Wednesday, 12 February 2014

Azam Tiong Lai pulihkan keyakinan terhadap MCA

Menjelang Ulang Tahun Ke-65 MCA pada 23 Februari ini, antara agenda utama barisan kepemimpinan baru yang diketuai presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai adalah untuk memulihkan semula keyakinan rakyat serta pengundi terhadap parti berkenaan.

 MCA akan juga melancarkan beberapa program transformasi bagi mengatasi apa juga kelemahan yang wujud, termasuk dengan mengadakan percambahan fikiran bersama ahli pada peringkat akar umbi bagi menjamin survival parti berkenaan pada masa depan.
 Selain itu, MCA   sedang berusaha membatalkan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 2011 dan 2012 yang menghalangnya daripada memegang jawatan menteri dan jawatan lain dalam kerajaan berikutan prestasinya yang tidak menggalakkan dalam pilihan raya umum lalu.

 Dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13), MCA cuma memperoleh tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN pada PRU-12 pada 2008.
 Bagi membolehkannya menyertai semula kerajaan, EGM perlu diadakan dalam masa terdekat ini bagi membatalkan keputusan berkenaan.

 Pungutan suara dalam kalangan perwakilannya dilancarkan baru-baru ini untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 800 atau satu pertiga sokongan daripada 2,385 perwakilan. Sehingga petang semalam, sokongan yang diperoleh dilaporkan sudah melebihi jumlah minimum yang diperlukan.
 Hari ini perwakilan berkenaan menyerahkan borang sokongan untuk EGM itu kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ong Ka Chuan di ibu pejabat parti di Wisma MCA.

 Mengikut Perlembagaan MCA, mesyuarat agung luar biasa boleh dipanggil oleh presiden, ahli jawatankuasa pusat atau perwakilan dari semua 191 bahagian.
 Perkembangan terbaru dalam parti itu menunjukkan bahawa sudah ada tanda  MCA kini sudah bersedia untuk menerima semula sebarang pelantikan dalam kerajaan, termasuk jawatan menteri.

  Liow yang ditemui Isnin lalu berkata, langkah untuk membatalkan keputusan EGM berkenaan dilakukan oleh perwakilan atas inisiatif mereka sendiri.
 Secara peribadi Liow berpendapat, masyarakat Cina memerlukan wakil dalam Kabinet.

 “Masyarakat Cina dan persatuan yang mewakili pelbagai sektor mendesak supaya MCA menyertai semula Kabinet bagi membantu menyelesaikan masalah mereka. Tetapi, selagi kita tidak mengubah resolusi EGM lalu, kami tidak boleh berbuat apa-apa,” tambahnya.
  Beliau yakin perwakilan parti berkenaan matang dan bijak membuat keputusan kali ini. Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada perwakilan membantah dan percaya  bahawa masa depan parti itu bergantung pada keputusan majoriti.
 Liow berkata, barisan pemimpin MCA baru kini komited untuk melakukan transformasi memandangkan parti berkenaan berada pada tahap paling rendah sekarang dan perlu memulihkan keyakinan rakyat.

 “Kami sudah kumpulkan pandangan  peringkat akar umbi, jawatankuasa parti dan badan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen lain.
 “Kami juga sudah ada  pelan induk dan menganjurkan percambahan fikiran bagi melihat kelemahan dan hasilnya adalah satu senarai yang panjang,” katanya. Setiap program transformasi itu ada ketuanya masing-masing dan pihaknya akan meneruskannya walaupun ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang.

 “PRK Kajang tidak menghalang transformasi yang sedang dilakukan. Ada orang menjaganya dan semua ahli jawatankuasa pusat bertanggungjawab.
 “Sebagai contoh, perubahan dalam struktur parti, sistem pemilihan daripada sistem perwakilan kepada sistem pemilihan secara terus. Perubahan lain termasuk pemilihan calon untuk bertanding dalam pilihan raya yang lebih telus.

 “Kami juga akan melihat pada pengurusan aset parti dan bagaimana memaksimumkan aset bagi memanfaatkan masyarakat,” tegasnya.
  Beliau menambah, ada juga agenda bagi memperkukuhkan proses pendidikan parti dan mengadakan latihan untuk ahli.

 “Kami  akan mendekati lebih ramai golongan muda yang mungkin tidak tertarik dengan parti berusia 65 tahun ini.
 Justeru, tambahnya, pelbagai inisiatif perlu diambil bagi menarik golongan muda ini termasuk menggunakan saluran komunikasi dengan cara lebih berkesan,” kata beliau. - Berita Harian, 12 Februari 2014