidak harus dikaitkan dengan parti lain walaupun ada pihak mendakwa bahawa UMNO menjadi punca MCA dan GERAKAN tidak disokong pengundi Cina.
  GERAKAN patut berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN kerana masih memberinya peluang untuk bertanding dalam pilihan raya walaupun secara umumnya parti itu semakin kehilangan sokongan. Pada PRU-13, GERAKAN hanya memang satu kerusi Parlimen iaitu di Simpang Renggam, daripada 11 kerusi yang diperuntukkan dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 31 yang ditandingi.

  Berbanding parti berteras kaum Cina dan India dalam BN, UMNO berjaya memperoleh lebih banyak kemenangan dalam PRU-13 berbanding pilihan raya sebelum itu. Justeru, apakah wajar kita menyatakan bahawa parti berasaskan kaum sudah tidak relevan lagi? Berapa banyak sangat pengundi muda kita sehingga boleh mendesak kita mengetepikan sistem yang diguna pakai sekarang?
  Untuk tempoh terdekat ini, negara perlu menangani isu yang berkaitan kehendak dan tuntutan kaum. Selagi negara masih belum maju sepenuhnya dan semua golongan rakyatnya mempunyai taraf yang sama, selagi itulah kita belum bersedia untuk mewujudkan parti tunggal untuk semua kaum.

  Idea tersebut memang baik, namun pelaksanaannya kena dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian masa. Konsep BN itu sendiri sebelum ini penjenamaan semula Parti Perikatan yang diubahsuai mengikut masa pada 1974 berikutan Pilihan Raya Umum 1969.
  Memandangkan isu itu kini satu cadangan popular dalam kalangan ahli dan pemerhati politik selepas PRU-13, kita yakin pemimpin BN tidak akan menolak cadangan itu begitu saja dan membawanya ke meja perbincangan. Cadangan itu perlu terlebih dulu dibawa ke sidang perwakilan parti masing-masing sebelum dibawa ke peringkat jawatankuasa makmal yang dicadangkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
  Namun, cadangan penubuhan parti tunggal BN itu bukan boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Banyak aspek perlu diambil kira sebelum ia dapat dilaksanakan termasuk jangkaan kehendak masyarakat selepas Malaysia menjadi negara maju pasca 2020.

  Apapun, penjenamaan semula konsep BN itu pastinya akan mencorakkan sistem politik baru di negara ini pada masa depan. Ketika itu, sebahagian besar pengundi lama sudah semakin berkurangan dan tempat mereka diambil alih oleh pengundi muda.
  Cara pemikiran rakyat juga berbeza dan dipengaruhi keadaan sekeliling yang dikuasai ledakan teknologi maklumat. – Berita Harian, 26 Mei 2013