Friday, 24 January 2014

Harga barang: Kita perlu ada persatuan pengguna yang kuat

Sudah tiba masanya persatuan pengguna negara ini diperkasakan dan dianggotai lebih ramai ahli bagi membolehkan orang ramai lebih memahami isu kenaikan harga barangan yang sedang dihadapi sekarang ini.

 Berdasarkan hakikat bahawa pengguna mempunyai kuasa besar dalam menentukan naik turunnya harga barangan dan perkhidmatan, adalah wajar mereka turut berasa terpanggil untuk menyertai aktiviti kepenggunaan di negara ini.  Selaku pengguna, orang ramai tidak harus sekadar menunggu dan melihat apa akan berlaku,

   atau paling teruk, hanya pandai mengkritik, sebaliknya    mereka juga mempunyai peranan sama penting dengan    kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

 Orang ramai boleh membantu dengan mengenakan tekanan agar tidak ada pihak cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan  sesuka hati mereka.

Selaku pengguna, mereka boleh memainkan peranan dengan menentukan permintaan, sekali gus mempengaruhi harga di pasaran.

 Justeru, sewajarnya mereka turut membabitkan diri dalam persatuan pengguna atau program yang dianjurkan oleh pihak berkenaan. Melalui program seumpama itu, mereka boleh mendapat maklumat lebih jelas mengenai isu semasa ini dan memahaminya.

 Jika  perlu, mereka juga boleh memboikot barangan tertentu atau tidak membelinya daripada peniaga yang diketahui cuba mengaut keuntungan berlipat ganda dan mengambil kesempatan daripada tekanan ekonomi semasa ini.

 Lihat saja di negara Barat yang mana persatuan penggunanya begitu aktif hingga sukar bagi peniaga mengenakan harga tinggi sewenang-wenangnya.

Pembabitan masyarakat ini adalah sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan pengguna bertindak secara proaktif dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada peniaga yang dengan sengaja menaikkan harga barangan.

Pada masa ini, ada kira-kira 70 persatuan pengguna di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu, hanya 17 bergabung dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Timbalan Presiden FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, keadaan ini adalah berbeza dengan kesedaran mengenai kepenggunaan di negara lain khususnya Eropah dan Amerika Syarikat yang mana persatuan penggunanya wujud dalam bentuk lebih kecil di daerah dan tempatan.

Beliau berharap semakin ramai tampil menyertai dan memberi sumbangan dan tenaga untuk menggerakkan aktiviti kepenggunaan di negara ini.

Sesuai dengan penekanan yang akan diberikan kepada peranan pengguna, Timbalan Presiden FOMCA itu berharap kerajaan akan memberi peruntukan khas tahunan kepada persatuan pengguna bagi membolehkan mereka bergerak aktif.

Beliau berpendapat, persatuan pengguna yang aktif dapat memberikan ruang kepada ahlinya memberi pandangan dan bukan sekadar menuding jari kepada kerajaan atau bercakap di belakang saja.

“Kalau persatuan sukan boleh mendapat peruntukan, kenapa tidak persatuan pengguna,” ujarnya.

 Di samping penubuhan persatuan pengguna, Sha’ani berpendapat adalah wajar juga Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga serta cawangan parti politik menubuhkan biro pengguna bagi mendedahkan kepada ahli mereka mengenai kesedaran kepenggunaan.

 Langkah ini adalah bagi memperlengkapkan usaha kerajaan yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan akta sedia ada.

 Adalah diharapkan tindakan ke atas peniaga tidak beretika ini dilakukan dengan tegas tanpa mengambil kira latar belakang atau pengaruh mereka. Ia juga hendaklah dilakukan dengan secara berterusan dan bukannya bermusim.
  
 Keputusan Kabinet menggalakkan semua menteri termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya sendiri supaya turun padang untuk meninjau situasi harga barang dengan lebih dekat sudah tentunya juga satu langkah yang baik.

 Ia seharusnya dicontohi oleh pemimpin peringkat negeri dan tempatan sebagai satu usaha bersama yang lebih tegas antara pemimpin dan rakyat bagi menangani isu kenaikan harga barangan yang sedang dihadapi sekarang. - Berita Harian, 23 Januari 2014