Monday, 14 April 2014

Selesaikan pertindihan perintah Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil

Izwan Abdullah
Kita perlu cari jalan selesaikan kes bersilang Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Ini disuarakan dua pakar undang-undang Islam yang tidak bersetuju bahawa tindakan seorang bapa, Izwan Abdullah mengambil anak dalam jagaannya sebagai penculikan seperti didakwa beberapa pihak.

  Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPPM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata dalam kes berkenaan, Izwan mempunyai perintah hak jagaan sah daripada Mahkamah Syariah. Justeru, pihak polis mesti menghormati perintah Mahkamah Syariah, selain Mahkamah Sivil.
   “Sebagai orang Islam, Izwan tertakluk kepada perintah Mahkamah Syariah dan Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang 1976 tidak memberi hak kepada mualaf membubarkan perkahwinan sivilnya,” kata beliau mengenai isu kerani dari Seremban, S Deepa yang mendapat hak penjagaan anaknya, Mithan, 6.

  Mahkamah Syariah Seremban sebelum itu memberikan hak penjagaan kepada bapa berkenaan, N Viran yang  memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Izwan Abdullah.
  Zainul menambah, wujud pertindihan perintah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Sebagai penganut agama Islam, Izwan tertakluk kepada perintah Mahkamah Syariah dan mempunyai obligasi menjaga maqasid al shariah termasuklah hifz al deen (menjaga agama).

 Beliau menegaskan, Izwan tidak boleh didakwa menghina mahkamah kerana beliau mempunyai perintah hak jagaan sah dan perintah itu berkuat kuasa sehingga  dibatalkan.

 Peguambela dan Peguamcara, Mahkamah Tinggi Malaya, Ikbal Salam pula berkata, dakwaan Izwan perlu ditangkap dan didakwa atas kesalahan menculik anaknya seolah-olah memberikan indikasi bahawa menjadi kesalahan jenayah   dalam negara kita untuk seseorang diiktiraf sebagai Islam untuk ke platform Mahkamah Syariah bagi mendapatkan perintah berkaitan dirinya dan masa depan anak kandungnya.
 Tegasnya, Izwan tidak boleh ditangkap kerana mendapatkan hak jagaan anaknya seperti dibenarkan Mahkamah Syariah kerana apa-apa tangkapan atau dakwaan membawa maksud penghinaan yang bukan kecil kepada perintah Mahkamah Syariah.

 Beliau yang juga Peguam Syarie berpendapat, gesaan terhadap dakwaan dan tangkapan kepada Izwan juga seolah-olah memberikan isyarat dalam kerangka sistem perundangan negara bahawa Mahkamah Syariah membuat perintah ultra vires yang melangkaui bidang kuasanya.
 Ia juga menunjukkan  Mahkamah Syariah tidak boleh dan tidak mempunyai bidang kuasa membuat perintah berkaitan hak jagaan anak bagi pihak yang memeluk agama Islam, apatah lagi perintah itu diperoleh  terlebih dulu daripada Mahkamah Sivil.

 Sekiranya pendakwaan dibuat juga terhadap Izwan, ia memberikan indikasi bahawa Mahkamah Sivil berada pada kedudukan lebih tinggi dari Mahkamah Syariah hingga berhak pula untuk membatalkan apa-apa perintah Mahkamah Syariah.
 Zainul berharap agar kemelut pertelingkahan bidang kuasa ini diselesaikan oleh pihak berwajib dengan meminda mana-mana undang-undang berkenaan dengan mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan agama negeri di semua negeri di Semenanjung   dan Sabah.

 Semua pihak perlu memberi peluang kepada kedua belah pihak menyelesaikan pertikai-an mereka di mahkamah dan pihak lain tidak harus beremosi   dalam kemelut berkenaan.
  Ikbal pula berpendapat, bagi mengelak polemik berpanjangan dan langkah pertegahan, umat Islam boleh mempertimbangkan bagi kes seumpama dibicarakan Bahagian Khas Undang-Undang Keluarga di bawah Mahkamah Sivil.

 Namun, hakim bicara hendaklah berpendidikan undang-undang syariah dan undang-undang sivil. Apabila berlaku rayuan bagi keputusan mahkamah bagi kes berkenaan, penghakimannya hendaklah dibuat oleh panel hakim yang juga mewakili institusi Mahkamah Syariah supaya pandangan syariah diambil kira dalam  keputusan yang dibuat bagi masa depan anak terbabit.
  Ikbal berkata, penyelesaian secara ini amat diperlukan apabila timbul kes silang undang-undang seperti apabila berlaku kematian, sebelah pihak menyatakan simati adalah mualaf sedangkan pihak lain mendakwa dia baru saja sehari sebelum itu makan khinzir atau ke kuil.

  Dengan diadili Bahagian Khas Undang-Undang Keluarga ini di Mahkamah Sivil, hak pasangan yang memeluk agama Islam tidak akan terlepas semuanya kepada pandangan undang-undang sivil.
  Akhirnya, umat Islam akan merasa selesa kerana kepentingan saudara baru berkenaan masih lagi terbela manakala pasangan yang bukan Islam pula tidak perlu menyerahkan jurisdiksi diri mereka kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. - Berita Harian, 14 April 2014