Tuesday 25 March 2014

Pengeluar tenusu terbesar New Zealand menghasilkan produk halal

Fonterra mempunyai sejarah yang sudah lama terjalin di negara ini mahupun dunia dalam pembekalan makanan nutrisi berkualiti tinggi selama beberapa generasi. Justeru, tidak hairanlah mengapa syarikat pengeluar tenusu terbesar di New Zealand itu begitu komited dalam menjaga kualiti produk yang dikeluarkannya, sama ada di negara Kiwi berkenaan mahupun di pusat pemerosesannya di serata dunia.

 Sebagai pengeksport utama susu New Zealand ke pasaran antarabangsa, Fonterra menyedari   pengguna kini semakin prihatin terhadap penyediaan makanan dan minuman yang bersih, selamat, berkualiti dan bebas daripada sebarang ancaman pencemaran.
 Selain itu, bagi manfaat pelanggannya di sebahagian besar negara Islam, Fonterra  tidak mengetepikan aspek halal produknya yang dieksport ke negara ASEAN termasuk Malaysia, negara Teluk, India, China selain pasaran tradisinya, Eropah dan Amerika Syarikat.

 Sijil halal bagi produk seperti susu tepung, krim, susu skim, mentega dan keju dikeluarkan sekurang-kurangnya dua badan Islam di New Zealand. Badan berkenaan turut diaudit oleh badan Islam negara pengimport bagi mengesahkan pengiktirafan halal yang dikeluarkannya.
 Baru-baru ini sekumpulan wartawan dari Malaysia dibawa melihat operasi pengeluaran Fonterra bermula di ladang hingga ke pusat pembungkusan Canpac di Hamilton. Dalam siri lawatan ‘From Grass to Glass’ itu, mereka melihat sendiri bagaimana perahan susu dilakukan dengan secara automasi di sebuah ladang di Karaka, kira-kira 42 kilometer dari Auckland.

 Ladang Bella Vista itu milik Murray Shaw Andrew, 63, mempunyai 470 lembu yang mampu menghasilkan sehingga 30 liter susu sehari. Perahan dilakukan dua kali sehari iaitu pada jam 5 pagi dan 3.30 petang.
 Andrew yang sudah mengusahakan ladang itu sejak 1971, berkata setiap tahun ladangnya boleh menghasilkan 211,000 kilogram susu segar. Susu itu diukur suhunya kerana ia perlu mempunyai suhu antara 36 hingga 37 darjah Celsius bagi memastikan kesegarannya.

 Sebelum penghantarannya ke kilang, susu  perlu disejukkan sehingga mencapai lima atau enam darjah Celsius dengan menggunakan alat peralihan suhu iaitu ‘Plate Heat Exchange’ (PHE).
 Contoh susu juga diambil oleh pemandu trak untuk digunakan kemudian sebagai bahan uji kaji di makmal bebas, Milk Test NZ di utara Hamilton untuk dilakukan kajian mikrobiologikal, komposisi kimia dan lain-lain. Tahap ini juga bagi memastikan susu yang bakal diproses di kilang selamat dan bebas kuman.

 Dari situ susu dibawa ke kilang Fonterra Te Rapa, pusat pemerosesan terbesar tidak jauh dari makmal berkenaan. Kilang Te Rapa ini berkeupayaan mengeluarkan lebih 250,000 tan susu tepung dan produk krim untuk  eksport setiap tahun.
 Kilang berkenaan juga mampu memproses sehingga lapan liter susu sehari atau 300 muatan trak pada waktu puncak.

 Sejarah Fonterra sebenarnya bermula secara rasmi pada Julai 2001 apabila kira-kira 84 peratus peladang bersetuju untuk menggabungkan tiga entiti iaitu New Zealand Dairy Board, New Zealand Dairy Group dan Kiwi Co-operative Dairies bagi membentuk Fonterra Co-operative Group.
 Fonterra hanya ditubuhkan sebagai syarikat beberapa bulan kemudian apabila ahlinya mendapati wujud potensi akan berlaku konflik dalaman koperasi berkenaan. Bagaimanapun walaupun berstatus syarikat, saham Fonterra masih dimiliki koperasi yang dianggotai kira-kira 90 peratus peladang.

 Sehingga sekarang pun syarikat masih memperoleh bekalan daripada kira-kira 10,500 pemilik saham yang memiliki 4.5 juta lembu, separuh daripadanya daripada baka Holstein-Fresian dan Jersey.
 Sejumlah 506 trak beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk memungut kira-kira 15 bilion liter susu setiap tahun. Kini Fonterra mempunyai 85 kilang pemerosesan di seluruh dunia termasuk Susu Mas di Subang yang mengeluarkan antaranya susu tepung Anmum, Fernleaf dan Anlene. Kilang Dairy Mas pula mengeluarkan produk tenusu cecair seperti susu kultur Solivite.

 Pengarah Operasi Fonterra, Robert Spurway, berkata produk Fonterra dieksport ke lebih 100 pasaran di seluruh dunia termasuk 132 juta kilogram susu ke Malaysia khususnya susu skim.
 Produk tenusu yang dikeluarkan di Te Rapa dibungkus dan ditinkan di kilang Canpac yang juga terletak di Hamilton. Di sini label dan maklumat pada tin dan bungkusannya dicetak mengikut bahasa negara pengimport termasuk bahasa Melayu untuk pasaran di Malaysia.

 Pengurus Operasi Canpac, Russell Muir, berkata Canpac mempunyai pakar bahasanya sendiri yang menterjemahkan maklumat di luar bungkusan itu. Pelawat ke kilang pembungkusan itu pasti teruja apabila melihat bagaimana mesin berautomasi bertindak seperti robot bagi menggantikan manusia dalam melakukan tugas tertentu mengikut masa dan rentak masing-masing.
 Tujuan penggunaan ‘robot’ ini bagi memastikan tidak berlaku sentuhan tangan dalam tugas yang dijalankan di pusat pembungkusan itu.

 Apapun, melihat pada proses pengeluarannya ketika lawatan itu, ternyata Fonterra begitu komited dengan kualiti produknya demi kepuasan pelanggan dan keselamatan makanan terutama selepas dakwaan kononnya terdapat pencemaran bakteria dalam Whey Protein Concentrate (WPC 80) yang heboh diperkatakan tahun lalu.
 Seperti kebanyakan syarikat multinasional lain, Fonterra juga mempunyai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan dengan rakan kongsi di Asia termasuk Yayasan Salam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.

 Kerjasama yang dijalin sejak Julai 2013 itu bertujuan menggalakkan semangat kesukarelawan dalam kalangan rakyat di negara ini.
 Pengurus Pertanggungjawaban Korporat Fonterra, Tom Newitt, berkata program yang dilaksanakan oleh badan berkenaan memberi manfaat kepada 50 keluarga Orang Asli di Kampung Pertak, Hulu Selangor.

 Antara usaha mereka termasuk menambah baik pusat jagaan kanak-kanak, membekalkan bahan pendidikan dan menaja tuisyen murid serta membiayai pemeriksaan kesihatan untuk kanak-kanak dua kali setahun.
 Dlam program itu, Fonterra-Yayasan Salam juga menawarkan pendidikan kepada ibu bapa mengenai nutrisi kanak-kanak di perkampungan Orang Asli itu. – Berita Harian, 25 Mac 2014