Wednesday, 11 December 2013

Penting bagi pelajar Melayu menguasai bahasa Inggeris

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini sekali lagi mengutarakan pandangannya bahawa hanya bahasa Inggeris paling sesuai untuk mengajar subjek Sains dan Matematik kerana ia adalah bahasa ilmu yang mampu menjamin Malaysia disenaraikan sebagai negara maju di dunia.

  Beliau bimbang pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dari segi ilmu dan tidak boleh bersaing pada peringkat antarabangsa.
 Bagi menepiskan sebarang salah tanggapan terhadapnya berhubung pendapatnya mengenai bahasa Inggeris itu, Dr Mahathir juga berlapik dengan menyatakan: “Saya Melayu, sayangkan bahasa saya, tetapi saya lebih utamakan bahasa ilmu itu dimiliki bangsa kita. Ini kerana ilmu tidak datang dalam bahasa Melayu, sebaliknya bahasa Inggeris.”

 Analogi itu sama seperti kita sayangkan kerajaan tetapi ada kalanya kita terpaksa mengkritik kerana langkah tertentu yang diambil kerajaan. Sama juga penggunaan bahasa Inggeris untuk mempelajari ilmu tidak bererti kita tidak menyayangi bahasa Melayu.
 PPSMI yang dilaksanakan pada 2003 ketika pentadbiran Dr Mahathir, akhirnya dimansuhkan tahun lalu selepas kerajaan melakukan kajian mendalam. Sejak itu, ia masih diperdebatkan oleh pihak yang menyokong saranan Dr Mahathir itu.

 Penulis teringat satu kajian oleh dua sarjana cawangan Universiti Nottingham, di sini, baru-baru ini bahawa kelemahan dalam berbahasa Inggeris adalah antara kekangan yang dihadapi Malaysia dalam hasratnya untuk menjadi peneraju kewangan global.
 Rektor universiti berkenaan, Christine Ennew dan pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Dr Nafis Alam dalam kajian mereka yang disiarkan dalam Theconversation.com, berpendapat pembinaan Tun Razak Exchange (TRX) meliputi 11 bangunan dengan ketinggian 25 tingkat setiap satu mampu memperkukuhkan kedudukan negara ini sebagai peneraju kewangan serantau seperti Singapura dan Hong Kong.

 “Malaysia menaruh harapan ke atas TRX untuk menjadi hab kewangan antarabangsa dan mempromosi Kuala Lumpur sebagai nukleas baru pertumbuhan ekonomi global. Projek berkenaan dilihat sebagai antara yang terpenting dalam perancangan ekonomi kerajaan. Hasratnya ialah untuk merubah Malaysia dan menjadikannya sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.”
  Tetapi, kata mereka dalam artikel itu, sekiranya Malaysia ingin berada dalam kalangan pusat kewangan antarabangsa teratas, ia mesti mampu mencapai status sebagai hab kewangan Islam terkemuka dan ini hanya boleh dicapai sekiranya ia mempunyai modal insan berkualiti tinggi.

  Kata pengkaji berkenaan, Bank Negara menjangkakan lebih 56,000 jawatan baru dalam sektor kewangan diperlukan dalam dekad akan datang, termasuk 40,000 peluang pekerjaan dalam sektor kewangan Islam.
  Bagaimanapun, pencapaian rendah dalam penilaian pelajar antarabangsa, keupayaan berbahasa Inggeris yang semakin merosot dan kebimbangan mengenai kebolehupayaan graduan untuk diterima bekerja tidak sampai ke tahap yang dikehendaki.

  Malaysia, kata mereka, mungkin boleh menyediakan kemudahan bertaraf dunia di Kuala Lumpur dan menawarkan insentif pencukaian dan lain-lain kepada syarikat yang ingin beroperasi di daerah baru itu, tetapi tanpa pembekalan pekerja berpendidikan yang berupaya berbahasa Inggeris, harapan untuk bersaing dengan negara seperti Hong Kong dan Singapura akan menjadi agak tipis.
  Dr Mahathir juga berpendapat dalam Sains dan Matematik, sepanjang masa ada kajian dan ilmu baru ditemui kerana ia bukan bidang statik. Ada kalanya ada sesuatu yang tidak dijangka ditemui menerusi kertas penyelidikan yang mana 98 peratus daripadanya dalam bahasa Inggeris.

  Justeru, beliau menegaskan betapa perlunya kita mempelajari ilmu dalam bahasa Inggeris, bukan lagi bahasa Arab, dan sudah tentunya bukan bahasa Melayu. Untuk menterjemahkan ilmu yang baru diperoleh pengkaji antarabangsa pun bukannya boleh dilakukan dengan mendadak.
  Apapun, polemik mengenai kedua-dua bahasa ini akan berterusan di antara mereka yang menyokong dan pejuang bahasa Melayu. Kita berharap pejuang bahasa Melayu akan melihat isu ini dari perspektif lebih meluas.