Saturday, 15 February 2014

Semua orang patut tulis pengalaman setiap hari, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan asing lagi dalam dunia buku. Selain petah bercakap, bekas Perdana Menteri itu juga minat dan pandai menulis sejak dari bangku sekolah lagi.

 Catatan mengenai pengalaman hidup atau memoirnya, A Doctor In The House  antara buku terlaris di negara ini dan diterjemahkan dalam bahasa Melayu. 
 Ketika masih memegang jawatan, Dr Mahathir sering menulis apa yang terlintas di fikirannya pada buku nota kecil. Malah beliau sentiasa menyediakan kertas dan pen di meja sebelah katil bagi membolehkannya menulis apa saja yang terlintas di fikirannya sebelum tidur.

 Juga, bukan rahsia lagi bekas Perdana Menteri itu sentiasa membawa buku ‘tiga lima’ di dalam poketnya pada hujung minggu apabila memandu kereta untuk melihat keadaan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan mencatat sekiranya mendapati ada sesuatu yang tidak kena.
Beliau kemudiannya membawa perkara itu kepada perhatian menteri bertanggungjawab.

 “Manusia selalunya mudah lupa,” katanya pada Forum Buku Perdana anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara, Rabu lalu.  
 “Manusia Melayu pula lagi mudah lupa,” tambahnya, memetik ungkapan yang pernah digunakan sebagai tajuk ucapannya pada  satu Perhimpunan Agung UMNO.

 Katanya, buku boleh mengekalkan pandangan kita untuk digunakan  orang lain. Atas sebab demikianlah, kata beliau, kalau kita ada idea, kita perlu tulisnya sebagai nota.
 Dr Mahathir berkata, beliau kini  menulis dalam blog hampir setiap hari dan bahan ini  dikumpulkan sebagai buku.

 “Rencana pendek pun, jika jumlahnya banyak boleh dibukukan. Kita boleh tulis pasal kejadian harian yang berlaku pada kita. Mungkin ia tidak penting sekarang tapi 10 atau 15 tahun kemudian, ia boleh menjadi bahan rujukan,” kata beliau yang pernah dianugerahkan sebagai Ikon Membaca Negara oleh Perpustakaan Negara Malaysia.
 Beliau menambah, mereka yang bekerja  tentunya boleh menulis mengenai pengalaman dalam pekerjaan.

 Sambil berjenaka, beliau berkata: “Tapi setiap kali mereka menulis, mereka menghantar manuskrip dan minta saya tulis forwardnya (kata pengatar). Harapan mereka kalau saya tulis forward mungkin buku itu laris sedikit. Tapi tak bolehlah selalu sebab bila terlalu banyak, susahlah.”
Beliau juga menyatakan pemerhatiannya bahawa kebanyakan novel  Barat sekarang mengandungi bahan lucah, menyebabkan agak malu juga bagi sesiapa membelinya untuk anak mereka.

  Dr Mahathir menarik perhatian bahawa pada masa ini, banyak maklumat mudah diperoleh daripada internet.
 “Saya juga guna internet. Kalau nak ke perpustakaan, sampai satu hari baru jumpa. Melalui internet, hanya dengan satu kata kunci kita boleh mendapat maklumat,” katanya.

 Bagaimanapun, Dr Mahathir mengakui  beliau masih selesa menulis secara long-hand kerana beliau berfikir sepantas menulisnya.
 Harapan beliau agar hasrat Yayasan Pembangunan Buku Negara untuk melihat lebih 30,000 judul buku diterbitkan menjelang 2020 dapat dicapai.

 Sementara itu Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar, ketika membentangkan resolusi forum itu melahirkan harapan agar sebuah jawatankuasa penyelarasan penerbitan bersama badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta penerbit diaktifkan bagi menerbitkan buku ilmiah dan buku ilmu berunsur jati diri dan patriotisme.
 Beliau juga berharap agar Perpustakaan Negara Malaysia dan Kementerian Pendidikan akan menyedia dan meningkatkan dana khas bagi buku ilmiah dan ilmu itu.

 Latiff berkata, oleh kerana penulisan buku ilmu banyak berlaku dalam bahasa asing, maka usaha penterjemahan ilmu berkenaan adalah penting agar maklumat dan ilmu itu dapat disampaikan kepada seluruh warga negara, termasuk yang hanya mahir  bahasa Melayu.
 Dr Mahathir dalam ucapannya juga mengingatkan bahawa ilmu boleh datang dari pelbagai tempat.

 “Dari orang Melayu pun ada. Jika nak tambah ilmu, kenalah belajar bahasa lain. Kalau kita mementingkan bahasa kita saja, jumlah ilmu pada bangsa kita akan kurang.
 “Sebaliknya jika faham bahasa lain, kita akan menjadi lebih berilmu,” tambahnya.

 Katanya, apabila orang Islam mula menerima ajaran berkenaan, mereka terpaksa meneliti bahasa Greek, Yunani, India dan Cina kerana ingin mempelajari ilmu.
 Justeru dalam usaha mengejar ilmu, adalah wajar kita mempelajari bahasa lain sambil memperkukuhkan bahasa kita sendiri. - Berita Harian, 15 Februari 2014