
Kelmarin, seorang pemimpin tertinggi PKR menyatakan Pakatan Harapan (PH) meletakkan tiga syarat untuk mana-mana ahli atau pemimpin Umno yang keluar parti yang ingin menyertai PH.
Pertama, mereka perlu menyisytiharkan diri keluar daripada parti lama mereka.
Kedua, ada tempoh "iddah"’ yang harus ditunggu sebelum mereka boleh diterima masuk ke mana-mana parti dan ketiga kemasukan mereka ditimbang berdasarkan kes orang yang membuat permohonan.
Tempoh "iddah" itu menjadikan keadaan ahli parlimen dan bekas ahli Umno itu berada di persimpangan kerana tidak mempunyai parti kecuali beberapa orang yang sempat bertindak untuk melompat lebih awal ke parti lain.
Apapun, syarat yang dinyatakan itu adalah wajar dalam senario politik sekarang memandangkan kekalahan BN dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lalu sebahagian besarnya berpunca daripada kebencian rakyat terhadap sikap pemimpin Umno yang bongkak dan boros.
PH harus menentukan kemasukan bekas pemimpin dan ahli Umno tidak merosakkan ‘susu sebelanga’ kerana perjuangan parti yang bergabung di dalam PH sebelum ini adalah perjuangan yang amat sukar, dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah memerintah selama 61 tahun.
Adalah wajar setiap langkah diambil oleh pemimpin PH memastikan tidak ada pihak yang ingin masuk dengan tujuan untuk memporak-perandakannya atau menjadi "trojan horse."
Biarlah parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal dengan jumlah kerusinya yang kecil jika ini dapat menjamin kestabilan kerajaan yang baru ditubuhkan ini. Apa gunanya mereka menerima orang yang sudah mempunyai pelbagai rekod yang tidak baik semata-mata untuk menambahkan jumlah kerusi.
Yang bukan ahli parlimen pun perlu disaring berdasarkan rekod peribadinya atau tindak-tanduknya sebelum ini yang mencurigakan. PH harus lihat sama ada orang seperti ini yang masuk boleh bawa manfaat atau ingin mencari tempat untuk mendapat sesuatu.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sememangnya menyedari perkara ini dan beliau menegaskan bahawa bekas ahli Umno akan disaring terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyertai mana-mana parti politik dalam gabungan PH.
Dr Mahathir bukannya calang-calang pemimpin dan sudah “masak” dengan cara permainan ahli politik. Beliau juga bukannya baru sehari dua berkecimpung dalam politik dan tahu helah pihak yang melompat hanya untuk mencari sesuatu selepas partinya kalah.
Namun harapan rakyat agar syarat yang diumumkan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution itu harus harus menjadi kriteria kepada sebarang permohonan daripada mana-mana bekas ahli parti lain, bukan sahaja Umno, selepas ini.
Biarlah mereka menjalani "ujian" duduk di luar tanpa parti buat sementara waktu agar segala budaya yang diamalkan ketika menganggotai parti lamanya dikikis sehingga mereka benar-benar bersedia untuk mendakap nilai-nilai baharu.
Parti-parti dalam PH juga tidak perlu terlalu gopoh menerima bekas ahli parti lain jika tindakan ini akan hanya menjejaskan asas kepercayaan antara mereka.
* Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum ProjekMM