Friday, 4 April 2014

Paul Low janji pembanterasan rasuah kini lebih tegas

Menyedari betapa pentingnya pencegahan rasuah, kerajaan bersetuju melantik pegawai integriti di setiap kementerian dan jabatan bagi menangani gejala berkenaan dalam sektor awam.

Keputusan Kabinet itu dengan sendirinya menunjukkan betapa kerajaan memandang serius usaha untuk membanteras salah guna kuasa dan kewangan dalam pentadbirannya.
  Serentak dengan itu, Kabinet menggabungkan dua jawatankuasa sedia ada iaitu Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) dengan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti (G & I) dan menjadikannya sebagai satu entiti iaitu Jawatankuasa Bersama Kementerian Mengenai Tadbir Urus dan Integriti (JITU).

  “JITU diketuai Pengerusi Pegawai Integriti di setiap kementerian. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dalam proses pengambilan 700 orang dan menjalankan latihan untuk mereka,” kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low pada Forum Dasar Awam Menteri di Institut Tadbiran Awam (INTAN), baru-baru ini.
  Di bawah penstrukturan semula yang dilakukan, auditor dalaman kementerian kini juga boleh  mengemukakan laporan mereka kepada Ketua Audit Negara, dan tidak hanya kepada Ketua Setiausaha (KSU).

  “Juruaudit dalaman juga boleh menemui menteri. Saya menganggap ini  perkembangan baik dan sesuatu yang baharu bagi perkhidmatan awam.
  “Dengan beberapa langkah yang diambil diharap dapat mengurangkan salah guna kuasa dan salah tadbir serta kepincangan di jabatan kerajaan,” tambah menteri berkenaan.

  Low berkata, rakyat kini mendesak lebih akauntabiliti dalam kalangan pemimpin dan menteri, malah beliau sendiri pernah menyuarakan perkara sama ketika bergiat di dalam badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini. Low adalah bekas Presiden Transparency International (TI) sebelum dilantik sebagai menteri.
  Katanya, usaha untuk membanteras rasuah perlu mempunyai keazaman politik dan pelantikannya sebagai menteri iaitu sesuatu yang unik dan mungkin yang pertama di dunia, adalah kerana azam berkenaan, bukannya untuk suka-suka.

  Justeru, kerajaan memerlukan sokongan daripada semua pihak, NGO, kakitangan awam serta swasta. Usaha untuk menangani tadbir urus dan rasuah itu memerlukan pendekatan menyeluruh, katanya.
  Sehingga 2013, Low berkata, Indeks Rasuah Malaysia berada pada skor 50 daripada 100 markah. Lagi tinggi skornya lagi baik kedudukan kita.

  Jangkaan beliau Malaysia akan mencapai 55 markah dalam tempoh setahun dan jika boleh, mencapai tahap 70 peratus dalam masa empat tahun.
  Pada forum yang dihadiri kakitangan awam pelbagai lapisan itu, Low menegaskan bahawa pelaksanaan transformasi dalam pentadbiran kerajaan itu sudah tentunya memerlukan perubahan dalam budaya kerja sektor awam.

  “Bukan mudah untuk mengubah cara pemikiran 1.4 juta kakitangan awam. Kita perlu lakukannya secara berperingkat daripada satu kementerian dan agensi ke kementerian dan agensi lain,” kata Low.
  Katanya, di bawah transformasi berkenaan, proses pembelian juga dikaji semula dan semua tender dipaparkan secara dalam talian.

  Projek yang dilaksanakan secara rundingan terus juga ditiadakan dan semua projek berharga lebih RM100 juta dipantau bagi mengelakkan berlaku salah tadbir dan salah guna kuasa.
  Apapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan untuk menangani gejala rasuah ini memerlukan sokongan semua pihak - daripada pemimpin atasan, Kabinet, sektor awam, sektor swasta dan golongan yang menjalankan perniagaan.

  Tambahnya, transformasi itu seharusnya menyebabkan wujud tadbir urus lebih baik. Jika perlu automasi digunakan dalam tugas tertentu, perkhidmatan awam harus memberi kemudahan itu.
  “Kita mesti memberi sokongan dari segi sumber kewangan mencukupi, menyokong polis dengan memberi peralatan yang sesuai. Kita mesti bersedia untuk transformasi ini,” katanya.

  Beliau menambah, transformasi berkenaan juga seharusnya memudahkan cara bagi orang ramai menyampaikan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
  “Sebagai contoh, jika ketika joging kita ternampak ada jalan berlubang, apakah kita boleh sampaikan aduan itu melalui telefon, emel, akhbar atau aplikasi telefon bimbit. Transformasi yang ditempuhi adalah radikal tetapi dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

  “Kita tidak akan menghumbankan segala-galanya atau mengganggu proses yang sedia ada tetapi melakukan penambahbaikan secara berperingkat,” tambah beliau.
  Low juga menarik perhatian bahawa apa yang dilakukan oleh Malaysia dalam usaha menangani rasuah ini sedang diperhatikan dunia dan ia boleh menjadi model kepada pihak lain sekiranya berjaya.

  “Sudah tentunya kakitangan kerajaan boleh menjadi sebahagian daripada inovator perubahan yang dilakukan,” katanya. - Berita Harian, 28 Mac 2014