Friday, 30 August 2013

'Saya hanya makan nasi dan lauk di pinggan saya saja' - Zahid

  Ramai yang menjangka Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 60, akan membuat kejutan pada pemilihan UMNO ini. Mereka melihat beliau sebagai mempunyai potensi untuk meningkat lagi dalam arena politik.

  Ternyata pembuat ramalan ini tidak begitu mengenali siapa Zahid sebenarnya. Mungkin ada yang sudah tahu gerak langkahnya tetapi atas sebab-sebab tertentu, mereka masih tampil dengan pelbagai teori berhubung pemilihan ini.
  Ketegasan dan kelantangan beliau akhir-akhir ini sejak memegang jawatan Menteri Dalam Negeri juga menjadi faktor yang mendorong pihak tertentu untuk membuat pelbagai spekulasi.

  Namun bagi tuan punya badan, biarlah apa juga spekulasi dibuat, beliau tetap akan hanya mempertahankan jawatan Naib Presidennya.
 “Lazimnya saya hanya makan nasi dan lauk di pinggan saya saja,” tegas beliau dalam satu pertemuan di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Isnin lalu.

  Apabila diajukan lagi persoalan itu beliau menambah: “Sudah berkali-kali saya nyatakan bahawa saya akan hanya mempertahankan jawatan saya sekarang.”
  Hari berkenaan mungkin antara yang paling sibuk baginya. Selepas menerima kunjungan hormat daripada ahli Kongres Amerika Syarikat, Eni Faleomavaega, beliau mempengerusikan satu mesyuarat dengan pegawai dari sebuah jabatan lain.

  Pertemuan yang sepatutnya diadakan pada jam 1 tengah hari itu terpaksa ditunda ke 2.30 petang dan ditangguhkan lagi sehingga jam 4.05 petang. Selepas selesai temu ramah dengan penulis, beliau perlu ke Johor Bahru pula untuk menghadiri satu lagi program lain.
  Mungkin tumpuannya pada hari itu terpaksa diubah daripada satu perkara ke perkara lain. Namun soal pertandingan ini begitu jelas sekali dalam pemikirannya.

  Katanya, jika ada desakan sekalipun “ia bergantung pada kita sebab sebelum ini ada pencalonan tapi kini perlu daftar kalau nak bertanding”.
  Justeru, soal siapa akan bertanding untuk apa juga jawatan perlu ditentukan sendiri oleh calon berkenaan. Penyokong mungkin boleh mendesak atau memberi semangat tetapi akhirnya yang membuat penentuan adalah calon itu sendiri.

  Zahid juga menjangka tidak ada kejutan yang akan berlaku dari dalam parti. “Sebenarnya kejutan tidak penting kerana keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memantapkan parti daripada memberi kejutan.”
  Naib Presiden UMNO itu berkata, soal sama ada akan wujud kumpulan atau pasukan dalam pemilihan kali ini terserah pada tafsiran pihak tertentu kerana perwakilan tidak memilih pasukan dan sebaliknya memilih individu yang bertanding.

  Bagi kebanyakan ahli UMNO, pemilihan tahun ini yang tertangguh bagi mengelakkan perpecahan dalam parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), adalah penting bagi mencorakkan kepemimpinan parti pada masa depan.
  Ia juga wadah bagi menentukan barisan yang bakal mengambil alih barisan pemimpin yang ada satu hari kelak. Keadaan itu menyebabkan pertandingan bagi jawatan naib presiden, selain presiden dan timbalan presiden menjadi perhatian ahli dan rakyat secara umumnya.

  Sehingga penulisan ini dibuat, terdapat enam calon yang mungkin bertanding bagi jawatan naib presiden terdiri daripada ketiga-tiga penyandangnya - Zahid, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan tiga lagi pencabar, Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Musa Aman.
  Kemungkinan munculnya calon baru yang lain bagi naib presiden bukanlah sesuatu yang mustahil. Begitu juga jika ada dalam kalangan calon yang disebut di atas menarik diri atau tidak mendaftar sebagai calon pada 28 September ini.

  Mengakhiri pertemuan itu, Zahid membuat satu kenyataan yang harus difikirkan secara bersama oleh ahli UMNO keseluruhannya.
  Katanya: “Jangan fikir pemilihan UMNO hanya untuk ahli saja tetapi ia juga adalah untuk pengundi iaitu 13 hingga 14 juta orang.

  “Apa yang lebih penting bukannya menang jawatan tapi kalah pilihan raya. Sebaliknya menang jawatan untuk menang dalam pilihan raya. Tiada makna ada jawatan dalam parti tapi tidak dapat bentuk kerajaan kerana matlamat akhir ialah kita harus mengukuhkan parti untuk membentuk kerajaan.” - Berita Harian, 30 Ogos 2013