Walaupun pada
1970-an, negara masih belum membangun sepenuhnya dan jiwa rakyat ketika itu
begitu besar sekali. Biarpun tidak moden, tidak canggih dan tidak ramai yang
berpelajaran tinggi serta belum ada teknologi maklumat, pemikiran kita amat
luas dan dada kita begitu lapang dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.
Sebagai sebuah
negara yang sudah cukup dewasa, kita seharusnya memahami dan menerima bahawa
lagu kebangsaan kita bukan saja membangkitkan semangat patriotik terhadap
negara tetapi ia juga melambangkan sosiobudaya negara.
Kanak-kanak sekolah
yang baru setahun jagung pun tahu bahawa mereka perlu menghormati lagu Negaraku
dan berdiri tegak ketika ia didendangkan. Justeru, adalah menjadi harapan kita agar tidak ada golongan tertentu di negara ini yang akan mencemuh atau mengejek lagu kebangsaan itu ketika dimainkan di pawagam. Sebaliknya, mereka sepatutnya bangga kerana berpeluang menyanyikan lagu kebangsaan secara beramai-ramai dengan penonton lain, yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Bukannya mudah untuk
mendapat peluang berkenaan. Bagi kebanyakan orang, kali terakhir mereka
mendendangkan lagu kebangsaan itu mungkin ketika masih berada di bangku sekolah
ataupun di pusat pengajian tinggi.
Untuk membantah dan
tidak berdiri tegak ketika lagu Negaraku berkumandang bererti kita tidak
menghormati lagu kebangsaan yang menjadi lambang perpaduan dan kedaulatan
negara.
Ahmad Shabery
baru-baru ini mengadakan perjumpaan dengan lima pengendali pawagam untuk
berbincang cadangan berkenaan, yang
bermakna arahan untuk menyanyikan lagu itu meliputi hampir semua pawagam di
negara ini.
Mengikut
perancangan, lagu kebangsaan itu akan dimainkan di pawagam sehingga 3 September
ini. Di beberapa negara lain seperti Thailand dan India, nyanyian lagu
kebangsaan adalah juga perkara biasa dan diterima oleh masyarakat mereka.
Malah jika kita
secara kebetulan menonton wayang di sana, kita pun dikehendaki dan menghormati
dendangan lagu kebangsaan negara berkenaan.
Di negara ini,
terdapat juga syarikat swasta tertentu yang mewajibkan kakitangan mereka
berdiri ketika lagu korporat dimainkan pada setiap pagi. Adalah lebih indah
sekiranya syarikat terbabit turut memainkan lagu kebangsaan sebelum atau
selepas lagu korporat itu bagi membangkitkan semangat patriotisme dan perpaduan
dalam kalangan masyarakat dan pekerja syarikat.
Sempena sambutan
kemerdekaan ini, pihak pawagam juga akan menayangkan dua promo berjudul Pesanan
Terakhir mengenai gugurnya pahlawan negara berikutan pencerobohan Sulu di Lahad
Datu dan sebuah lagi kisah bertajuk Tanah Tumpahnya Darahku mengenai semangat
patriotisme negara.
Selain lagu
kebangsaan, masih ada beberapa hari lagi bagi kita meneruskan tradisi memasang
bendera kebangsaan, Jalur Gemilang di
premis dan kenderaan masing-masing sempena ulang tahun kemerdekaan Sabtu
ini.
Hari kemerdekaan
sepatutnya disambut sama meriah dengan Aidilfitri yang berada di penghujungnya.
Di samping meraikan hari raya dan rumah terbuka, jangan kita lupa pada sambutan
hari kemerdekaan ke-56. - Berita Harian, 18 Ogos 2013