Melayu bandar yang rata-rata lebih berpendidikan dan memegang jawatan tinggi sama ada dalam sektor awam mahupun swasta lebih berfikiran liberal dan cenderung membuat keputusan sendiri.
Namun, mereka mudah
terdedah kepada putar belit dan dakyah pembangkang sehingga merasakan bahawa
agenda ‘Ubah’ dianggap seolah-olah wahyu yang turun dari langit.
Ketua Penerangan
PERKASA, Ruslan Kassim, berkata golongan ini terperangkap dalam serkap jarang
politik itu hingga sanggup menyokong parti pembangkang berbanding kerajaan yang
banyak berjasa memakmurkan negara.
“Ini berbeza dengan
‘Melayu totok’ di luar bandar yang tidak mudah terpengaruh dengan dakyah
pembangkang,” katanya ketika ditemui di luar Sidang Tertutup Meja Bulat
mengenai Politik Malaysia dan Kerajaan di Kuala Lumpur minggu lalu.
Ruslan berkata,
bilangan pengundi muda yang agak besar iaitu kira-kira 3.3 juta orang pada
PRU-13 lalu mengubah landskap politik negara dan undi golongan ini boleh
menentukan kemenangan seseorang calon.
Katanya, golongan
ini perlu diberi perhatian oleh Barisan Nasional (BN) jika ingin menambah
sokongan pada PRU akan datang kerana ada lagi 3.3 juta yang belum mendaftar
sebagai pemilih.
“Pada PRU-13, BN
hanya mampu mendapat kira-kira 15 peratus saja undi daripada golongan itu dan
keadaan ini agak menghairankan,” katanya.
Antara faktor yang
mempengaruhi sokongan pengundi muda dan Melayu bandar ialah penggunaan internet
secara meluas oleh pakatan pembangkang sejak PRU-12 untuk menyebarkan propaganda
mereka.
Selain ceramah
umum, pakatan pembangkang menggunakan ruang siber ini dengan begitu meluas
sekali untuk melakukan pelbagai asakan terhadap pemimpin UMNO dan BN dengan
mengadun cerita dan mensensasikan isu tertentu.
Kempen sebegini bergerak pantas dengan sokongan
‘cybertroopers’ mereka yang mengilhamkan propaganda jahat terhadap BN.
Ruslan berkata, UMNO
dan BN terlewat sedikit dalam menyedari kepentingan perang siber ini kerana
dibuai dengan keselesaan dan masalah dalaman parti manakala media baru yang
menyokong UMNO dan BN juga mempunyai banyak kelemahan sama ada dari sudut
persediaan, latihan, kewangan mahupun bahan propaganda.
“Justeru, perlu ada
usaha lebih agresif untuk mendekati golongan ini bagi menarik mereka supaya
menyokong perjuangan parti,” katanya.
Inilah cabaran baru
yang perlu dihadapi oleh BN dan UMNO dalam PRU-14 sekiranya mereka tidak mahu
lagi menghadapi situasi di mana dakyah pembangkang menguasai laman sosial,
sekali gus mengetepikan segala jasa dan pengorbanan BN selama ini.
Sesuatu mesti
dilakukan bagi mengatasi trend di mana anak muda lebih cenderung kepada parti
pelbagai kaum, berikutan pegangan konsep liberalisme yang sudah menular dalam
masyarakat kita.
‘Touch point’ BN
dengan golongan belia ini masih agak kurang dan tidak mantap dan perlu dibaiki.Sebelum PRU-13, beberapa menteri dan timbalan menteri cuba untuk mendekati golongan belia ini dengan pelbagai cara termasuk kerap menemui mereka dalam Twittup serta berhubungan menerusi Twitter, Facebook dan laman sosial lain.
Namun, perkara
sebaliknya berlaku dan ada segelintir daripada mereka menyalah anggap sikap
terbuka itu dan melakukan pelbagai angkara tidak sepatutnya.
Apapun, pengalaman
yang dilalui BN dan UMNO itu perlu dibincangkan dalam majlis dialog, forum dan
perbincangan dan penyelesaiannya difikirkan secara bersama.
Tiada gunanya
menangisi sesuatu yang sudah berlalu. Biarlah keputusan PRU-13 itu menjadi
iktibar terbaik dalam usaha parti melakukan penjenamaan semula dan
memperbaharui cara yang sudah lapuk dan stereotaip dalam mendekati rakyat.
Ulang tahun UMNO
ke-67 yang diraikan kelmarin harus mengorak langkah ke arah memastikan parti
berkenaan terus relevan. UMNO harus melangkah masuk ke era baru dengan gah
untuk mendapat sokongan lebih besar daripada masyarakat Melayu dalam PRU-14. - Berita Harian, 13 Mei 2013