Namun kedudukan MCA
dijangka akan menjadi rintangan terbesar dalam proses penggabungan itu kerana
ia bukan parti pelbagai kaum seperti GERAKAN dan SUPP.
Umum tahu bahawa MCA
pastinya tidak akan mengubah dasarnya dan tidak akan membuka keahliannya kepada
kaum lain.
Sekiranya tidak ada
titik pertemuan antara ketiga-tiganya, adalah sukar bagi mereka bergabung,
kecuali jika GERAKAN dan SUPP sanggup menggugurkan dasar kepelbagaian kaum yang
menjadi asas perjuangannya selama ini.
Situasi ini
menyebabkan parti terlibat terpaksa mengambil kira faktor keahlian sekiranya
mereka ingin meneruskan hasrat tersebut.
Selepas PRU-13,
GERAKAN tidak mempunyai wakil rakyat bukan Cina sama ada di Parlimen mahupun
Dewan Undangan Negeri tetapi SUPP mempunyai seorang ahli Parlimen Bumiputera
iaitu Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem yang menang di kerusi
Serian.
Cadangan untuk
menggabungkan ketiga-tiga parti dominan Cina itu yang pernah dibangkitkan
sebelum ini, ditimbulkan semula oleh pemangku Presiden GERAKAN, Datuk Chang Ko
Youn baru-baru ini berikutan pilihan raya umum lalu.
Berdasarkan maklum
balas yang diperolehnya daripada rakannya dalam MCA dan SUPP, Ko Youn bersetuju
bahawa masa paling sesuai bagi berbincang cadangan berkenaan dengan secara
menyeluruh ialah selepas mesyuarat agung dan pemilihan parti.
MCA akan mengadakan
pemilihan pucuk pimpinan parti pada 21 Disember, manakala GERAKAN pada 26
Oktober depan. SUPP yang dipimpin Tan Sri Peter Chin akan hanya mengadakan
pemilihannya tahun depan.
Justeru, adalah
wajar parti berkenaan menunggu sehingga barisan baru kepemimpinan parti dipilih
sebelum meneruskan dengan transformasi politik untuk membentuk sebuah parti
tunggal. Cadangan untuk bergabung itu, bagaimanapun bukan perkara baru dan ia
pernah dibangkitkan sebelum ini, seawal pertengahan 1980-an. Kali terakhir ia dibincang
pada 2007 dan 2011.
Memandangkan hasrat
untuk bergabung itu kini sudah sampai ke satu peringkat lebih serius, adalah
wajar pemimpin kedua-dua parti berkenaan duduk berbincang mengenai
penstrukturan semula dua entiti berbeza itu dan siapa yang bakal diangkat
sebagai pemimpin parti yang bergabung itu.
Penganalisis
politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata di atas kertas idea
penggabungan itu memang menarik tetapi sejauh mana ia dapat dilaksanakan adalah
satu perkara lain.
“Adakah mereka nak
bergabung kerana keputusan PRU-13 yang teruk atau berkongsi prinsip sama?. Sekiranya langkah untuk bergabung itu dapat
mengembalikan dua pertiga daripada kerusi yang pernah dimenangi dulu, ia adalah
langkah yang betul,” kata pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Pada peringkat awal
penggabungan, kedua-duanya pasti menghadapi pelbagai masalah. Presiden baru MCA
dan GERAKAN yang akan terpilih kelak sudah tentunya ingin melakukan perubahan
dalam parti mereka terlebih dulu.
Kedua-dua parti juga
dijangka akan meninjau pendapat ahli masing-masing pada mesyuarat agung yang
akan berlangsung itu bagi mendapatkan maklum balas mengenai penggabungan
berkenaan.
Kalau dicongak isu
yang perlu diselesaikan, tidak mungkin penggabungan itu dapat dilakukan dalam
tempoh terdekat. Sementara segala isu yang berbangkit ini diselesaikan, adalah
wajar sekiranya kedua-dua parti di Semenanjung itu menganjurkan program bersama
ke arah mengadakan kerjasama lebih besar pada masa depan yang melangkaui
kerjasama biasa.
Apapun, idea
penggabungan itu memerlukan penelitian menyeluruh pada peringkat makmal bagi
membolehkan ketiga-tiga parti berkenaan - MCA, GERAKAN dan SUPP - terus kekal
relevan pada masa depan sama ada dalam bentuk sedia ada ataupun sebuah parti
tunggal. – Berita Harian, 24 Julai 2013