Alasan yang diberikan AS kononnya mereka ingin mendapatkan
maklumat mengenai kegiatan keganasan di negara tertentu tidak boleh diterima
bulat-bulat.
Maklumat berkenaan boleh diperoleh mereka daripada negara
yang diintip itu sekiranya memohon menerusi saluran rasmi.
Namun, AS memilih untuk melakukan pengintipan, termasuk ke
atas negara sahabat dan sekutunya di Eropah. Sudah tentu perbuatan itu tidak
baik untuk hubungannya dengan negara lain.
Seperti ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman,
aktiviti intipan tidak sepatutnya dilakukan oleh negara yang bersahabat dengan
Malaysia kerana ia boleh menjejaskan hubungan yang sedia terjalin dan
meningkatkan ketegangan diplomatik.
Dunia juga tahu bahawa AS mentakrifkan keganasan sesuka hati
dan ini pasti menimbulkan masalah kepada negara lain dan masyarakat
antarabangsa.
“Mereka menganggap Palestin sebagai pengganas tetapi negara
lain tidak pula menganggap begitu,” kata Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia
(JUST), Prof Dr Chandra Muzaffar.
Sejak terbongkarnya kegiatan pengintipan oleh AS itu, banyak
negara menyatakan bantahan.
Wisma Putra sudah pun mengemukakan nota bantahan kepada
Kedutaan AS di Kuala Lumpur dan memanggil Timbalan Ketua Perwakilannya, Lee McClenny. Pesuruhjaya Tinggi
Australia, Miles Kupa, juga dipanggil Wisma Putra berikutan pendedahan
pembabitan Australia dalam kerja pengintipan itu.Namun, tindakan itu tidak memadai. Malaysia perlu menyatakan bantahan secara lebih keras dengan mengemukakan bantahan bersama dengan negara lain yang turut diintip, termasuk sekutu AS di Eropah.
AS turut mengintip perbualan telefon Canselor Jerman, Angela
Merkel, seperti didedahkan dalam laporan akhbar terkemuka Britain, The Guardian.
Selain Jerman, Perancis dan Itali juga bimbang dengan
laporan menyatakan AS sedang memantau rangkaian komunikasi mereka.
Melihat perkembangan tidak menyenangkan itu, Malaysia perlu
menyertai negara terbabit serta pergerakan sosial antarabangsa dalam menyatakan
bantahan.
Chandra berkata, apa yang lebih penting ialah badan
antarabangsa terbabit perlu memujuk AS supaya membuat anjakan pradigma dalam
pendekatannya untuk mendapatkan maklumat.
“Amerika harus faham bahawa penguasaan mutlak dan idea
unipolar itu sudah mulai berubah dan jelas tidak diterima masyarakat
antarabangsa. Dunia mulai ragu dan kurang senang dengan apa yang dilakukan oleh
Amerika,” katanya.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, kegilaan AS
mengintip semakin menjadi-jadi selepas serangan 11 September 2011. Washington
mendakwa hasil intipan itu membolehkannya mematahkan 54 rancangan untuk
melancarkan keganasan di AS.
Biar apapun alasan yang diberikan, Malaysia tidak harus
membiarkan AS atau negara lain mencabar kedaulatan negara dengan apa cara
sekalipun.
AS bukannya tidak tahu perbuatannya itu salah dan tidak disukai negara lain. Namun,
mereka tetap melakukannya kerana menganggap dirinya sebagai kuasa dunia.
“Ia bukannya dibuat semata-mata bagi mengekang keganasan
tetapi lebih pada usaha untuk memperluaskan penguasaannya di rantau ini,” kata
Chandra. - Berita Harian, 5 November 2013