Wednesday, 31 July 2013

Kekerapan kes tembakan bimbangkan rakyat

  Bagaikan situasi di negara asing yang ditonton menerusi televisyen. Tiba-tiba saja berlaku satu demi satu kejadian tembakan maut sejak April tahun ini dan keadaan ini sudah tentu membimbangkan rakyat Malaysia.               

  Kelmarin tiga kejadian tembakan berlaku – yang pertama membabitkan pengasas Arab-Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi, 75, dan isterinya di Kuala Lumpur.
  Kejadian kedua berlaku di Kampung Simee, Ipoh, membabitkan pemilik syarikat keselamatan, Jasrafveenderjeet Singh, 25, yang mati dalam perjalanan ke hospital selepas ditembak ketika sedang minum di luar sebuah restoran pada kira-kira jam 10.15 malam.

  Ketiga, seorang lelaki berusia 30-an, G Santhansamy cedera di betis ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam.
  Kes berkenaan dan beberapa kes lain yang berlaku sejak April lalu membuatkan orang ramai berasa resah dan gusar dengan keadaan keselamatan di negara ini. Takkan tidak selamat lagi untuk kita minum di restoran atau berhenti di persimpangan jalan? 

  Selepas melihat satu persatu kes itu, persoalan yang bermain di fikiran kita ialah dari mana datangnya senjata api yang digunakan dalam kejadian tembakan itu?
 Ketiga-tiga kejadian itu berlaku dua hari selepas ketua badan pemantau antijenayah, Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berhampiran Taman Awana Indah di Jempol, Negeri Sembilan.

  Selain kes ini, pada 26 April lalu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak dalam keretanya ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.
  Berikutan kekerapan kes pembunuh upahan menggunakan senjata api itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan.

  Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan senjata api itu dibawa masuk dari negara jiran. Sebelum ini kes tembakan jarang sekali kedengaran berlaku di negara ini terutama kes upahan.
  Kalau adapun kes yang berlaku tembakan, ia adalah rentetan daripada kejadian rompakan dan bukannya dilakukan di persimpangan jalan, lampu isyarat atau depan restoran.

  Kalau pada 1970-an lalu masih ada saki-baki penyokong komunis di negara ini, pernah berlaku beberapa kejadian ketua polis ditembak di persimpangan jalan atau lampu isyarat.
  Tetapi sekarang sudah tidak ada komunis lagi dan kejadian yang berlaku itu menyebabkan orang ramai berasa runsing dan bimbang sekiranya dengan tiba-tiba saja, atas perasaan dendam atau marah kerana sesuatu, sesiapapun boleh menggunakan senjata api bagi menghapuskan orang lain.

  Beberapa kejadian membabitkan orang awam sebelum ini termasuk seorang guru yang ditembak dua lelaki bermotosikal di Kulim, seorang guru penolong kanan Sekolah kebangsaan Beris Panchor maut selepas ditembak di persimpangan jalan di Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Bharu sementara di Johor Bahru, dua lelaki maut dan dua cedera selepas ditembak di tempat letak kereta sebuah hotel.
  Kejadian sama juga dilaporkan di Bukit Tambun, Pulau Pinang, di Taman Kuchai, Lunas dan di sebuah kedai makan di Sungai Daun.

  Belum reda lagi tindakan yang perlu diambil orang ramai bagi mengatasi masalah rompakan dan kecurian di kawasan perumahan, kini timbul pula kes tembakan yang berlaku sewenang-wenangnya.
  Kalau dalam kes rompakan, boleh juga langkah keselamatan tertentu diambil seperti mengupah syarikat kawalan keselamatan atau RELA untuk menjaga kawasan perumahan tetapi  dalam kejadian tembakan ini, sukar untuk sesiapapun mengambil tindakan.

  Tidak kiralah sama ada kes tembakan itu berpunca daripada perasaan iri hati, permusuhan politik atau perniagaan mahupun sebab-musabab lain, ia bukanlah sesuatu yang boleh dikawal kecuali pihak berkuasa mencari punca dari mana datangnya senjata api itu.
  Siasatan perlu dilakukan bagaimana pihak terbabit yang melakukan jenayah itu boleh mendapat bekalan senjata api itu. Kawalan di pintu masuk dan kawasan persempadanan negara harus diperketatkan bagi menghalang sebarang penyeludupan senjata api itu.

   Ketua Polis Negara, berkata pihaknya sudah mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab membawa masuk senjata api ke negara ini berikutan kejayaan pasukan khas merampas sejumlah senjata api baru-baru ini.
 Justeru, adalah menjadi harapan rakyat agar pihak polis akan mengambil tindakan ke atas pihak terbabit dan membendung kejadian luar biasa ini, sekali gus memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan di negara ini. Jangan hendaknya ada lagi kejadian dilaporkan berlaku pada musim cuti Aidilfitri ini. - Berita Harian, 31 Julai 2013