Wednesday, 31 July 2013

Ahli UMNO keliru dengan syarat tambahan pertandingan

  UMNO mencatat sejarah tahun ini apabila memperkenalkan sistem baru pemilihan parti, yang memberi mandat kepada kira-kira 150,000 ahli daripada 191 bahagian untuk memilih pemimpin tertinggi. Sistem kuota yang diamalkan selama ini dimansuhkan dan digantikan dengan ‘sistem mencuba nasib’.

  Mengikut pindaan kepada perlembagaan parti pada 2009, sesiapa juga yang sudah menjadi ahli selama tiga tahun boleh menawarkan diri bertanding jawatan pada peringkat bahagian hinggalah ke Majlis Tertinggi (MT).
  Namun,   terdapat sedikit kekeliruan mengenai syarat minimum yang diperlukan iaitu calon mesti terlebih dulu memegang jawatan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian untuk tempoh tertentu bagi melayakkan dirinya bertanding.

  Justeru, wajar ibu pejabat parti menjelaskan syarat atau kelayakan minimum tersebut kerana pada peringkat ini ia masih belum jelas.
  Sistem baru   diterima oleh mesyuarat MT yang bersidang Jumaat lalu adalah satu langkah berani Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, selaras dengan transformasi politik yang dicanangkannya sejak mengambil alih kepemimpinan parti dan negara pada 2009.

  Pembaharuan yang diperkenalkan itu akan menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada hari berasingan daripada pemilihan parti. Cara ini akan memberi peluang kepada perwakilan memberi tumpuan kepada perbahasan dan topik yang dibincang tanpa diganggu dengan kempen pemilihan.
  Pemilihan serentak MT itu akan diadakan pada mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober depan manakala pemilihan bagi jawatan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ditetapkan pada 28 September.

  Ahli parti yang berminat bertanding jawatan MT, bahagian dan sayap parti boleh mendaftar sebagai calon di Badan Perhubungan UMNO negeri pada 7 September.
  Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 2 hingga 7 Disember.

  Pemilihan kali ini sudah dua kali ditunda bagi membolehkan ahli UMNO membuat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan mengelakkan perpecahan.
  Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, perubahan yang dilakukan oleh Najib itu adalah manifestasi daripada transformasi politik yang dijanjikan beliau sejak mengambil alih kepemimpinan parti.

  Malah, katanya, Najib sendiri pernah menyatakan ‘kalau UMNO tidak berubah, UMNO akan diubah.’
  Beliau yang juga pensyarah kanan sains politik berkata, perubahan dalam sistem pemilihan itu memang sesuai dilakukan kerana UMNO mempunyai lebih tiga juta ahli.

  “Sudah tentunya kaedah baru itu lebih baik kerana ramai ahli diberi kuasa untuk memilih pemimpin berbanding tanggungjawab tersebut yang sebelum ini diletakkan di atas bahu hanya lebih 2,000 perwakilan,” katanya.
  Samsul berkata, sistem pemilihan baru itu pasti akan menyaksikan penampilan muka baru dalam barisan pemimpin UMNO pada semua peringkat, tetapi setakat ini, tidak kelihatan kecenderungan ahli untuk mencuba nasib bertanding dua jawatan tertinggi parti.

  “Ini adalah eksperimen pertama UMNO melaksanakan sistem pemilihan baru ini. Mungkin masih ramai belum memahaminya. Tapi saya menjangka pada pemilihan akan datang tiga tahun kemudian, lebih ramai akan lebih memahaminya dan ketika itu, ia dijangka lebih meriah,” katanya.
  Sehingga kini, hanya Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Datuk Seri Azalina Othman Said tampil   menyatakan hasrat mereka untuk bertanding pada pemilihan ini, masing-masing untuk jawatan Ketua Wanita.

  Bagi jawatan Ketua Pemuda, belum ada calon berani ke depan untuk mencabar jawatan itu yang kini disandang Khairy Jamaluddin. Lazimnya, sifat semula jadi manusia ialah ‘malu-malu kucing’ pada peringkat awal dan suka tunggu saat akhir sebelum memutuskan untuk bertanding.
  Lagi dekat tarikh pendaftaran, semakin banyaklah nama dijangka muncul menjadikan proses demokrasi dalam UMNO lebih menarik. - Berita Harian, 30 Julai 2013