Monday, 13 May 2013

Jangan lantik menteri muka sama - Khairy

  Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, KHAIRY JAMALUDDIN menyifatkan tindakan pembangkang mengadakan perhimpunan haram di Stadium Kelana Jaya,  Rabu lalu bagi membantah keputusan PRU-13 sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab. Pihak pembangkang sepatutnya menerima kekalahan dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu dan bukannya melancarkan perhimpunan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Beliau juga menganggap keputusan MCA enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sebagai tidak tepat. Beliau berpendapat, Perdana Menteri harus melantik golongan profesional dan intelektual sebagai Senator bagi mewakili masyarakat Cina dalam Kabinet jika MCA tetap menolak pelantikan. Beliau juga berharap Datuk Seri Najib Razak akan melantik lebih ramai muka baru menganggotai Kabinet. Ikuti temu bual wartawan BH, RAZAK RASHID GHOWS bersama beliau.

 Wartawan:   Apa komen saudara mengenai PRU-13 yang baru lalu?
 Khairy:  Pilihan raya umum kali ini saya nampak walaupun kita tak dapat kemenangan dua pertiga  kita masih dapat meningkatkan kerusi UMNO. Ini penting kerana ia membuktikan bahawa UMNO tetap relevan. Di kawasan majoriti Melayu kita masih dapat sokongan baik, daripada setiap segmen. Daripada pengundi berumur hinggalah pengundi muda. Contohnya di kawasan Rembau,  saluran muda saya menang 80 peratus. Nak kata semua pengundi swing kepada pembangkang tak betul, ini lebih kepada fenomena bandar. Di situ kita nampak ada kelebihan dan  kekuatan UMNO. Cuma kita juga kena akui bahawa penolakan di kawasan bandar amat ketara sekali. Inilah yang perlu kita buat analisis. Antara sebabnya mungkin mereka tak puas hati dengan beberapa isu. Isu mengenai persepsi rasuah, jenayah dan kos sara hidup selalu disebut di bandar sampai satu tahap mereka boleh percaya pada manifesto pembangkang yang populis. Mereka ketepikan soal logik dan bantah Barisan Nasional (BN) kerana persepsi itu. Mereka tak dapat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kerana pendapatan di atas RM3,000 dan mereka kesempitan. Kita kena tangani perkara ini. Kalau ikut perkembangan demografi, lebih ramai akan masuk ke bandar berikutan proses urbanisasi 10 tahun akan datang.

 S:   Isu seperti rasuah, kos sara hidup lebih tinggi, apakah ini akan diberi tumpuan?
 J:  Mesti, mesti. Kita jangan tersilap pandang. Analisis yang saya lihat setakat dua tiga hari ini lebih kepada analisis berdasarkan kaum. Ya, pengundi Cina ramai tak sokong kita, tapi sebabnya bukan 100 peratus berkaitan dengan isu kaum. Ia isu sejagat, isu kos sara hidup, rasuah, isu penolakan di bandar, bukan Cina saja, orang Melayu pun tak undi kita di banyak kawasan. (Datuk) Zulkifli Nordin kalah di Shah Alam bukan kerana pengundi Cina, pasal Melayu juga. Analisis kita jangan cetek sangat, jangan kata ini salah satu komuniti. Saya faham kekecewaan terhadap satu kumpulan,  tapi jangan sampai kita lupa bahawa banyak isu yang universal yang perlu kita tangani.

 S:   Mungkin masa terlalu lama sebelum pembubaran Parlimen itu memberi peluang kepada orang ramai dan pembangkang menilai kelemahan BN?
 J:  Mungkin... tapi saya berpendapat berbeza sikit. Kalau tidak kerana masa yang panjang mungkin kita tak akan dapat keputusan yang baik seperti mana kita dapat. Secara peribadi,  kita menang pun sebab Datuk Seri Najib Razak dapat buat beberapa transformasi. Kalau bukan kerana beliau, kalau bukan kerana transformasi, saya rasa kita dah kalah. Sekarang ini,  saya nak tengok beliau buat transformasi ini sampai habis. Maknanya kalau tadi kita cakap pasal rasuah, jenayah, kebebasan, soal sara hidup, soal ekonomi, semua ini dah ada dalam program transformasi. Cuma mungkin tak sampai satu tahap untuk meyakinkan orang bandar. Jadi selepas dapat lima tahun mandat ini, kita kena sokong supaya transformasi ini betul-betul jadi dan orang pun mengakui ‘Oh ya, transformasi Najib dah membuahkan hasil’ dan dia ada keyakinan.

 S:   Pada malam Rabu lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya bagi membantah keputusan PRU-13. Perhimpunan sama juga akan dianjur di merata tempat. Apa komen saudara?
 J:  Saya rasa langkah ini amat tidak bertanggungjawab. Beliau harus menerima kekalahan dalam pilihan raya. Selagi dia tak terima dan dia melancarkan kempen ini, ia akan menyebabkan satu keadaan kurang stabil di Malaysia. Saya rasa rakyat Malaysia tidak mahu kepada ketidaktentuan sebab kita dah lama berpolitik. Sejak dua tahun lepas dalam demam pilihan raya dan saya rasa ramai yang nak ada titik noktah kepada setiap politiking ini. Pada masa sama, dia tak boleh ‘double standard’, dia dah angkat sumpah di Pulau Pinang, di Kelantan tapi pada masa sama,  tak nak terima keputusan pilihan raya. Tapi elok saja menteri besar dan ketua menterinya angkat sumpah dan Menteri Besar Selangor angkat sumpah, tak bolehlah ‘double standard’ tapi kena konsisten. Kalau tak terima, boikotlah. Satu lagi saya nak sebut,  BN mesti bagi penjelasan dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kena beri penjelasan mengenai tuduhan yang dibuat. Selagi tak ada penjelasan khususnya daripada SPR, maka orang akan percaya tuduhan daripada Anwar.  Maklum balas  mesti ada dan saya pun sebut perkara ini kepada Perdana Menteri supaya jangan biar tuduhan begitu saja tanpa ada jawapan. 

 S:   Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi) ada minta semua pihak supaya tidak bangkitkan sentimen perkauman dan jangan menyalahkan komuniti tertentu  atas prestasi buruk BN. Apa komen saudara?
 J:  Saya nampak itu nasihat yang baik kerana kita tak nak mengeruhkan lagi keadaan. Kita tahu masyarakat Cina banyak tak sokong kita. Tapi macam saya sebut tadi, bila kita salahkan komuniti itu, keadaan tidak akan bertambah baik, dia akan rasa lebih marah lagi, dan apa pasal kita marah kalau dia undi orang lain, itu hak dialah. Kita kena cari apa sebab dan kita kena perbaiki. Jangan kita mengapi-apikan senario hari ini. Saya nampak kemarahan orang Melayu memang ada, dalam UMNO terutama sekali. Tapi kita kena fikir soal kepentingan negara. Kalau kita marah hari ini, esok nanti masa pilihan raya ia akan beri kesan kepada kita. Kalau tengok dari segi aliran  pengundi Cina hari ini, kita tak akan untung apa-apa dengan marah kepada mereka. Kita kena cari apa sebab dan langkah yang boleh buat untuk mendapatkan balik sokongan mereka.

 S:   Bagaimana saudara lihat prestasi buruk parti Cina dalam BN?
 J:  Kita kena mengakui bahawa mereka ada krisis kewujudan dan mungkin kita kena kaji semula struktur Barisan Nasional supaya kita dapat kuatkan lagi elemen ataupun komponen yang dapat menarik sokongan daripada masyarakat Cina. Saya berpendapat MCA kena ada dalam kerajaan kita. Saya nampak keputusan Presiden MCA untuk tidak mengambil bahagian dalam kerajaan tidak tepat. Tapi pada masa sama,  kita kena mengakui bahawa MCA dan GERAKAN kini lemah dan kita dalam BN harus bantu pulihkan keadaan dan mungkin struktur BN itu perlu kita kaji semula.

 S:   Bagaimana dengan masa depan kedua-dua parti itu?
 J:  Bergantung kepada kesungguhan kita untuk buat perubahan dan untuk mereka berubah. Cara mereka mendekati masyarakat Cina saya nampak sedikit lapuk, ‘outdated’. Saya harap mereka ada pelan pemulihan sebab kalau ikut cara lama, saya tak nampak pengundi Cina akan sokong kita pada PRU-14.

 S:   Jika MCA terus bertegas tak mahu menerima jawatan dalam kerajaan, bagaimana?
 J:   Seelok-eloknya mereka terima, tapi kalau bertegas juga tak terima, Datuk Seri Najib kena lantik profesional Cina yang berwibawa bawa masuk ke Kabinet. Tak boleh ada Kabinet yang tak ada wakil daripada kaum Cina walaupun kita boleh membantu. Tapi saya nampak keyakinan rakyat Cina takkan tak ada langsung, mesti ada dan kita lantik profesional atau intelektual, lantik jadi Senator dan bawa masuk.    

 S:   Soal perpaduan Melayu - Pengerusi Jawatankuasa Ulama Muda (ILMU), Fathul Bari, berkata pemimpin politik Melayu yang berbeza ideologi perlu sedar bahawa kesucian Islam hanya boleh dijamin menerusi perpaduan orang Melayu. Komen saudara?
 J:  Perpaduan Melayu boleh selesaikan banyak masalah, tapi sejauh mana ia dapat dicapai adalah soalan yang berbeza sekali. Kita tengok hari ini Melayu berpecah. Adakah akan ada kesedaran untuk mereka bersatu?

Saya nampak tidak, sebab bagi mereka yang tak nak bersatu ini, ia bukan soal perpaduan Melayu, dia lebih pentingkan isu yang kita sebut tadi. Tapi apa kaitan perpaduan Melayu dengan rasuah, salah guna kuasa, kalau sudah selesaikan itu baru mereka nak bercakap pasal perpaduan Melayu. Kita kena terima hakikat bahawa itulah gambaran mentaliti orang muda bandar hari ini.

 S:   Dalam kerjasama antara PAS dengan DAP dan PKR, kita lihat PAS yang paling rugi sekali?
 J:  Memang yang paling rugi, kalah negeri Kedah, bilangan kerusi mereka pun turun. Tapi ini keputusan parti mereka, walaupun mereka rasa ini rugi, mereka lebih suka bersama dengan PKR dan DAP daripada bersama UMNO. Jadi kita tak boleh paksa, jika mereka sanggup mengalami kekalahan demi kekalahan, kemerosotan demi kemerosotan demi menjulang Anwar, itu keputusan mereka. 

 S:   Kedudukan saudara sendiri bagaimana?
 J:  Saya bersyukur sebab rakyat dan pengundi Rembau terus memberi sokongan. Bagi saya, saya nak kekalkan kerusi ini supaya bilangan kerusi Parlimen BN cukup.

S:   Saudara pernah kata tak akan bertanding dalam pilihan raya dan hanya ingin pertahan jawatan Ketua Pemuda. Sekarang dah bertanding, apakah akan terus pertahan jawatan parti?
 J:  Memang hari itu saya tak mahu bertanding dan nak rehat. Tapi Perdana Menteri minta saya bertanding juga, mungkin sebab nak memenangkan kerusi Rembau. Mungkin beliau dapat laporan atau sesuatu dan nampak keputusannya OK. Sudah menang ini kena sambunglah... saya akan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda pastinya sebab ada perkara yang belum saya selesaikan dan cabaran pengundi muda bandar ini lebih rumit daripada kita anggap dulu. Jadi,  saya nak satu penggal lagi nak bantu.

 S:   Selaku Ketua Pemuda, apakah saudara ingin komen kenyataan Tun Daim Zainuddin mengenai kayu mati dalam Kabinet?
 J:  Harapan saya kalau bukan diri saya pun, Perdana Menteri akan membariskan jemaah menteri yang segar. Saya rasa orang pun faham maksud saya. Jangan kita simpan ataupun lantik semua muka sama. Mesti ada satu kesegaran dalam jemaah menteri sebab selepas saja kita menang, inilah keputusan paling hampir, keputusan seterusnya iaitu Kabinet mesti meyakinkan rakyat. Tapi terpulang kepada Perdana Menteri. Harapan Pemuda tengoklah pada kesegaran tersebut dengan muka baru dan sebagainya.

 S:   Apakah saudara mengharap kali ini?
 J:  Saya tak mengharap apa-apa, cuma saya tawar diri kalau Perdana Menteri mahu saya menyumbang dalam peranan lebih besar lagi. Saya tawarkan diri saya dan tidak mengharap apa-apa. - Berita Harian, 13 Mei 2013