Wartawan: Tahun ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-56.
Mungkin masih ada rakyat Malaysia yang tertanya-tanya kenapa `Malaysia
Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku' dipilih sebagai tema tahun ini?
Shabery Cheek: Kita memilih
tema itu kerana ia paling relevan pada masa ini iaitu membabitkan soal
kedaulatan negara. Keamanan negara tidak datang bergolek dan ancaman
keselamatan juga boleh datang pada bila-bila masa. Kejadian di Lahad Datu
membuatkan kita berfikir bahawa secara menyeluruh usaha mempertahankan negara
bukan saja dari segi kelengkapan atau aset tentera tetapi juga dari segi
implikasi sosial seperti kehadiran pendatang asing tanpa izin. Rakyat negara
ini perlu terus memperkukuhkan perpaduan membina negara bangsa.
Ia memberi peringatan
kepada rakyat pentingnya mereka bersatu demi mempertahankan negara di samping
mewujudkan kesedaran mengenai kecintaan terhadap negara. Tema itu juga
mengingatkan rakyat bahawa negara ini adalah tempat di mana mereka dilahir,
dibesarkan dan didewasakan. Di sinilah juga riwayat mereka berakhir. Tidak ada
tempat lain lagi bagi kita. Sesungguhnya, Malaysia adalah negara berdaulat
selepas bebas daripada belenggu penjajahan. Ia adalah tanah tumpah darah kita.
S: Selepas 56 tahun merdeka dan negara
semakin maju, semangat perpaduan dan patriotisme kita seolah-olah semakin
rapuh. Polarisasi juga semakin ketara dalam kalangan masyarakat. Di mana
silapnya?
J: Pada usia 56 tahun itu, kita sepatutnya berada pada landasan
lebih kukuh dan mantap dari segi perpaduan. Sebaliknya ada kalanya kita
menyaksikan wujudnya pola yang tidak memberangsangkan ini akibat hasutan pihak
tertentu. Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat di negara ini supaya tidak
melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan kaum lain.
Memandangkan Malaysia
sebuah negara majmuk, rakyatnya diharap dapat memainkan peranan bagi
menggalakkan perpaduan dan bukannya mewujudkan jurang perbezaan antara kaum
atau agama dalam semua tindakan kita. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini
untuk menyeru kepada penggemar internet atau `netizens' supaya memberi
pertimbangan sewajarnya kepada hubungan antara kaum dan menghormati pantang
larang dan budaya orang lain sebelum memuat naik bahan ke alam maya.
S: Ada juga pihak
tertentu sanggup mempertikaikan kononnya pencerobohan di Lahad Datu baru-baru
ini dirancang. Bagaimana Datuk melihat isu ini?
J: Adalah sesuatu
yang amat menyedihkan apabila ada pihak tertentu di negara ini, terutama ahli
politik yang sanggup mempertikaikan insiden yang berlaku dan menyifatkannya
sebagai sandiwara UMNO. Apakah ibu bapa kematian anak sandiwara? Isteri
kehilangan suami perkara main-main? Atau anak kehilangan bapa pun satu perkara
yang mahu dipolitikkan? Inilah ancaman yang semua pihak perlu faham selepas
perang dingin berlalu.
Dalam kejadian di
Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada Februari dan Mac lalu,
anggota keselamatan kita terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara. Kita
seharusnya menyanjungi keberanian anggota keselamatan kita, bukannya mencemuh
mereka. Ulang tahun kemerdekaan ini adalah masa paling sesuai bagi mengenang
jasa dan pengorbanan anggota keselamatan kita yang mempertahankan negara
daripada ancaman anasir luar.
S: Sambutan
kemerdekaan kali ini, Datuk Seri memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti
penyiaran lagu Negaraku di pawagam? Mulai 28 Ogos lalu, lebih 700 pawagam di
seluruh negara bersetuju menayangkan promo kemerdekaan dan memainkan lagu
Negaraku sebelum tayangan filem. Boleh Datuk ulas lanjut?
J: Cadangan ini
hasil perbincangan dengan rakan-rakan dan juga sahabat media sosial. Ia satu
permulaan dan dibuat hanya untuk tempoh seminggu bermula 28 Ogos. Ia adalah
sesuatu yang nolstagik. Mungkin mereka yang berusia lima puluh atau enam
puluhan pernah melalui pengalaman itu, iaitu dikehendaki berdiri dan
menyanyikan lagu kebangsaan di dalam panggung wayang.
Ia adalah langkah
simbolik yang dilakukan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan. Saya berasa
teruja dan bangga dengan persetujuan pihak pengurusan semua pawagam di negara
ini untuk bersama kerajaan dalam kempen sambutan kemerdekaan ini. Ia
menunjukkan mereka juga mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
S: Sebahagian besar pengunjung pawagam adalah golongan muda.
Bagaimana jika mereka mencemuh dan menghina lagu Negaraku di tempat awam
seperti itu? Malah dalam internet sebelum ini pun sudah ada individu tertentu
menghina lagu Negaraku dengan mengubahsuainya menjadi Negaraku-Ku.
J: Saya suka
berfikiran positif dan proaktif. Memang benar ada individu atau pihak tertentu
yang nakal atau dengan sengaja cuba mencemarkan lagu rasmi negara mahupun
lambang rasmi yang lain termasuk Jalur Gemilang. Mereka yang bertindak demikian
seharusnya malu pada diri sendiri. Di mana-mana negara pun ada unsur negatif
sedemikian, namun hanya wujud segelintir sahaja golongan seperti itu. Saya
yakin dan percaya majoriti rakyat kita sememangnya berfikiran terbuka dan
rasional dan tidak suka dengan perbuatan negatif yang boleh menjejaskan nama
baik negara.
S: Sekarang ini
semangat patriotisme kita agak bermusim sempena 31 Ogos dan 16 September, lepas
itu lupa. Pendapat Datuk bagaimana untuk tanam semangat tersebut dalam diri
rakyat Malaysia?
J: Kementerian
Komunikasi dan Multimedia dan jabatan di bawahnya sudah mengatur pelbagai acara
sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 ini. Pada 16 Ogos
lalu, Perdana Menteri melancarkan kempen mengibar Jalur Gemilang peringkat
kebangsaan di Sungai Petani, Kedah. Berikutan pelancaran itu, rakyat digalakkan
mengibarkan bendera kebanggaan kita itu sehingga 16 September depan. Kalau ada
yang ingin mengibarkannya sepanjang tahun, kita memang mengalu-alukannya. Satu
acara Ambang Merdeka pula diadakan di Pusat Maritim, Putrajaya dihadiri
pemimpin kita malam tadi. Pada hari ini, seperti biasa, acara perbarisan Hari
Kemerdekaan ke-56 diadakan di Dataran Merdeka dan orang ramai turut
menyaksikannya.
Pada 16 September pula, akan berlangsung istiadat perbarisan
dan rapat raksasa sempena sambutan perayaan Hari Malaysia ke-50 di Padang
Merbok, Kuching, Sarawak dan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sabah di Taman
Philip, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah. Saya menyenaraikan semua ini bagi
menunjukkan bahawa agensi kerajaan terbabit sudah mengaturkan pelbagai program
sempena ulang tahun kemerdekaan ini.
Kerajaan berharap rakyat akan menyertai program yang
diaturkan itu. Walaupun semangatnya nampak agak bermusim, kita berharap
lama-kelamaan rakyat Malaysia secara umumnya dan golongan muda, akan dapat
menanamkan semangat patriotisme di dalam diri mereka. Kementerian Komunikasi
dan Multimedia juga menubuhkan urus setia tetap untuk mengendalikan sambutan
kemerdekaan pada masa akan datang.
S: Rata-rata kita
lihat semangat untuk meraikan agak dingin. Apa yang boleh dilakukan bagi membetulkan
keadaan ini?
J: Itu mungkin secara kebetulan kerana kita baru saja meraikan
sambutan Aidilfitri. Tetapi saya yakin tumpuan kini diberikan kepada sambutan
kemerdekaan negara. Amalan untuk bersemangat menyambut merdeka ini perlu
disemaikan mulai daripada kanak-kanak lagi. Peranan ini perlu dipikul oleh
semua pihak daripada ibu bapa sehinggalah kepada pihak sekolah.
S: Di sesetengah
tempat seperti Putrajaya, orang ramai diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang.
Apakah wajar ia diwajibkan ke atas khalayak ramai atau apakah ada cara lain
bagi kita membangkitkan semula semangat ini?
J: Setakat ini semua kementerian dan agensi kerajaan diminta supaya
mengibarkan bendera kebangsaan. Sebagai badan perkhidmatan awam, saya
berpendapat kerajaan sudah tentunya memerlukan bantuan daripada agensinya
sendiri dalam kempennya, apatah lagi sambutan kemerdekaan negara.
Di samping itu, kita juga menggalakkan sektor swasta dan
orang ramai supaya turut mengibarkan bendera sebagai tanda penghormatan dan
kejayaan kita mencapai kemerdekaan pada hari yang mulia ini. Mewajibkan orang
memasang bendera menerusi undang-undang sepatutnya menjadi langkah terakhir.
Yang penting semangat menjiwai kemerdekaan seharusnya membara dalam kalangan
rakyat sepanjang masa. – Berita Harian, 31 Ogos 2013