Perbuatan
yang mengaitkan isu keselamatan dengan politik sudah tentunya satu perbuatan
dangkal, tidak berhati perut dan tidak bertanggungjawab, apatah lagi ia dibuat
oleh seorang ahli parti bergelar ‘Yang Berhormat’.
Apa yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna
di Sabah sejak minggu lalu yang mengorbankan lapan nyawa anggota keselamatan
kita amat menyentuh perasaan seluruh rakyat Malaysia.
Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah
anggota yang terkorban itu ke kampung
halaman masing-masing. Seluruh negara berasa sedia dan pilu. Namun dalam
keadaan itu, sanggup pula Ahli Parlimen Batu, Tian Chua cuba menjadikannya
sebagai isu politik.
Dalam kegawatan isu berkenaan, Tian Chua
terperangkap dengan perbuatannya sendiri. Beliau membuat perhitungan salah
dengan mengeluarkan kenyataan kononnya insiden yang mengorbankan anggota
keselamatan kita sendiri itu dirancang sebagai satu konspirasi oleh UMNO.
Di mana logiknya pemikiran beliau? Di mana
kematangan beliau selaku seorang Ahli Parlimen? Oleh itu tidak hairanlah kenapa
sehingga semalam beberapa kumpulan bekas persatuan anggota polis dan badan
bukan kerajaan (NGO) sudah pun membuat aduan polis berhubung kenyataan Naib
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Bekas pemimpin tertinggi Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) juga menganggap tuduhan pembangkang itu sebagai penghinaan besar
terhadap anggota keselamatan negara. Bekas Panglima ATM, Laksamana (B) Tan Sri
Mohd Anwar Mohd Nor, berkata pasukan keselamatan tidak seharusnya dihina kerana
mereka berkorban untuk negara.
Samshuri pula kesal kerana pihak terbabit
sanggup melihat pencerobohan di Lahad Datu itu sebagai satu sandiwara.
“Sandiwara apakah ini kalau ia mengakibatkan
nyawa terkorban? Dalam sandiwara orang yang mati akan bangun semula tapi dalam
kejadian berkenaan, anggota tentera kita terkorban di medan pertempuran,”
tegasnya.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti
Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Daerah Gombak (GABUNGAN) menuntut agar
siasatan terperinci dibuat ke atas pemimpin pembangkang berikutan satu
laporan memetik badan perisikan tentera
Filipina.
“Kami menuntut Polis Diraja Malaysia dan
pihak berkuasa menyiasat secara terperinci sekiranya ada unsur pengkhianatan
oleh rakyat negara ini di mana hukuman keras hendaklah diambil ke atas mereka,”
tegas Presiden GABUNGAN, Datuk Dr Rahman Ismail dalam aduan NGO itu di Balai
Polis Gombak kelmarin.
Sememangnya tidak wajar bagi sesiapapun
mempermainkan isu keselamatan dan mengaitkannya dengan politik bagi meraih undi
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Melihat pada bantahan persatuan bekas polis
dan NGO itu, adalah wajar Tian Chua memohon maaf secara terbuka dan bertindak secara
bertanggungjawab selaku Ahli Parlimen. Seorang wakil rakyat sepatutnya
menunjukkan sifat dan teladan baik kepada pengundi yang diwakili, bukannya
melakukan sesuatu yang tidak bijak seperti yang dilaporkan.
Beliau harus berani untuk tampil dan mengakui
kesilapannya, dan bukannya cuba menegakkan benang basah.
Dengan mendakwa kononnya kejadian itu satu
konspirasi terancang UMNO dan Barisan Nasional (BN), beliau sebenarnya hanya
mempermainkan pengorbanan jiwa wira yang menjaga kedaulatan, keselamatan dan
keamanan negara.
Tidak kiralah beliau menganggotai parti
pembangkang, isu di sini adalah berkaitan keselamatan negara. Kenapa isu
keselamatan pun dikaitkan dengan parti politik yang menjadi seterunya?
Kenyataan yang dikeluarkannya itu dengan sendirinya
menunjukkan bahawa beliau langsung tidak
mempunyai ketokohan pemimpin, malah
seperti kata Samshuri, perbuatannya itu
tidak mencerminkan bahawa beliau mencintai negara ini.
Justeru, adalah wajar UMNO mengambil langkah
meminta Ahli Parlimen Batu itu memohon maaf dan menarik balik kenyataan
berunsur fitnah itu terhadap parti berkenaan.
Memang patut UMNO mahukan Tian Chua
menyediakan satu aku janji bertulis agar beliau tidak lagi mengeluarkan
kenyataan berunsur fitnah dan membayar ganti rugi untuk kerosakan reputasi yang
teruk terhadap parti berkenaan. - Berita Harian, 6 Mac 2013