Sunday, 6 January 2019

Mansuh AUKU: Maszlee mahu pelajar anjur aktiviti intelektual

Menteri Pendidikan Maszlee Malik (kanan), bersama penulis, mahu melakukan reformasi pendidikan di sekolah dan universiti. รข€” Foto oleh Razak Rashid GhowsKUALA LUMPUR, 14 Dis — Pemansuhan beberapa  seksyen Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 diharap dapat mendorong pelajar supaya lebih aktif menganjurkan program berbentuk keintelektualan seperti debat dan forum terbuka untuk pembangunan minda dan mengasah kemahiran kepemimpinan.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik menegaskan kebebasan tersebut bagaimanapun datang dengan pertanggungjawaban dan tanggungjawab.
“Kita harap pelajar yang menikmati kebebasan ini tidak mengabaikan pelajaran mereka dan sentiasa memperbanyakkan pembacaan dan bersikap lebih bertanggungjawab dan berbakti kepada masayarakat,” tegasnya dalam temubual dengan ProjekMM.
Maszlee berkata beberapa seksyen dalam AUKU dimansuhkan bagi memberi kebebasan akademik dan berpolitik kepada pelajar supaya ia dapat menghapuskan budaya dan mentaliti ketakutan.
“Ini selaras dengan semangat demokrasi yang ingin dibawa oleh kerajaan baharu.
“Untuk mansuh AUKU dan menggantikannya dengan undang-undang baharu memerlukan masa, justeru kita tubuhkan sebuah jawatankuasa Jun lalu. Jawatankuasa ini menjangkakan undang-undang baharu itu hanya boleh diguna pakai menjelang 2020,” katanya.
Jelasnya, selama ini AUKU digunakan untuk menghalang program debat dan wacana ilmiah yang mengekang pelajar daripada idealisme dan aktivisme.
Ditanya apakah perkembangan terbaru itu akan menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam politik, beliau berkata pelajar yang minat politik sebenarnya tidak ramai.
“Selama ini yang minat politik itulah yang menjadi ahli politik dan ahli Parlimen. Kita harap supaya wacana intelektual akan mengembangkan pelajar supaya lebih cakna terhadap perkembangan semasa,” tambah Maszlee.
Menurut menteri berkenaan, pada hari ini pun sudah terdapat banyak kebebasan diberikan kepada pelajar.
“Kita ada Sudut Pidato di semua universiti awam dan mereka bebas bercakap dan mengatur sesuatu wacana dan sebagainya.
“Pilihan raya kampus akan dianjurkan oleh pelajar. Kalau sebelum ini ia dianjurkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), hari ini pelajar boleh menganjurkannya dengan bantuan HEP.
“Pelajar juga menubuhkan kesatuan pelajar, bukan lagi Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP. Perkara ini sedang disusun.”
Bagaimanapun, tambahnya, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), usaha tersebut sudah hampir tercapai.
Selain itu  Maszlee berkata, di universiti, satu perkara baharu ialah dasar inklusif. Di UIA ada dasar inklusif apabila pelajar kurang upaya (OKU) diberikan hak dan bantuan sewajarnya. Dasar ini dibawa ke universiti awam dan sekolah.
“Bermula 2019 ini kita amalkan dasar penolakan sifar, tidak ada lagi anak-anak OKU tidak diterima di sekolah. Kita ingin semuanya datang ke sekolah dan sekolah bersikap inklusif memberi peluang dan ruang supaya pendidikan dapat dinikmati oleh semua.
“Kalau yang perlu ke sekolah khas, mereka akan ke sekolah khas. Tetapi kita harap adanya ruang inklusif mereka bersama di sekolah arus perdana dan pendidikan mereka dibantu oleh guru pendidikan khas,” katanya.
Menjawab satu pertanyaan mengenai kunjungannya ke sekolah-sekolah selepas dilantik sebagai menteri pendidikan, Maszlee berkata tidak ada sesuatu yang lebih indah dalam kehidupannya daripada menemui guru-guru dan melihat senyuman di wajah mereka.
“Saya yakin mereka banyak kerja, banyak tanggjungjawab dan pengorbanan tetapi dengan kehadiran saya itu, saya lihat ia dapat memberi mereka kelegaan dan kegembiraan.
“Dalam nada yang sama satu perkara yang menggembirakan saya ialah apabila berada di sekolah dan lihat sendiri bagaimana anak-anak di sekolah menjalani pelajaran mereka.
“Saya dapat bergambar dengan mereka, dapat bertanya dengan mereka dan lihat sendiri proses yang berlaku di dalam kelas. Pada saya ini semua memberikan satu inspirasi untuk melakukan yang terbaik bagi mereka, menyediakan prasarana berkualiti dan latihan berkualiti untuk guru,
memastikan kurikulum terbaik kepada pelajar dan yang lebih penting, kita mempersiapkan mereka untuk masa hadapan yang lebih baik untuk negara,” ujarnya.
Katanya, sekolah yang menyeronokkan harus bermula dengan guru yang seronok dan antara perkara yang dilakukan ialah dengan meringankan beban guru, yang selama ini diberatkan dengan tugasan mengisi pelbagai borang.
Untuk tujuan itu, beliau menambah, Kementerian Pendidikan akan mengurangkan tugasan perkeranian dalam kalangan guru supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.
Murid pada tahap 1, 2 dan 3 pula tidak harus dibebankan dengan peperiksaan melampau seperti pada hari ini, tambahnya.
“Kita lihat anak-anak ini dibezakan dengan keputusan peperiksaan, kadang-kadang ibu bapa memberi tekanan kepada anak-anak.
“Sepatutnya pada tiga tahun pertama mereka belajar untuk bentuk perwatakan, melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi hari-hari mendepan,” katanya.
Justeru, menurut Maszlee, pada tahun-tahun ke hadapan ini pihaknya akan memperkenalkan mata pelajaran sivik dan nilai yang baik serta meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu di samping Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ditanya apa persediaan kementerian untuk memperbaiki kualiti bahasa Inggeris di sekolah, beliau berkata:
“Pihak kementerian sedang mengkaji untuk mendedahkan pelajar kepada bahasa Inggeris dengan melibatkan mereka dalam program tertentu seperti berpidato, berceramah, berdebat, membaca puisi dan menyanyi.”
“Kita mahu mereka berani dan yakin bertutur dalam bahasa Inggeris,”  tambahnya.