Pada sebelah petang,
orang ramai boleh mendapat gambaran siapa calon bagi semua jawatan yang
dipertandingkan pada pemilihan kali ini. Peraturan parti yang dipinda tidak
menghalang sesiapapun daripada memasuki gelanggang, daripada jawatan paling
tinggi hingga ke bawah.
Ia adalah proses
demokrasi dalam erti kata sebenarnya, tidak seperti sesetengah parti
pembangkang yang hanya pandai berkokok, tetapi cara pemilihannya lebih bersifat
autokrasi.
Seperti yang
diuar-uarkan media, kali ini ramai muka baru dan muda akan tampil menawarkan
diri kerana kaedah untuk menjadi calon dipermudahkan. Asalkan sudah menjadi
ahli jawatankuasa bahagian boleh melayakkannya sebagai calon.
Kaedah ini juga
menyebabkan ada sesetengah pemimpin atasan berasa gundah gulana dan berdebar-debar,
bimbang ada ‘muka baru’ lebih popular akan muncul. Yang sudah lama memegang
jawatan juga risau kerana terlalu banyak seruan supaya mereka digantikan dengan
orang baru.
Inilah apa yang
dinamakan sebagai transformasi – daripada yang lama diserahkan kepada yang
baru. Selain itu sebagai parti yang sudah lama mengamalkan demokrasi, UMNO juga
turut mempunyai satu tradisi iaitu mencapai kesepakatan bagi mengelakkan
perpecahan.
Semakin dekat hari
pemilihan, semakin ramai ‘bakal calon’ sudah mula menarik diri walaupun belum
sampai hari pendaftaran. Antara mereka termasuk Ahli Majlis Tertinggi, Datuk
Seri Azalina Othman Said dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Azalina pada mulanya
hebat berkempen untuk merebut jawatan Ketua Wanita UMNO akhirnya tunduk kepada
desakan supaya beliau menarik diri. Begitu juga Musa yang pada mulanya
menyatakan hasrat untuk merebut jawatan Naib Presiden.
Ramai yang menyambut
baik tindakan mereka itu demi perpaduan dan pengukuhan semula parti sebagai
persediaan menghadapi rintangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) empat atau lima tahun akan datang.
Di samping kompromi
itu, terdapat juga kesepakatan tidak rasmi antara ketiga-tiga penyandang Naib
Presiden sekarang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal dalam usaha mereka
mempertahankan jawatan masing-masing.
Ketiga-tiga mereka
mungkin menghadapi tentangan daripada dua muka lama, bekas Naib Presiden, Tan Sri
Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Seorang lagi yang diura-urakan
akan merebut jawatan itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir,
yang ketika tulisan ini disiarkan, masih belum mengumumkan keputusannya.
Apapun, dalam proses
meremajakan parti, pemilihan ini juga akan menjadi titik perubahan yang mana
lebih ramai orang muda dijangka mencuba nasib bagi merebut jawatan Ahli Majlis
Tertinggi serta jawatan EXCO dalam sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Tanpa penerus perjuangan
ini, UMNO akan menghadapi masa depan yang kelam dan sukar. Bak kata bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO perlu diperbaharui dengan
penerimaan ahli serta kepemimpinan daripada generasi muda.
Dr Mahathir berkata
ramai yang tersalah anggap kenyataannya sebagai mempunyai agenda tertentu,
kononnya kerana ingin mengekalkan kepemimpinannya melalui anaknya. Ada juga
pemimpin UMNO yang mengecam kenyataan Dr Mahathir itu apabila beliau berkata,
UMNO menghidap sakit tua dan akan maut kerana sudah tua, sedangkan beliau
sekadar memberi kesedaran bahawa usia parti berkenaan sudah semakin lanjut.
Kata beliau:
“Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit
kita akan kekalkan kita secara tak langsung di dunia, dan sedikit sebanyak
meneruskan sumbangan kita yang terdahulu.”
Tidak perlulah kita
terlalu sensitif dengan teguran beliau. Kita percaya ramai ahli UMNO bersetuju
bahawa jauh di sudut hatinya, kita tahu Dr Mahathir menyatakan demikian kerana
beliau sayangkan UMNO. Memang dari dulu pun caranya memang begitu, sinis dan
tajam memperkatakan pemikirannya. Justeru, marilah kita sama-sama menantikan
detik perubahan yang dilakukan oleh UMNO mulai pemilihan ini dan pendaftaran
sebagai calon Sabtu ini. - Berita Harian, 18 September 2013