Siapa yang
diletakkan untuk menentang pemimpin berkenaan turut mendapat perhatian umum.
Kalau dia berjaya, sudah tentu dia dianggap sebagai ‘giant killer’.
Bagi Barisan
Nasional (BN), kawasan yang ditandingi oleh pemimpin atasannya tidak mempunyai
perubahan dan semua orang tahu kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertanding.
Namun bagi pemimpin
pembangkang, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, nampak seolah-olah ada
beberapa perubahan yang akan dilakukan dari tempat asal mereka sebelum
ini.
Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh, sebelum ini berura-ura untuk berubah
angin dan bertanding di Perak. Hasrat beliau ini disambut oleh pemimpin BN,
khususnya UMNO yang bertekad untuk menamatkan karier politiknya di negeri
berkenaan.
Namun selepas
mengadakan pertemuan dengan penyokongnya di kawasan asalnya di Permatang Pauh,
Anwar mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 dan
tidak jadi ke Perak.
Mursyidul Am PAS,
Datuk Nik Aziz Nik Mat bagaimanapun ingin terus mempertahankan kerusi DUN
Cempaka dan dilaporkan akan melakukannya sehingga ke nafas terakhir. Pendirian
Menteri Besar Kelantan itu untuk terus bertanding dalam PRU-13 ini menimbulkan
pelbagai reaksi dan ramai berpendapat beliau seharusnya memberi laluan kepada
orang lebih muda.Antara yang memberi reaksi ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat masanya sudah tiba bagi Nik Aziz dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berundur.
“Kalau saya boleh
bersara, kenapa mereka tidak boleh?” ujarnya baru-baru ini.
Sementara itu, Kit
Siang dan beberapa pemimpin DAP dan PAS dilaporkan akan bertanding di luar
kawasan asal mereka dalam pilihan raya umum ini
5 Mei depan.
Walaupun mereka
memberi pelbagai alasan, tindakan itu menunjukkan yang mereka lebih
mementingkan survival politik diri sendiri daripada ingin terus memberi khidmat
kepada masyarakat sebagai wakil rakyat.
Penganalisis
politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berpendapat Anwar tidak yakin boleh
menang di Permatang Pauh kerana tahu akan mendapat tentangan hebat daripada BN.
Lagipun, berikutan isu yang menyelubungi karier politiknya, Anwar dikatakan
kini tidak lagi mendapat sokongan penuh daripada pengundi Melayu.
Justeru, beliau
sedar mengenai risiko yang wujud jika terus bertanding di kawasan majoriti
pengundi Melayu dan ingin melangkah keluar ke kawasan di mana ada majoriti
pengundi bukan Melayu. Kawasan Parlimen Permatang Pauh kini mempunyai 69.4
peratus pengundi Melayu, 24.5 peratus Cina dan 5.7 peratus pengundi India.
Tidak kira apa juga
keputusan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang itu, UMNO Pulau Pinang sudah
membuat persiapan yang diperlukan serta membetulkan balik barisan mereka, dan
akan menentang Anwar habis-habisan di Permatang Pauh.
Satu laporan
beberapa hari lalu menyatakan penulis blog kontroversi, Papagomo juga ingin
memasuki gelanggang dan menentang Anwar di Permatang Pauh pada PRU-13.
Satu lagi
pertarungan menarik dijangka berlaku di kawasan Parlimen Gelang Patah yang semakin gah kerana pembangunan Wilayah
Pembangunan Iskandar.
Pakatan pembangkang
sudah mengumumkan meletakkan Kit Siang
bertanding di situ. Kit Siang, Penasihat DAP sebelum ini adalah Ahli Parlimen
Ipoh Timur.
Dr Atory berkata
kawasan itu kubu kuat UMNO dan BN. Agak
susah bagi Kit Siang menang di kawasan
itu kerana Johor adalah kubu kuat MCA, seperti juga UMNO.
“Semua orang tahu
tujuan Kit Siang ke Johor ialah untuk lawan MCA. PAS sudah cuba serang UMNO di
Johor tapi gagal. Sekarang DAP dan PKR pula nak ke negeri itu bagi melemahkan
BN dan MCA,” kata Atory yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM).
Menteri Besar
Johor, Datuk Seri Ghani Othman diramal akan menjadi calon yang akan menghadapi
Kit Siang di Gelang Patah.
Pemerhati politik
berpendapat nama Ghani dicadangkan kerana beliau memegang jawatan Menteri Besar
sejak 1995 dan sepanjang tempoh itu, pengundi di Gelang Patah termasuk bukan
Melayu sudah lama mengenali beliau. Keadaan ini memberinya kelebihan berbanding
Penasihat DAP itu.
Pertandingan di
Gelang Patah ini bukannya sekadar menyaksikan ‘giant killer’ tetapi juga calon
‘gergasi lawan gergasi’. - Berita Harian, 11 April 2013