Thursday, 27 March 2014

Makanan halal bukan hanya baik untuk Muslim

Notis yang dipamerkan di kafe Fonterra Brands Malaysia di Subang menarik perhatian penulis ketika mengunjungi pejabat berkenaan, baru-baru ini. Notis itu menyatakan, ‘Makanan halal bukan hanya baik untuk Muslim,  tetapi juga untuk semua orang’.

 Peringatan itu bukan dipamerkan tanpa sebab. Lebih daripada itu, ia  sebahagian daripada polisi syarikat pengeluar tenusu berkenaan.
 Di bawah garis panduan halal yang dikuatkuasakan  Fonterra Malaysia, kakitangannya dilarang membawa masuk sebarang makanan atau minuman tidak halal ke dalam premisnya, sama ada bangunan pejabat mahupun kilang.

 Sebagai syarikat pengeluar tenusu terbesar dunia, pihak pengurusan Fonterra begitu komited untuk memastikan proses pengilangan produk mereka dilakukan mengikut garis panduan halal sepenuhnya.
 Sebahagian besar produk Fonterra berupa susu, keju, mentega dan lain-lain turut dieksport ke negara Islam termasuk Malaysia.

 Bagi memastikan setiap kakitangan mematuhi peraturan berkenaan, pihak pengurusannya memperkenalkan Buku Polisi dan Panduan Halal yang diberikan kepada pekerja ketika mereka melaporkan diri untuk bekerja.
 Pengurus Komunikasi Korporat Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd, Manisya Ismail, berkata kakitangan syarikat berkenaan juga sentiasa diingatkan mengenai polisi halal itu dari semasa ke semasa.

 “Kami juga menubuhkan jawatankuasa dalaman agar polisi ini dapat disampaikan, difahami dan dilaksanakan bagi mengekalkan integriti halal syarikat.
 “Syarikat ini juga tertakluk kepada pemeriksaan berkala oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan piawaian yang ditetapkan itu dipatuhi sepenuhnya,” kata beliau.

 Oleh kerana itu, tegasnya, Fonterra hanya memproses, mengimport dan mengedarkan produk yang diiktiraf halal sahaja. Pada setiap tahun ada beberapa badan Islam melawat kilang Fonterra untuk mengaudit produk pengeluarannya.
 Justeru, tambahnya, semua produk halal perlu mendapatkan sijil halal daripada JAKIM dan mempamerkan logo yang sah daripada jabatan berkenaan.
 
 Mengenai produk dari New Zealand, Manisya berkata, pegawai JAKIM turut dibawa melawat kilang di negara berkenaan untuk melihat sendiri operasi pengeluaran yang dijalankan.
Manisya menambah, JAKIM bertanggungjawab mengaudit pihak berkuasa halal dari New Zealand dan negara lain yang mengeksport produknya ke negara ini dan mengiktiraf beberapa badan Islam di New Zealand yang mengeluarkan sijil halal di negara itu.

Antara badan yang diiktiraf JAKIM sehingga Februari lalu adalah Federation of Islamic Associations of New Zealand (FIANZ) di Wellington dan New Zealand Islamic Development Trust (NZIDT) di Auckland.
Senarai pengikitirafan JAKIM ini boleh dilayari dalam laman web Bahagian Halal jabatan berkenaan atau www.halal.gov.my. Menerusinya umat Islam boleh memperoleh maklumat mengenai status halal produk dari negara asing yang banyak terdapat di pasaran.

Katanya, Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA) adalah satu-satunya perjanjian yang mempunyai rangka kerja berhubung dengan pengurusan halal yang ditanda tangani pada 2010. - Berita Harian, 27 Mac 2014