Monday, 10 February 2014

Satira politik ala Barat tak sesuai untuk negara ini

Kelmarin Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempersoalkan kenapa tindakan lambat diambil terhadap klip video berbaur fitnah yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

 Sekiranya tiada tindakan, pihak yang mengeluarkan klip video itu akan berasa ‘besar kepala’ dan lebih berani untuk melakukan apa saja selepas ini, sekali gus menjejaskan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.

 Seperti ditegaskan Khairy, isu itu akan terus menjadi polemik dalam media dan tidak sihat untuk negara sekiranya ada pihak cuba mengambil tindakan balas agresif dan membuat pelbagai ugutan.
 Dalam klip video bertajuk ‘Onederful Malaysia CNY 2014’ yang dimuat naik di laman web sempena Tahun Baharu Cina,  Ahli Parlimen Seputeh itu mengambil peranan sebagai hos dalam acara bual bicara di mana beliau menemuramah panel pakar berhubung dengan Tahun Kuda.

 Mereka yang melakonkan watak berkenaan membuat pelbagai kenyataan berunsur sindiran mengenai beberapa isu termasuk keselamatan, kekayaan, pendidikan dan ekonomi iaitu perkara yang menjadi topik biasa kepada rakyat Malaysia.
 Penganalisis politik, Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusoff berpendapat sekiranya sesuatu satira itu menghina orang atau menyebabkannya terasa hina dan mengaibkannya, adalah lebih baik ia tidak dibuat.

 “Ia tidak sesuai dalam budaya politik kita walaupun mungkin satu perkara biasa di Barat. Bila ada tujuan  mengaibkan orang, ia bukan sebahagian daripada budaya politik kita.
 “Di Barat itu budaya dia. Belum tentu budaya Barat itu budaya kita. Kita tidak perlu menirunya,” kata beliau.

 Dr Agus menegaskan walaupun ada kebebasan berpolitik di negara ini, janganlah sampai ia mengaibkan, menyentuh atau membunuh peribadi orang, apatah lagi apabila ia dilakukan ketika rakyat keturunan Cina sedang menyambut Tahun Baharu.
 “Realitinya politik di negara ini begitu partisan dan berdendam dan ini kena berubah. Payah untuk kita bentuk satu politik yang meningkat seperti biasa,” katanya.

 Di Britain pada 1980-an dan 1990-an lalu terdapat siri karikatur boneka yang disiarkan oleh stesen televisyen ITV, Spitting Image iaitu satira mengenai isu semasa membabitkan selebriti dan tokoh politik serta jaguh sukan di negara berkenaan.
  Apa saja isu semasa yang berlaku sehingga  saat akhir sebelum siarannya masih boleh dimuatkan dalam diri Spitting Image itu. Antara mereka yang menjadi sasarannya termasuk Perdana Menteri ketika itu, Margaret Thatcher dan rakan politiknya daripada Parti Konservatif, Presiden Ronald Reagan dan keluarga Diraja Britain.

 Beberapa tokoh lain  seperti Bill Clinton, Putera Charles dan Puteri Diana, penulis novel tersohor Jeffrey Archer, Clint Eastwood dan banyak lagi. Asal ada saja isu, watak mereka dilakonkan dalam siri berkenaan. 
 Walaupun menarik, siri Spitting Image itu akhirnya melabuhkan tirainya pada 1996, selepas jumlah penontonnya merosot.     

 Pada abad ke-20 dan 21, semakin banyak satira muncul dalam media (dalam bentuk kartun atau  karikatur politik, serta dalam majalah politik).  Itu contoh satira politik di Britain. Tetapi lain padang, lain pula belalangnya. 
 Sebahagian besar negara Timur tidak mengamalkan cara kehidupan orang Barat yang begitu liberal dan kadangkala didapati tidak sopan atau beradab.

 Di negara kita, ketika pertuturan antara manusia pun masih dijaga supaya orang lain yang mendengarnya tidak tersinggung, di Barat nilai mereka adalah berlainan. Mereka boleh mengeluarkan apa saja yang ada dalam isi hati mereka tanpa berasa serba salah dan dalam kebanyakan interaksi, mereka lebih terbuka.
 Justeru, tidak wajarlah sekiranya ada pihak cuba menegakkan benang basah dan menyamakan pula satira politik di Barat atau negara serantau dengan negara ini.  

 Berikutan persembahan video berbentuk satira yang meloyakan itu, banyak pihak kemudian tampil membuat aduan polis dan mahukan agar tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab. - Berita Harian, 10 Februari 2014