Sebaliknya keputusan
PRU-13 menunjukkan kekuatan UMNO sendiri. Secara keseluruhan, calon UMNO menang
di 88 kerusi Parlimen tidak termasuk kerusi yang ditandingi calon Bumiputera.
Pakatan pembangkang
yang mewakili tiga kaum menang 89 kerusi dan daripada 222 kerusi Parlimen, 153
kerusi pula dimenangi Bumiputera/Melayu.
Begitulah pendapat
seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory
Hussain ketika diminta mengulas pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak kelmarin bahawa pengundi Cina sebenarnya ditipu.
Mengulas lanjut
pandangannya, Dr Atory menambah, pengundi Cina juga kurang faham bahawa di
negara ini, Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu dan Islam. Anwar (Datuk Seri
Anwar Ibrahim), Hadi (Datuk Seri Hadi Awang) dan Kit Siang (Lim Kit Siang)
tersilap hitung dengan menyatakan BN akan tumbang tanpa melihat bahawa di
belakang UMNO itu adalah orang Melayu.
Beliau menarik
perhatian bahawa sebahagian Melayu di luar bandar sememangnya amat kental
menyokong UMNO termasuk di kawasan rancangan FELDA.
“Tapi jangan pula
menganggap kononnya Melayu bandar tidak menyokong. Ada sokongan walaupun tidak
semua.
“PAS hanya menang 21
kerusi Parlimen sementara DAP tambah 10 lagi kerusi dalam PRU-13,” kata beliau.
Perdana Menteri
dalam sidang akhbarnya selepas menemui Ahli Parlimen BN yang baru dipilih di
Kuala Lumpur kelmarin menegaskan, pengundi Cina diperdaya oleh pembangkang,
kononnya undi mereka boleh menumbangkan kerajaan BN.Najib menegaskan, pada hakikatnya perkara itu tidak benar kerana walaupun sebahagian besar masyarakat Cina menyokong pembangkang, BN mendapat mandat menerusi pengundi Melayu dan Bumiputera serta India.
Bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berpendapat bahawa orang Cina menolak
persahabatan orang Melayu dan sebaliknya membenci mereka akibat hasutan
pemimpin pembangkang seperti Kit Siang.
Dr Atory berkata
polarisasi yang berlaku didapati berpihak kepada UMNO, iaitu kerajaan Melayu
Bumiputera Islam. Komponen BN pula menolak konsep tersebut dan lebih cenderung
untuk ikut cara DAP.
Oleh kerana MCA
tidak bermaya lagi, parti itu perlu mempunyai pembaharuan politik sekiranya ia
ingin kembali kepada keadaan status quo. Pembaharuan ini termasuk melakukan perubahan
kepada pucuk pimpinan parti berkenaan.
Dr Atory berpendapat
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak boleh lagi memimpin parti
berkenaan kerana beliau mempunyai masalah etika, menyebabkan orang Cina tidak
berpuas hati dengannya.
Pensyarah USM itu
berkata, orang Cina kini mempunyai pandangan politik sempit dan menganggap DAP
adalah segala-galanya.
Golongan ini
sebenarnya terlupa bahawa mereka bernaung di bawah UMNO dan Melayu dan sudah
tentunya dalam keadaan itu sesuatu yang harus dilakukan bagi mencari punca
kepada masalah yang berlaku.
Bagi Dr Atory, ada
kemungkinan sistem pendidikan kita yang terlalu heterogenous atau pelbagai
menjadi antara penyumbang kepada masalah polarisasi berikutan pihak tertentu
terlalu memberi tumpuan kepada bahasa dan budaya ibunda masing-masing.
Oleh kerana aspirasi
Cina ini lain daripada Melayu, beliau berpendapat dari segi jangka panjang,
masalah polarisasi itu boleh diselesaikan dengan pengukuhan sistem pendidikan
negara. Barulah selepas itu akan wujud satu budaya Malaysia tanpa campur aduk
unsur luar.
Namun Dr Atory
berkata, beliau melihat orang Cina kini tidak sedar bahawa mereka mengamalkan
politik sempit sehingga menyebabkan mereka menjadi begitu rasis.
“Mereka menikmati
segala faedah yang ditawarkan oleh kerajaan BN tapi pada masa sama mereka kata
kita yang rasis.
Sementara itu, Anwar
pula sekadar melaungkan kononnya berlaku rasuah secara berleluasa tapi beliau
sendiri tidak tahu di mana berlaku rasuah.
“Beliau kata kita
kena ubah kerana rasuah tapi beliau tidak sebut siapa yang rasuah. Sebenarnya
Anwar pun tak tahu.
“Akibat kempen
sempit itu, orang Cina mengundi ikut slogan dan persepsi tak berasaskan fakta.
Politik seperti ini memang bahaya,” kata Dr Atory. – Berita Harian, 10 Mei 2013