Friday 12 April 2019

Menteri perlu dibenar guna pengawal, elak politik samseng

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis mendakwa dikasari dan diugut Papagomo ketika penamaan calon PRK Semenyih. รข€” Foto oleh Shafwan Zaidon
Insiden di mana seorang menteri di serang secara fizikal selepas penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih Sabtu lalu dilihat sebagai perbuatan melampau yang mencemar proses demokrasi di negara ini.
Sepatutnya, proses penamaan calon dan mengundi dalam -mana pilihan raya sekalipun dijalankan dalam suasana aman dan “gentleman”, bukannya dicemari budaya samseng dan sentimen kebencian terhadap parti lawan.
Perbuatan itu oleh segelintir penyokong sebuah parti sebenarnya memalukan parti berkenaan sendiri. Justeru sewajarnya pemimpin parti berkenaan mengeluarkan kenyataan bagi memohon maaf di atas kejadian itu dan menafikan pembabitannya dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Muar dikerumuni ahli penyokong Barisan Nasional (BN) ketika beliau sedang berjalan menuju ke keretanya selepas selesai sesi penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih.
Laporan akhbar menyatakan video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar oleh sekumpulan lelaki.
Syed Saddiq dipetik sebagai berkata ketika penyokong BN berterusan membuat provokasi, seorang exco Pemuda Umno secara tiba-tiba berlari ke arahnya dan mencekak bahagian belakang lehernya dengan ganas menggunakan tangan kirinya.
Berikutan kejadian itu, menteri terlibat membuat satu laporan polis di balai polis Sungai Way dan pihak polis sudahpun mengambil tindakan menahan anggota BN yang didakwa melakukan tindakan terbabit.
Kejadian itu tidak boleh dianggap perkara kecil dan adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjadikannya teladan pada masa hadapan.
Pihak polis dan SPR hendaklah mengambil langkah keselamatan tambahan bagi menjaga keadaan ketika proses penamaan calon dan pengundian terutama yang berkaitan dengan calon dan orang kenamaan yang hadir.
Kejadian seumpama tidak berlaku ketika pemerintahan kerajaan sebelum ini kerana menteri dan orang kenamaan bebas bergerak dengan kereta rasmi dan dikawal pengawal peribadi ketika proses penamaan calon dan hari mengundi.
Melihat pada kejadian Sabtu lalu, badan pemantau pilihan raya termasuk SPR dan Bersih hendaklah menimbang semula syarat-syarat mereka yang melibatkan orang kenamaan ini atas sebab-sebab keselamatan.
Seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju Nik Nazmi Nik Ahmad, pemimpin berjawatan kerajaan hendaklah dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi dan pengawal ketika berkempen politik.
Kata beliau, perkara itu sudah menjadi keperluan bagi mengelakkan risiko keselamatan. Nik Nazmi juga menegaskan bahawa kelonggaran tersebut wajar diberikan pertimbangan bagi memastikan pemimpin dapat berinteraksi ketika tempoh kempen tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan.
Walaupun kerajaan Pakatan Harapan ingin membuktikan bahawa mereka tidak menyalah guna peralatan kerajaan, namun dalam keadaan tertentu, contohnya bagi menjaga keselamatan menteri, kelonggaran seharusnya diberikan.
Ini kerana sesiapa pun tidak tahu apa akan berlaku andainya ada penyokong parti politik tertentu yang bertindak di luar dugaan. Tambahan pula menteri atau orang kenamaan ini mungkin berhadapan  risiko lebih tinggi jika mereka berada di tempat sunyi.
Dalam kejadian Sabtu lalu Syed Saddiq bernasib baik kerana dibantu oleh anggota polis dan Unit Amal PAS yang kebetulan mengiringi beliau.
* Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum ProjekMM. Artikel ini disiarkan pada             19 Februari 2019