Wednesday, 8 May 2013

Kabinet perlu wakil Cina; Soi Lek wajar undur

  Sekali lagi prestasi MCA dan GERAKAN di kerusi dengan majoriti pengundi Cina merosot teruk. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad lalu, majoriti kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dimenangi pakatan pembangkang, khususnya DAP.

  MCA dan GERAKAN juga kalah semua kerusi yang ditanding di Pulau Pinang, menyebabkan Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow meletakkan jawatannya. Presiden GERAKAN, Tan Sri Koh Tsu Koon juga akan mengambil langkah sama pada mesyuarat agung akan datang.
  MCA sebelum ini memutuskan untuk menolak sebarang tawaran jawatan dalam kerajaan sekiranya tidak berjaya meraih kembali sokongan pengundi Cina yang beralih kepada pakatan pembangkang sejak PRU-12.

  Ini bukan langkah bijak dalam usaha menangani isu terbabit. Masyarakat Cina masih perlu diwakili dalam barisan Kabinet supaya suara mereka boleh disalurkan ke peringkat tertinggi pemerintah.
  MCA harus memikirkan masa depan masyarakat Cina dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, bukannya bertindak secara emosi atau berpandangan cetek bahawa mereka lebih hebat di luar kerajaan.

  Sejak sebelum merdeka lagi, MCA memainkan peranan amat penting dalam pembangunan negara dan wakilnya turut sama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara.
  Justeru, kepemimpinan MCA wajar menimbang semula keputusan sebelum ini bagi memudahkan Perdana Menteri melantik wakil parti itu ke dalam barisan Kabinet.

  Tanpa MCA dan mungkin juga GERAKAN yang mewakili masyarakat Cina, konsep perkongsian kuasa BN selama ini akan terjejas.
  Mungkin Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ingin memikul tanggungjawab atas kemerosotan prestasi dengan berundur dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya tetapi sebagai parti komponen BN ia tidak harus menyisihkan diri demi kepentingan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

  Masih banyak lagi perjuangan yang memerlukan kerjasama semua parti komponen BN untuk masa depan negara. Kenapa harus keputusan PRU-13 menjadi ukuran untuk menarik diri daripada perjuangan itu?
  Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad yang ditemui semalam, bersetuju bahawa Soi Lek sememangnya harus bertanggungjawab di atas kekalahan lebih separuh calon MCA dalam PRU-13.

  “Kalau beliau enggan berundur sebagai presiden, saya berpendapat sekurang-kurangnya beliau hendaklah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MCA Johor. Beliau yang pilih calonnya dan mereka kalah. Jadi seperti dalam amalan biasa, ketuanya hendaklah melepaskan jawatannya,” katanya.
  MCA hanya memperoleh tujuh kerusi Parlimen daripada 34 kerusi yang ditanding dan 11 kerusi DUN daripada 90 kerusi yang ditanding. Ia kemerosotan teruk berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN pada PRU-12. Beberapa menteri MCA juga kalah di kawasan masing-masing kali ini.

  Keadaan itu menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan penganalisis dan anggota parti itu. Ada yang menimbulkan keraguan sama ada MCA dan GERAKAN masih lagi relevan kepada BN.
  Antara mereka, Kelab Veteran UMNO yang berpendapat oleh kerana masyarakat Cina tidak lagi menyokong kedua-dua parti berkenaan, keanggotaan mereka dalam BN juga sudah tidak relevan lagi.

  Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pucuk pimpinan BN khususnya UMNO hendaklah mengkaji semula keanggotaan MCA dan GERAKAN berikutan kegagalan mereka mendapat sokongan pengundi Cina.
  Namun, sekiranya MCA dan GERAKAN ingin terus kekal dalam gabungan BN, mereka tidak mempunyai banyak pilihan dan masa lagi, sebaliknya perlu bertindak mulai sekarang untuk membetulkan segala kesilapan lalu.

  Mereka harus sedar bahawa DAP hanya bermain politik cauvinis untuk meraih sokongan pengundi Cina. MCA adalah MCA dan bukan DAP, begitu juga GERAKAN. Mereka tidak harus meniru pendekatan DAP dan perlu mencari cara baru dalam usaha menawan semula hati pengundi Cina.
  Parti yang mewakili kaum Cina dalam BN itu hendaklah bangun semula bagi membantu Najib menangani ‘tsunami Cina’ kali ini. Atau perlukan BN mempunyai parti komponen baharu bagi mewakili kaum Cina pada masa depan? –  Berita Harian, 8 Mei 2013