Namun, Khairy
sendiri tidak menghalangnya jika
majoriti ahli parti mahukan pertandingan. Menteri Belia dan Sukan itu menghormati pandangan peringkat akar umbi kalau mereka mahu jawatan
Ketua Pemuda dipertandingkan, mengikut pindaan perlembagaan parti.
Sebagai pemimpin muda yang
banyak melalui onak dan duri dalam perjuangan sejak dipilih Ketua Pemuda UMNO pada 2008, Khairy tahu pandangan
ahli peringkat akar umbi tidak
boleh diketepikan begitu saja. Pengalaman
beliau dihentam dan dikritik pelbagai
pihak berikutan peranannya dalam kerajaan dan parti ketika bapa mentuanya
menjadi Perdana Menteri, menjadikannya lebih kental dan yakin menghadapi apa juga masalah.
Khairy menang kerusi
Pemuda bagi mengisi kekosongan yang
ditinggalkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Dalam pemilihan 2008 itu, beliau
memperoleh 304 undi menewaskan Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang mendapat 252 undi
dan Datuk Mukhriz Mahathir yang mendapat 232 undi.
Pertandingan memberi
kebebasan kepada ahli menentukan siapa
yang akan mereka sokong walaupun wujud
kumpulan penyokong calon tertentu. Selepas pertandingan, ahli kembali bersatu, walaupun ada segelintir yang
tidak berpuas hati. Pandangan umum ahli
UMNO, pertandingan sesuatu yang sihat dan bernas kerana sikap
keterbukaan ini perlu bagi mencari pemimpin yang didapati benar-benar layak.
Pertandingan juga tidak bererti
penyandang jawatan tidak
berkebolehan atau tidak layak. Ia hanya memberi ahli peluang mencalonkan dan memilih orang yang pada
pandangan mereka lebih sesuai menduduki jawatan tertentu.
Ada juga pihak
menganggapnya sebagai kesempatan untuk
melakukan perubahan sesuai dengan transformasi politik bagi meningkatkan keyakinan ahli semua peringkat. Dengan pertandingan, pemimpin sedia ada turut diberi
peluang memperkukuh kedudukannya dalam
parti sebagai barisan pelapis yang bakal mengambil alih kepemimpinan suatu hari
kelak.
Proses pemilihan ini
sudah berlaku sejak dulu dan walaupun
tentangan terhadap pemimpin atasan mengakibatkan sedikit perpecahan, masalah
itu tidak berlarutan dan UMNO kekal
utuh.
Dr Mohd Zaini Abu
Bakar dari Universiti Sains Malaysia, berpendapat pemilihan
selaras dengan semangat transformasi, sesuai dengan perubahan iklim
politik di negara ini yang semakin mencabar.
“Kadangkala memang
bagus kekalkan staus quo, tapi
kadangkala elok diadakan pertandingan. Selalunya pertandingan memberi kesan
positif kerana ia membuka peluang muka
baru mengetengahkan diri mereka kepada parti,” katanya.
Setakat ini,
pemerhati politik meramalkan Mukhriz akan melangkah setapak lagi untuk mencuba
nasib bagi jawatan Naib Presiden tetapi itu tidak bererti beliau mengetepikan kemungkinan untuk menebus
kekalahannya pada pemilihan lalu dengan memasuki semula gelanggang Pemuda. Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim
dikatakan tidak berminat melawan Khairy
menyebabkan nama calon bagi pertandingan Ketua Pemuda selain Khairy, masih menjadi teka-teki.
Kita juga tidak
boleh menolak kemungkinan ada calon kejutan yang akan tampil pada saat akhir
dan pernah pada suatu masa, nama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Kadir
turut disebut-sebut.
Apapun, keputusan
muktamad mengenai pertandingan jawatan Ketua Pemuda bergantung pada mesyuarat peringkat bahagian dan jika ada calon sesuai
yang sanggup mencabar pemimpin berprofil tinggi seperti Khairy. - Berita Harian, 27 Julai 2013