Masih terdapat syarikat bas yang menggunakan kenderaan lapuk, buruk dan mengeluarkan asap hitam. Sikap pemandunya yang tidak sopan serta bas yang dipandu secara berlumba di jalan raya bagi merebut penumpang di hadapan sudah tentunya tidak sesuai dengan status Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang gah namanya di dunia.
Bayangkan betapa malunya warga Kuala Lumpur dengan adanya perkhidmatan bas seperti ini di hadapan Menara Berkembar KLCC di Jalan Ampang. Sudah tentunya ia memberi imej dunia ketiga di mata pelancong yang mundar-mandir di situ.
Sekiranya khidmat pengangkutan awam seperti bas dan teksi inipun tidak dapat diatasi, pastinya sebarang kenaikan dalam tambang akan hanya menimbulkan kemarahan orang ramai.
Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan, SPAD harus melihat isu ini dengan secara menyeluruh bagi menambah baik segera sistem pengangkutan awam di negara ini khususnya di Kuala Lumpur sebagai persediaan kita menyambut pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2014.Sejak dua tiga bulan lalu, sudah ada beberapa kenaikan yang diumumkan yang rata-ratanya meningkatkan kos sara hidup rakyat. Kenaikan harga itu, walaupun sedikit, mempunyai kesan pilin atau ‘spiraling effect’ ke atas barangan dan perkhidmatan lain yang semuanya ini membebankan pengguna.
Bagi mengelakkan tohmahan dan salah tanggapan rakyat kononnya kerajaan menunggu sehingga selesai pilihan raya umum untuk menaikan harga barangan dan perkhidmatan ini, adalah wajar kenaikan itu dilakukan secara berperingkat-berperingkat dan bukannya segala gus.
Kajian juga hendaklah dilakukan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan, seperti merancang untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya yang berbayar. Daripada pemerhatian penulis, pada masa ini kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Duta-Hulu Kelang (DUKE), umpamanya terpaksa melalui jalan sesak setiap pagi dan petang untuk ke Jalan Semarak selepas membayar tol RM2 di Plaza Tol Batu.
Pembinaan lebuh raya itu sepatutnya melancarkan lalu lintas dan bukannya menyebabkan kenderaan terpaksa melalui jalan sempit selepas membayar tol. Penyambungan lebuh raya itu yang dijangka dilaksanakan dalam sedikit masa lagi ke Jalan Tun Razak, sepatutnya dibina serentak dengan pakej yang ada sekarang dan bukannya menunggu begitu lama sebelum ia disambung.
Selain tol, tambang pengangkutan awam seperti LRT dan monorel serta bas sekolah juga dijangka naik dalam masa terdekat ini. Kenaikan tambang pengangkutan awam ini juga hendaklah disusuli dengan peningkatan dalam kualiti perkhidmatannya.