Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra |
Ketika Parti Puea
Thai pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bersedia untuk mengadakan
PRU dalam masa terdekat, parti pembangkang iaitu Parti Demokrat dan pihak yang
menentang kerajaan pula tidak mahu pilihan raya diadakan, sebaliknya mahu
mewujudkan Majlis Rakyat pilihan mereka yang dilantik oleh raja.
Sejak beberapa hari
lalu, pihak penentang mengambil tindakan mengepung rumah kerajaan sementara
Ahli Parlimen pembangkang pula meletak jawatan secara beramai-ramai.
Bekas ahli Parlimen
Demokrat dan pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep
Thaugsuban yang menentang kerajaan, berkeras untuk terus menggulingkan kerajaan
Yingluck dan mahukan demokrasi digantung buat sementara sehingga sebuah Majlis
Rakyat dilantik bagi melaksanakan perubahan secara demokratik.
Yingluck tidak
menyetujui cadangan untuk melantik Majlis Rakyat seperti diuar-uarkan
pembangkang dan menyifatkannya sebagai tindakan yang melanggar perlembagaan. Ia
juga bercanggah dengan kehendak popular yang mana parti yang diketuainya, Puea
Thai menang dalam PRU pada pertengahan 2011.Parti Demokrat mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasa dan hilang kesahihannya terutama selepas ia meluluskan rang undang-undang Amnesty pada 1 November lalu yang mana ia boleh melepaskan kesalahan yang dilakukan oleh orang ternama. Mereka melihat langkah ini sebagai usaha untuk melepaskan Thaksin daripada hukuman penjara sekiranya beliau pulang ke negara berkenaan.
Justeru, dalam
menghadapi situasi sedemikian, kesudahannya sudah tentunya bukan melalui
pilihan raya kerana ia akan hanya memulakan satu lagi proses baru, kata
Pensyarah Kanan Jabatan Asia Tenggara Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya, Dr Mala Rajo Sathian.
Beliau berpendapat
Majlis Rakyat sudah tentu tidak akan diterima oleh majoriti rakyat dan ia
adalah langkah sementara.
“Isu Thaksin mesti
diselesaikan, iaitu dengan beliau kembali untuk menjalani hukuman penjara atau
diberikan pengampunan oleh raja. Selagi isu berkenaan tidak diselesaikan,
konflik politik di negara itu akan berterusan,” kata Dr Mala yang membuat
banyak kajian dan pemerhatian mengenai perkembangan politik di Thailand
khususnya di selatan negara berkenaan.
Menyorot
perkembangan yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun lalu sejak Thaksin
digulingkan, Dr Mala berkata, sejarah menunjukkan parti politik dan kerajaan
campuran di Thailand sentiasa berada dalam keadaan rapuh.
Setiap kali ada
parti lain dipelawa untuk bergabung dengannya, kerjasama yang diwujudkan itu
tidak kekal. Keadaan ini membuatkan parti yang bergabung itu mudah untuk
beralih sokongan mereka, menjadikan kerajaan campuran yang diwujudkan begitu
lemah.
Katanya, hanya
sekali kerajaan pernah mendapat majoriti
kukuh, iaitu ketika Thaksin menang pilihan raya umum buat kali kedua. Pada masa
lain, kerajaan dan parti adalah lemah, malah Parti Demokrat di bawah pimpinan
Abhisit Vejjajiva pernah berpeluang memerintah selepas penggulingan Thaksin
pada 2006 tetapi parti itu tidak menunjukkan kemampuannya sehingga tercetus
lagi kekacauan.
“Terdapat bantahan
demi bantahan seolah-olah tidak ada penghujung. Polarisasi juga semakin
meruncing,” katanya.
Dr Mala berpendapat
semakin ramai warga Thai kini menyokong Baju Merah (yang menyokong Thaksin) dan
terdapat seolah-olah perasaan tidak selesa terhadap puak Baju Kuning.
Mengenai sistem
pemilihan pemimpin tanpa pilihan raya, Dr Mala berkata, Parti Demokrat pernah
memilih pemimpinnya sendiri untuk dilantik oleh raja pada 1992 yang mana pada
peringkat awal, pemimpin berkenaan perlu disahkan oleh Majlis Privy.
Tetapi akhirnya
kerajaan yang dilantik itu terpaksa mengadakan pilihan raya, seperti yang
berlaku pada 1992, ketika Anand Panyarachun dilantik Perdana Menteri.
Anand dilantik pada Februari
1992 dan pilihan raya diadakan tiga bulan kemudian yang memberi kemenangan
kepada Parti Demokrat dan pelantikan Chuan Leekpai sebagai Perdana
Menteri.
Menyentuh Perdana
Menteri yang ada sekarang, Dr Mala berkata, Yingluck mampu mengendalikan imejnya
dengan baik di dalam dan luar negara. Walaupun beliau dikritik kerana sering
membuat kunjungan ke luar negara, beliau juga berjaya menangani masalah dalaman
negara seperti banjir buruk di Thailand tahun lalu. - Berita Harian, 13 Disember 2013