Wednesday, 9 January 2013

Kalimah Allah untuk Islam saja

Isu terbaru mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu yang dibangkitkan semula  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kini semakin hangat diperkatakan. Ia juga menunjukkan kecenderungan parti politik kini  memperalatkan agama sebagai modal  perjuangan  menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

  Sudahlah PAS  diketahui menggunakan agama, kini DAP pun turut membawa isu sama bagi memancing undi orang Kristian. PAS pula nampak begitu cenderung untuk mengubah haluan bagi mengambil hati DAP.

  Tanpa segan silu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dengan tegas menyatakan pendirian rasmi parti itu dengan menyokong DAP berhubung kontroversi penggunaan kalimah Allah itu. Alasan presiden PAS itu ialah Islam tidak melarang orang lain menggunakan kalimah Allah walaupun ia tidak mencapai maksud dalam al-Quran.

  Guan Eng dalam perutusannya sempena Krismas 25 Disember lalu, menimbulkan semula isu itu dan menuntut  kerajaan membenarkan penganut  Kristian guna kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

  Pendirian PAS berkaitan isu itu ternyata bercanggah dengan kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menegaskan bahawa Sultan Selangor menitahkan mana-mana pihak dilarang    menggunakan atau memperalatkan agama Islam sebagai modal politik mereka.

  Baginda juga menitahkan   bukan Islam tidak  mencampuri hal ehwal orang Islam bagi mengelak permusuhan dan salah faham antara kaum di negara ini. Titah Sultan Selangor itu terkandung  dalam  kenyataan yang dikeluarkan  Setiausaha MAIS, Datuk Mohd Misri Idris.
 
Dewan Undangan Negeri Selangor juga pernah menggubal dan menguatkuasakan satu enakmen berkaitan penggunaan kalimah Allah pada 1988. Seksyen 9, Enakmen Ugama Bukan Islam itu dengan jelasnya melarang kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan agama mereka.  Enakmen yang diselaraskan dengan Perkara 11 (4), Perlembagaan Persekutuan itu juga membolehkan tuduhan dan hukuman dikenakan ke atas mereka yang melanggar peraturan.

  Melihat  titah Sultan Selangor dan ketetapan MAIS itu, jelas  kedua-dua parti politik terbabit – DAP dan PAS – langsung tidak menghormati peraturan yang ada. Malah berikutan isu yang dibangkitkan semula  Guan Eng itu terus disokong pula oleh pemimpin PAS dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pendirian  pembangkang.

 Dengan sikap sedemikian, maka tidak hairanlah kenapa Sultan Selangor melahirkan rasa terkejut dan kekesalan baginda dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

  Sepatutnya PAS bertanggungjawab menasihati sekutu politiknya bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci dan hanya boleh digunakan oleh umat Islam. PAS tidak harus berdolak-dalik dalam hal berkaitan kesucian agama Islam dan harus bertindak tegas jika ia ingin benar-benar memperjuangkan Islam.

  Kita lihat dalam berdepan dengan DAP, PAS lebih banyak bertolak ansur daripada menegakkan kebenaran. Apa yang dikesali ialah soal agama pun sanggup diketepikan kerana ingin terus bersekongkol dengan parti cauvinis Cina itu.

  Jelas sekali pemimpin PAS bersikap talam dua muka. Di sebelah pihak ia sanggup mengkafirkan orang UMNO, tapi di sebelah pihak lain, bersedia pula berkompromi dengan pendiriannya sendiri mengenai agama Islam.

  Kalau soal yang berkaitan prinsip ini pun sanggup digadaikan, entah apa lagi yang ia sanggup londehkan kalau diberikan mandat semata-mata kerana ingin menjaga hubungannya dengan DAP dan PKR.

  Kenyataan MAIS semalam yang memetik pendirian tegas Sultan Selangor menunjukkan baginda benar-benar memandang serius perkara itu, apatah lagi apabila titah yang sama pernah dikeluarkan tiga tahun lalu.

  Walaupun mereka tidak menghormati parti lain, janganlah melakukan sesuatu yang membelakangi titah Sultan.  - Berita Harian, 9 Januari 2013